-->
  • Diari Anne Frank (Bahagian 2)



    Diari Anne Frank (Bahagian 2)

    Isnin, 15 Jun, 1942

    Parti hari lahir saya diadakan pada tengahari ahad. Filem Rin Tin Tin begitu digemari rakan sekelas saya. Saya mendapat dua kerongsang, satu penanda buku dan dua buah buku. Saya akan bermula dengan menceritakan serba sedikit tentang sekolah dan kelas saya dan saya akan bermula dengan murid-muridnya.
    Betty Bloemendaal kelihatan miskin dan saya rasa memang dia miskin. Dia tinggal di sebuah jalan terpencil di Utara Amsterdam, dan tiada siapa antara kami tahu di mana sebenarnya dia tinggal. Dia seorang pelajar yang cemerlang tetapi itu adalah kerana usahanya dan bukan kerana dia pandai. Dia agak pendiam.
    Jacqueline van Maarsen sepatutnya menjadi sahabat baik saya tetapi saya tidak pernah mempunyai sahabat baik. Pada mulanya, saya menyangka Jacque akan menjadi sahabat baik saya tetapi saya sangat tersilap.
    D.Q.* [*Tanda nama diberikan secara rawak kepada sesiapa yang tidak mahu dikenali.] adalah seorang perempuan yang mudah menggelabah dan sangat pelupa. Jadi cikgu selalu memberikannya kerja rumah tambahan sebagai hukuman. Dia seorang yang baik terutamanya kepada G.Z.
    E.S sangat gemar bercakap sehingga ia menjadi sangat menjengkelkan. Dia selalu menyentuh rambut kamu atau bermain dengan butang baju kamu apabila dia inginkan sesuatu daripada kamu. Mereka kata dia tidak sukakan saya tetapi saya tidak peduli kerana saya juga tidak sukakan dia.
    Henny Mets seorang perempuan yang periang tetapi dia bercakap dengan suara yang kuat dan sangat keanak-anakan apabila dia bermain di luar. Malangnya Henny mempunyai seorang sahabat bernama Beppy yang memberikan pengaruh tidak elok kepadanya kerana Beppy seorang yang pengotor dan celupar.
    J.R. - saya boleh menulis sebuah buku tentang dia. Dia seorang yang dibenci, licik, sombong, talam dua muka yang suka bergosip dan merasakan dia sudah dewasa. Dia betul-betul telah mengawal Jacque dan ia memang malang.
    J. seorang yang mudah terasa, mudah menangis dan paling teruk, dia suka menunjuk. Cik J. selalu mahu betul. Dia seorang yang kaya dan mempunyai satu almari penuh dengan pakaian cantik yang terlalu tua untuknya. Dia rasa dia cantik tetapi dia tidak cantik. J. dan saya tidak tahan melihat antara satu sama lain.
    Ilse Wagner seorang perempuan yang baik dan periang tetapi dia sangat cerewet dan boleh menghabiskan berjam-jam lamanya merengek dan merintih tentang sesuatu perkara. Ilse sangat menyukai saya. Dia pandai tetapi pemalas.
    Hanneli Goslar, atau Lies nama gelarannya di sekolah, agak sedikit pelik. Dia selalunya pemalu -- sangat petah apabila berada di rumah tetapi pendiam apabila bersama orang lain. Dia akan menceritakan segala apa yang kami ceritakan kepada ibunya. Tetapi dia sangat berterus terang dan kebelakangan ini saya mula menghargainya.
    Nannie van Praag-Sigaar bertubuh kecil, lucu dan waras. Saya rasa dia baik. Dia juga bijak. Tidak ada banyak perkara yang kamu boleh ceritakan tentang Nannie.
    Eefje de Jong pada pendapat saya seorang yang bagus. Walaupun dia baru berusia dua belas tahun, dia seperti seorang dewasa. Dia suka menolong orang lain dan saya amat menyukainya.
    G.Z. pelajar paling cantik di dalam kelas kami. Dia mempunyai muka yang cantik tetapi agak bodoh. Saya rasa dia akan mengulang kelas tetapi sudah tentu saya belum memberitahunya tentang perkara itu.
    ULASAN YANG DITAMBAH OLEH ANNE PADA TARIKH LAIN: Saya agak terkejut, G.Z tidak mengulang kelas.
    Duduk di sebelah G.Z. dan yang terakhir dari 12 orang murid perempuan di dalam kelas kami adalah saya.
    Ada banyak perkara yang boleh diceritakan tentang murid lelaki atau mungkin juga tidak sebanyak mana.
    Maurice Coster merupakan salah seorang daripada ramai peminat saya tetapi agak mengacau.
    Sallie Springer mempunyai fikiran yang kotor dan ada khabar angin yang menyatakan dia telah melakukan hubungan seks. Apapun saya masih berasa dia seorang yang hebat kerana dia seorang yang sangat lucu.
    Emiel Bonewitz adalah peminat rahsia G.Z. tetapi G.Z. langsung tidak memperdulikannya. Dia agak membosankan.
    Rob Cohen pernah juga meminati saya tetapi saya tidak boleh tidak tahan dengannya lagi. Dia seorang yang meluatkan, talam dua muka, penipu dan si bodoh yang merasakan dirinya seorang yang hebat.
    Max van de Velde adalah seorang budak kampung dari Medemblik tetapi dia sangat sesuai untuk saya, bak kata Margot.
    Herman Koopman juga mempunyai fikiran yang kotor seperti Jopie de Beer, suka berfoya-foya dan sangat meminati perempuan.
    Leo Blom adalah sahabat baik Jopie de Beer tetapi fikirannya telah dirosakkan oleh Jopie.
    Albert de Mesquita datang dari sekolah Montessori dan telah melompat satu kelas. Dia sangat bijak.
    Leo Slager datang dari sekolah sama tetapi tidak bijak.
    Ru Stoppelmon bertubuh pendek dan bebal. Dia berasal dari Almelo dan berpindah ke sekolah kami pada pertengahan tahun.
    C.N. melakukan apa yang dia perlu lakukan.
    Jacques Kocernoot duduk di belakang kami, di sebelah C.., dan kami (saya dan G.) selalu ketawa terbahak-bahak.
    Harry Schaap adalah budak lelaki yang paling sopan di kelas kami. Dia seorang yang baik.
    Werner Joseph juga baik tetapi kebelakangan ini perubahan yang berlaku menjadikan dia seorang yang pendiam dan dia nampak membosankan.
    Sam Salomon adalah adalah salah seorang murid yang bertubuh tegap dan suka bersukan. Dia memang nakal (peminat saya!)
    Appie Riem agak Ortodok tetapi dia nakal juga.
    ***
    Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.
  • You might also like

    Tiada ulasan: