-->
  • Diari Anne Frank (Bahagian 3)


    Diari Anne Frank (Bahagian 3)
    Sabtu, 20 Jun, 1942
    Pengalaman menulis diari terasa pelik untuk seseorang seperti saya. Bukan sahaja kerana saya tidak pernah menulis apa-apa sebelum ini, tetapi juga kerana kemudian nanti tiada siapapun yang berminat mendengar leteran seorang budak perempuan berusia 13 tahun ini. lantaklah, ia tidak penting pun. Saya berasa seperti mahu menulis dan saya sangat perlu menyatakan apa yang terbuku di hati saya.
    'Kertas mempunyai kesabaran yang lebih berbanding manusia.' Saya terfikir tentang bidalan ini ketika saya berasa sedikit tertekan dan duduk di rumah sambil menapang dagu saya, bosan dan lesu, dan tertanya samada saya perlu duduk di rumah atau keluar. Akhirnya saya hanya duduk di rumah sambil memikirkan nasib saya. Benar, kertas mempunyai lebih kesabaran dan memandangkan saya tidak merancang untuk membenarkan sesiapa membaca buku nota berkulit keras yang digelar diari ini, melainkan saya mejumpai seorang sahabat sebenar, ia mungkin tidak akan mendatangkan sebarang perbezaan.
    Sekarang saya kembali semula kepada sebab utama saya menulis diari: saya tidak mempunyai sahabat. Biar saya terangkan dengan lebih jelas, memandangkan tiada siapa yang akan percaya bagaimana seorang budak perempuan berusia 13 tahun boleh berasa sangat keseorangan di dunia ini.
    Saya tidak keseorangan. Saya ada ibu-bapa yang menyayangi saya dan seorang kakak berumur 16 tahun, dan terdapat lebih kurang 30 orang yang saya boleh panggil sebagai sahabat. Saya memiliki ramai peminat yang tidak boleh mengalihkan mata mereka dari saya dan kadang-kadang mereka terpaksa menggunakan cermin poket yang sudah rosak untuk cuba melihat kelibat saya di dalam kelas. Saya ada keluarga, makcik yang menyayangi saya dan rumah yang selesa. Benar, dari luarannya saya nampak seperti memiliki segala-galanya kecuali seorang sahabat sejati. Apa yang saya fikirkan ketika bersama sahabat-sahabat saya adalah bergembira. Saya tidak boleh berbual tentang semua benda kecuali hal-hal biasa. Kami kelihatan sukar untuk rapat dan itulah masalahnya. Mungkin ia salah saya kerana kami tidak dapat berterus-terang antara satu sama lain. Apapun, itulah keadaannya dan malangnya ia mungkin tidak akan berubah. Itulah sebabnya saya mula menulis diari.
    Untuk menguatkan lagi bayangan imaginasi sahabat yang ditunggu-tunggu ini, saya tidak mahu menulis fakta di dalam diari seperti yang biasa dilakukan oleh orang lain, tetapi saya mahu diari ini menjadi sahabat saya dan saya akan menamakan diari ini Kitty.
    Oleh kerana tiada siapa akan faham cerita saya kepada Kitty jika saya terus menulis, adalah baik untuk saya bercerita sedikit tentang hidup saya walaupun saya tidak berapa gemar untuk melakukannya.
    Ayah saya, ayah paling hebat di dunia, hanya mengahwini ibu saya ketika dia berumur 36 tahun dan ibu saya yang ketika itu berumur dua puluh lima tahun. Kakak saya Margot dilahirkan di Frankfurt-am-Main di Jerman pada tahun 1926. Saya pula dilahirkan pada 12 Jun, 1929. Ayah berpindah ke Belanda pada tahun 1933 kerana kami berketurunan Yahudi. Ayah saya bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat bernama Opteka yang menghasilkan peralatan membuat jam. Ibu saya, Edith Hollander Frank, menyusul kemudian pada bulan September manakala Margot dan saya dihantar ke Aachen untuk tinggal bersama nenek kami. Margot datang ke Belanda pada bulan Disember dan saya datang pada bulan Februari di mana saya disorokkan di bawah meja sebagai hadiah hari jadi untuk Margot.
    Saya serta merta dihantar ke tadika Montessori. Saya terus dihantar ke situ sehingga saya berumur 6 tahun di mana saya mula bersekolah. Ketika saya di gred 6, cikgu kelas saya adalah pengetua sekolah bernama Encik Kuperus. Pada hujung tahun, kami semua menangis kerana terpaksa berpisah. Saya telah diterima masuk ke Lyceum Yahudi di mana Margot turut bersekolah di sana.
    Hidup kami tidaklah sentiasa tenang kerana saudara-mara kami di Jerman sedang menderita akibat undang-undang Anti Yahudi yang diperkenalkan oleh Hitler. Selepas pogrom pada tahun 1938, dua orang pakcik saya (adik-adik Ibu saya) melarikan diri dari Jerman dan berlindung di Utara Amerika. Nenek saya yang sudah tua datang tinggal bersama kami. Ketika itu dia berusia 73 tahun.
    Selepas bulan Mei 1940, kami jarang dapat hidup dengan tenang: pertama kerana perang telah meletus, kemudian penaklukan dan kemudian kedatangan tentera Jerman yang menandakan penderitaan bakal bermula untuk orang Yahudi. Kebebasan kami dibendung melalui siri arahan anti-Yahudi: Yahudi diwajibkan memakai bintang kuning, Yahudi diwajibkan untuk menyerahkan basikal mereka; Yahudi dilarang menggunakan keretapi; Yahudi dilarang menaiki kereta walaupun kereta mereka sendiri; Yahudi hanya boleh membeli barang antara pukul 3 dan 5 petang; Yahudi hanya dibenarkan untuk mengunjungi kedai gunting dan salon milik orang Yahudi; Yahudi dilarang berada di luar rumah antara pukul 8 malam hingga 6 pagi; yahudi dilarang mengunjungi teater, panggung wayang atau apa saja jenis hiburan; Yahudi dilarang menggunakan kolam renang, gelanggang tenis, padang hoki atau mana-mana padang sukan; Yahudi dilarang pergi berdayung; Yahudi dilarang untuk menyertai apa-apa aktiviti sukan di luar, Yahudi dilarang duduk di laman rumah mereka atau rumah sahabat mereka selepas pukul 8 malam, Yahudi dilarang menunjungi rumah orang Kristian, Yahudi hanya dibenarkan bersekolah di sekolah Yahudi dan sebagainya. Kamu tidak boleh melakukan itu atau ini tetapi hidup mesti diteruskan. Jacques selalu berkata kepada saya, 'Aku sudah tidak berani untuk buat apa-apa kerana aku takut ia tidak dibenarkan.'
    Pada musim panas 1941, nenek jatuh sakit dan terpaksa menjalani pembedahan dan hari lahir saya berlalu tanpa sebarang sambutan. Ia sama seperti pada musim panas 1940 ketika kekecohan yang berlaku di Belanda baru sahaja berakhir. Nenek meninggal dunia pada Januari 1942. Tiada siapa tahu betapa kerapnya saya terkenang nenek saya dan saya masih menyayanginya. Sambutan hari lahir saya pada tahun 1942 sepatutnya dibuat bagi menggantikan sambutan hari lahir saya pada tahun-tahun sebelumnya dan lilin untuk nenek dinyalakan bersama lilin-lilin orang lain.
    Kami berempat masih hidup dalam keadaan baik dan itu membawa saya ke tarikh hari ini iaitu 20 Jun 1942 dan ini adalah dedikasi takzim saya kepada diari saya.
    ***
    Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.
  • You might also like

    Tiada ulasan: