Sunday, December 18, 2016

Shan, Empat Musim Di Hatiku (Fragmen Terakhir)




Shan, Empat Musim Di Hatiku (Fragmen Terakhir) 
Pertemuan di antara Zelda Arianna Shan dengan Sister Isabel.
Tempat pertemuan : St Joseph’s Cathedral, Kuching, Sarawak.

Misa Hari Minggu baru sahaja berakhir. Para pengunjung sudah mula meninggalkan gereja.Keadaan di St Joseph’s Cathedral kemudiannya mulai melengang.Namun masih ada ahli gereja yang berbual sesama mereka. Di suatu sudut, kelihatan seorang gadis masih lagi duduk di bangku. Dia memakai dress berwarna putih. Tangannya memegang sebuah Alkitab dan seutas rantai rosari kayu berwarna coklat yang dibelinya dari Gereja Mary Magdalene di Jerusalem, ketika lawatan gereja tidak lama dahulu.Entah kenapa, dia berasa masih berat hati untuk meninggalkan rumah Tuhan sedangkan ramai yang sudah mula beredar.Di suatu sudut pula, kelihatan seorang Sister sedang berbual dengan Father Jerome, iaitu paderi yang bertugas pada hari itu. Dari raut wajahnya, kelihatan Sister itu seperti berdarah campuran.Riak wajahnya seperti ingin mencari seseorang. Tangannya memegang sebuah kotak kayu bersegi empat tepat yang tidak begitu besar saiznya. Tidak lama, keduanya melangkah dengan agak laju menuju ke arah gadis itu yang masih duduk di bangku. Kehadiran Father Jerome dan Sister itu tidak dirasai oleh gadis itu kerana dia masih lagi menunduk.Father Jerome kemudiannya menegur gadis itu dengan perlahan. “Shan,”kata Father Jerome.Gadis itu agak terkejut dengan sapaan Father Jerome.Gadis itu mendongakkan kepalanya.Dia kemudiannya melihat Father Jerome dengan seorang Sister.Sister itu menarik perhatian gadis itu kerana wajahnya seperti tidak pernah kelihatan sebelum ini.Agak baru dan asing.
“Maafkan, saya.Saya mengelamun tadi,”kata gadis itu. “Tidak mengapa.Shan, ini saya kenalkan Sister Isabel dari St Mark’s Basilica. Sister Isabel ni dari Venice,Itali.Dia datang ke gereja ni kerana hendak berjumpa dengan Shan,” kata Father Jerome. Sister Isabel kemudian menghulurkan tangannya. “Saya Sister Isabel,”Sister Isabel memperkenalkan dirinya. Gadis itu menyambut tangan Sister Isabel. “ Saya Shan,”kata gadis itu. Keduanya bersalaman. “Baiklah, nampaknya awak berdua sudah mengenali satu sama lain.Kalau begitu,saya minta diri dulu.Mungkin ada yang ingin awak berdua bualkan,” kata Father Jerome. “Terima kasih, Father Jerome,”kata Sister Isabel. Father Jerome mengangguk dan tersenyum. Dia kemudiannya melangkah pergi dengan perlahan. Sister Isabel memandang wajah Shan. Shan juga begitu.Keduanya saling berpandangan. Shan masih lagi tertanya-tanya dengan kehadiran Sister Isabel di sisinya. Tidak lama, Sister Isabel bersuara. “Shan, maaf kalau kedatangan saya ini mengganggu Shan. Saya cuma nak serahkan sesuatu kepada Shan.Ianya pemberian seseorang,”jelas Sister Isabel.Sister Isabel kemudiannya memberikan kotak kayu bersegi empat tepat itu kepada Shan. Jemari Shan menyambut kotak kayu itu.Lama juga dia membelek kotak kayu itu. “Bukalah,” kata Sister Isabel. Shan kemudian membuka kotak itu dengan perlahan. Setelah dibuka, kelihatan sepucuk surat berwarna biru yang terlipat kemas.Di bawah surat itu terdapat sebuah buku.Di dalam kotak kayu itu terdapat juga haruman. Haruman itu amat wangi setelah kotak itu dibuka.Shan mengambil surat itu. Membuka lipatannya dan kemudian membacanya.Matanya menyorot ke setiap patah kata yang tertulis dalam surat itu.

Shan, apa khabar? Saya harap awak sihat-sihat sahaja di sana. Shan, sedang awak membaca warkah ini, saya sudah tiada lagi di dunia ini. Maaf Shan, kerana saya lama tidak mengirimkan khabar berita buat awak.Tanpa surat.Tanpa panggilan.Dan akaun Facebook juga ditutup.Nampaknya, ia seperti memutuskan hubungan, kan? Namun, ia tidak begitu Shan. Selama beberapa tahun menghilangkan diri ini saya sebenarnya sedang bertarung dengan penyakit saya.Saya tidak mahu awak tahu tentang keadaan diri saya. Saya tidak mahu kelihatan lemah di mata awak, Shan. Dalam kesakitan itu, saya mengingat kembali bagaimana kita berkenalan. Ianya bermula dengan sahabat pena, sehinggalah kepada pertemuan pertama dan terakhir kita di Ristorante La Sponda, Posinato, Itali.Ia adalah pertemuan yang tidak terlupakan, Shan. Saya masih ingat lagi bagaimana awak menceritakan pengalaman melayan kerenah seorang murid sindrom down bernama Madison.Kesabaran awak terhadap Madison telah membuka ruang kemesraan awak dengannya.Pada mulanya, Madison tidak menggemari awak, sehinggalah awak mereka satu boneka tangan dan bercerita di depannya. Saat awak mulai rapat dengannya dan kemesraan itu mulai bertaut, Madison telah pergi meninggalkan awak dalam satu nahas jalan raya. Awak menceritakan kepada saya yang awak menangis semalaman.Awak seperti tidak dapat menerima hakikat kehilangan Madison.Shan, awak tahu tak maksud nama Madison? Ia bermaksud pemberian Tuhan. Tuhan telah menganugerahkannya ke dunia ini. Walaupun lahir begitu, dia tetap disayangi oleh kedua ibu bapanya. Dan kemudian dia mengenali awak. Walaupun singkat, ianya cukup bermakna buat dia, Shan. Awak memilih menjadi seorang guru dan menceburi bidang pendidikan khas ini kerana awak ingin mengenali kanak-kanak ini dengan lebih rapat.Rasa empati awak sangat tinggi dan awak sentiasa meletakkan diri awak dalam situasi mereka.Itu bagus, Shan. Cuma awak perlu ingat bahawa tugas kita hanya meletakkan asas pendidikan kepada kanak-kanak ini agar mereka boleh bersaing dan meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia yang amat mencabar kelak. Shan, bersama dengan surat ini saya sertakan sekali sebuah novel yang saya telah tulis selama dua tahun ini. Dalam kesakitan, saya gagahi juga untuk menyiapkannya.Nasib baik, ia telah sempat siap dan selamat diterbitkan. Saya namakannya Shan, Empat Musim Di Hatiku ( Shan,The Four Seasons of My Heart). Saya dedikasikan novel ini buat awak sebagai tanda persahabatan. Shan, terima kasih kerana sudi berkenalan dan menjadi sahabat saya. Sebenarnya, ada lagi Shan.Kesungguhan awak membantu kanak-kanak kurang upaya ini telah menginsafkan saya betapa mereka ini memerlukan seseorang untuk menyandarkan harapan. Dengan itu, semua harta saya dan juga wang hasil jualan serta royalti buku saya selama ini termasuk novel Shan, Empat Musim Di Hatiku telah saya wasiatkan kepada awak Shan. Dan dana itu akan digunakan untuk menubuhkan satu yayasan untuk membantu kanak-kanak kurang upaya dan bekeperluan khas ini.Yayasan itu akan ditubuhkan di Malaysia dan saya ingin awak menguruskannya. Anggaplah ianya hadiah terakhir daripada saya, Shan. Saya berharap agar awak menerimanya. Segala urusan berkaitannya akan diaturkan oleh peguam saya Giovanni Francesco. Dia akan berhubung dengan awak.Rasanya, itu sahaja daripada saya, Shan. Saya berharap yayasan ini akan menjadi kenyataan.Dan, awak bacalah novel itu, iya? Terima kasih, Shan.Teruslah berusaha. 

Sahabatmu,
Am Nass.

Saat habis membaca warkah itu, Shan menutup mulutnya. Matanya mula genang berkaca.Mutiara jernih yang bergenang di kelopak mata itu mula merembes. Sister Isabel menyentuh bahu Shan, seperti ingin menenangkan gadis itu. “Di mana dia Sister Isabel?” tanya Shan dengan rasa yang tertahan. “ Di San Michele Cemetery Island, Venice.Tiket penerbangan sudah disediakan.Kita akan ke sana,” jawab Sister Isabel dengan nada yang sayu. Shan tidak dapat menahan lagi kesedihannya. Dia kemudiannya memeluk Sister Isabel dengan erat dan terus menangis semahunya. Sister Isabel membalas pelukan Shan.Matanya juga genang berkaca.Nyata, dia juga tidak mampu menahan kesedihan itu.Dan suasana di gereja itu semakin sunyi. Sesunyi hati Shan.Namun, Tuhan tetap merahmati.Amen.

Tamat.

Foto hiasan : Google Images.
*Cerita ini adalah fiksyen.Sebarang persamaan dengan realiti adalah kebetulan.
Terima kasih kerana menyokong Shan,Empat Musim Di Hatiku.Sampai berjumpa lagi. 

Reactions:

0 comments:

Breaking News
Loading...