Friday, January 11, 2013

Perahu Timun Iban~ Fragmen 2



Perahu Timun Iban~ Fragmen 2
“Dia tetap menunggu meski esok bukan miliknya...”
Aki Suki memotong setengah timun iban. Kemudian, isinya dikeluarkan. Diletakkannya di dalam mangkuk. Garam ditabur dan digaulkan bersama timun iban. Suki memerhati. Dia seperti tidak sabar. Aki Suki tersenyum. Aki Suki tahu Suki begitu suka makan timun iban dicampur garam. Sebab itu, awal-awal lagi dia turun ke kebun untuk mencari timun iban. Apa yang Suki tunggu-tunggu sebenarnya ialah perahu timun iban. Setelah timun iban dipotong setengah dan isinya dikeluarkan, kulit yang tinggal akan membentuk seperti perahu. Dan perahu timun iban itu Suki hanyutkan di sungai kecil yang terletak tidak berjauhan dari kebun. Aki Suki memberi perahu timun iban kepada Suki. Suki ketawa riang. “Hati-hati, jangan main jauh sangat” Aki Suki mengingatkan Suki. Aki Suki memerhati Suki yang berlari riang menuju sungai kecil. “Biar saya tengok-tengokkan dia, “ kata Ini Suki. Ini Suki turun dari langkau dan mengikut Suki dari belakang. Ini Suki memanggil-manggil nama Suki. Suki menoleh ke bekakang. “Mari Ini, kita main perahu,” Suki mengajak neneknya. Aki Suki tersenyum lagi. Sudah besar Suki, fikirnya. Dahulu, sewaktu ditinggalkan oleh ayahnya, Suki baru berusia setahun. Kini, Suki sudah pun berusia lima tahun lebih. Sesaat, Aki Suki teringat kepada Sempurai. Sudah lama Sempurai tidak balik ke kampung dan melawat Suki. Walaupun begitu, Sempurai tidak pernah gagal memberikan wang belanja. Dahulu, sewaktu baru mendapat kerja semula, Sempurai sering balik ke kampung. Banyak buah tangan yang dia bawa. Sempurai belikan Suki baju baru. Tidak lupa juga untuknya dan Ini Suki. Untuknya, Sempurai belikan kemeja lengan panjang. Untuk Ini Suki, Sempurai belikan kain sarung. Suki suka benar pakai baju yang dibelikan oleh Sempurai. Terkadang, masih basah-basah pun Suki minta neneknya mengangkat baju itu di jemuran. Aki Suki pernah bertanyakan apa kerja Sempurai. Sempurai memberitahu dia bekerja sebagai pemandu lori. Sempurai memberitahu lagi bahawa tauke tempatnya bekerja sangat baik orangnya. Aki Suki menasihati Sempurai supaya kerja baik-baik dan ikut cakap tauke. Sempurai mengangguk dan menyatakan bahawa dia akan bekerja bersungguh-sungguh untuk Suki. Dalam diam, Aki Suki tersentuh hati melihat Sempurai. Sempurai bekerja siang dan malam untuk menyara Suki. Setelah kematian isterinya, hidup Sempurai masih belum terurus sepenuhnya. Suatu hari, dia menyuarakan hasratnya kepada Sempurai agar lelaki itu mencari pengganti kepada isterinya yang sudah tiada. Sempurai diam dan tidak menjawab. Seperti dia tidak menyenangi apa yang Aki Suki hasratkan. Adakah itu punca Sempurai jarang balik ke kampung lagi?
Aki Suki tersedar dari lamunannya apabila dikejutkan oleh Suki yang berlari-lari ke arahnya. “Aki! Aki! Ada ikan di sungai tadi!” jerit Suki. Ini Suki hanya mengekori perlahan dari belakang. Tidak terdaya dia mengejar Suki. Suki mendapatkan Aki Suki. Aki Suki mengusap lembut rambut Suki. Dia memeluk erat Suki dan mengucup pipi Suki. Tidak lama, matanya bergenang. Aki Suki cuba untuk menyeka air matanya namun ia gugur juga. Suki melihat datuknya dengan hati yang hairan. “Kenapa Aki menangis?” tanya Suki. “Tiada apa-apa, Suki,” Aki Suki menyapu wajahnya dengan lengan baju. Sempurai, pulanglah. Getus hatinya.
Bersambung di Fragmen 3
     
Reactions:

0 comments:

Breaking News
Loading...