Wednesday, March 4, 2015

Dendam Kubur 2. Fragmen 1



Dendam Kubur 2. Fragmen 1
Petang itu agak mendung. Angin berpuput lembut memesrai daun di pohon.Tidak lama lagi burung akan pulang ke sarang. Mentari tidak memancar cerah, cahayanya dilindungi oleh awan yang sedikit kelabu. Awan pula berarak perlahan. Di bendang, kelihatan beberapa orang petani sedang bersiap sedia untuk pulang. Mereka mengemaskan peralatan menuai. Seorang anak kecil berlari ke arah ibunya. Ibunya menjerit kepada anak kecil itu. Memintanya supaya tidak berlari. Takut-takut tersadung. Anak kecil itu memperlahankan lariannya, dan kemudian berhenti berlari. Dia berjalan perlahan menuju ibunya. Anak kecil itu memperkatakan sesuatu kepada ibunya. Ibunya kemudian mengusap wajah anak kecil itu. Anak kecil itu dan ibunya berjalan pulang. Sawah padi yang menguning. Di belakangnya pula, terdapat sebuah bukit. Nun di hujung kampung, terdiri sebuah rumah yang sudah agak lama binaannya. Seorang lelaki tua sedang duduk-duduk di luar pintu. Garis usia jelas kelihatan di wajahnya. Melihat kepada wajah itu, dia seperti berusia dalam lingkungan 60an. Di jemarinya terselit sebatang rokok. Rokok itu itu dihisapnya dalam-dalam, dan kemudiannya dihembus perlahan. Di memandang jauh, seakan mengingat semula kenangan lama. Fragmen-fragmen kenangan mula bermain di mindanya. Sejenak, dia teringat semula pengalamannya bekerja sebagai seorang penghalau hantu. Terlalu banyak cabaran yang dihadapinya. Ada satu yang tidak pernah dilupakannya. Bagaimana pekerjaannya itu hampir meragut nyawa seorang anak remaja. Seorang anak remaja penakut yang pernah tinggal bersama dengannya. Dia cuba mengingat kembali wajah anak remaja itu. Bersih sahaja wajahnya. Dia juga seorang anak yang sopan. “Abny...,” lelaki tua itu tiba-tiba tersebut nama anak remaja itu. Tidak lama, mata lelaki tua itu genang berkaca. Dia berasa sebak tiba-tiba. Dalam diam, dia berasa bersalah kepada Abny. Berasa bersalah juga kepada kedua orang tua Abny. Nyawa Abny hampir melayang malam itu. Sekiranya lelaki tua itu tidak bertindak cepat, Abny sudah mati dibunuh oleh hantu kubur. Abny, anak remaja yang penakut tetapi sentiasa ingin bersama dengannya. Lelaki tua itu mengusap wajahnya. Rokok sudah setengah dihisap. Seperti kebiasaannya, tidak akan habis dihisapnya sebatang. Selalu begitu. Namun, kali ini dia menghabiskannya. Dia ingin menenangkan diri. “ Tok, suatu hari nanti saya akan kembali berjumpa dengan Tok,” kata-kata Abny terngiang-ngiang di kepalanya. Dan, janji anak remaja itu digenggamnya sehingga kini. Abny, di mana kau sekarang, nak? Kata lelaki tua itu dalam hati.Lelaki tua yang bernama Tok Karim.
Bersambung Fragmen 2...                                                          


Gambar: Sekadar gambar hiasan.
Reactions:

0 comments:

Breaking News
Loading...