Sunday, January 20, 2013

Selekoh Terakhir…(Fragmen 4)



Selekoh Terakhir…(Fragmen 4)
Aloi membelek-belek helmetnya yang tercalar dan sedikit pecah. Aloi merasa kesal kerana menghempaskan helmetnya itu tadi. Schuberth SR-1, mahal bukan kepalang dia membeli helmet teknologi itu. Namun, amat ringan tangannya menghayun dan menghempaskan helmet itu ke tanah. Semuanya kerana Guran. Guran telah mempermainkannya malam ini.  Aloi berasa tertipu. Aloi telah ditertawakan oleh kawan-kawannya. Dan dia rasa sungguh malu. Aloi berasa amat tidak puas hati dengan apa yang telah Guran lakukan kepadanya. Hatinya menyumpah Guran. Aloi meletakkan semula helmetnya di kerusi. Perlakuan Aloi itu diperhatikan oleh Condut. Jelas, Aloi masih tidak dapat menyembunyikan perasaan marahnya. Condut faham perasaan Aloi. Bagaimana Aloi meminta dia membaiki motorsikalnya. Bagaimana Aloi memberitahu Condut bahawa dia mesti menang malam ini.  Begitu Aloi bersiap sedia untuk berlumba dengan Guran. Namun, lain pula yang terjadi. Guran tidak memunculkan diri malam ini. Sedangkan Guran sudah berjanji untuk berlumba dengan Aloi. Aloi seperti orang bodoh, menunggu Guran yang tidak datang-datang. Aloi menghirup habis bir Carlsberg di dalam gelas. Aloi mengeluarkan sebatang rokok dan menghidupkannya. Rokok disedutnya dalam-dalam. Aloi melihat Condut. Dia seakan tahu Condut memerhatikannya dari tadi. “Masih marah lagi?” Condut memberanikan diri bertanya. “Huh! Rasa nak patah-patahkan tulang Guran,” kata Aloi. “Sabar, kawan. Nah, minum lagi,” Condut menuangkan bir Carlsberg ke dalam gelas Aloi. Aloi membuang rokok yang belum lagi setengah dihisapnya ke tanah. Aloi menatang gelas, menghirup bir Carlsberg itu lagi. Aloi meletakkan gelas itu di meja semula. Condut ingin menuangkan lagi, namun dihalang oleh Aloi. “Cukuplah,” kata Aloi. Tidak lama, Aloi mengambil helmetnya di atas kerusi dan kemudian berdiri. Dia seperti ingin beredar dari situ. Perlakuan Aloi menarik perhatian Condut. “ Kau hendak ke mana?” tanya Condut. “ Balik,” kata Aloi. “Baiklah, jaga diri kawan,” kata Condut. Aloi mengangguk. Aloi memakaikan helmet di kepala. Dia menuju ke arah motorsikalnya. Aloi menghidupkan motorsikalnya. Kemudian memecut dan beredar dari situ. Condut masih lagi di situ. Dia memerhatikan Aloi yang sudah pergi. Condut kemudiannya melambai ke arah tauke kedai. Tauke itu perasan dengan perlakuan Condut “Carlsberg, satu botol lagi!” kata Condut. “Baik,” kata tauke kedai itu.
Aloi sudah tiba di rumah. Perlahan, dia mengeluarkan kunci pagar dari saku seluarnya. Sedang dia ingin membuka pagar, tiba-tiba Aloi terdengar seperti seseorang berkata-kata dengannya. “Amarah, di dalam hatimu kulihat penuh amarah,” kata suara itu. Aloi berpaling, dia melihat satu susuk bayang-bayang hitam di hadapannya. “Lepaskanlah amarahmu itu,” kata suara itu lagi. Bayang-bayang hitam itu menghampiri Aloi. Aloi menggeletar. Dia kaku dan tidak bergerak. Lidahnya kelu. Bayang-bayang hitam itu mengangkat tangannya, mengarahkan telunjuknya ke dahi Aloi. Telunjuk bayang-bayang hitam itu menyentuh dahi Aloi. “Ikut aku...”kata bayang-bayang hitam itu. Tiba-tiba, Aloi merasakan tubuhnya memberat. Akhirnya, dia jatuh dan pengsan.
Bersambung di Fragmen 5~
Reactions:

0 comments:

Breaking News
Loading...