Sunday, February 5, 2012

Cinta Adalah~Kisah Erina dan Vincent

My Magical Journey

Am membuka pintu bilik. Dia memasuki ruang itu dengan  rasa memberat.  Am membuka suis lampu, kemudian mendekati katil. Menghempas punggungnya perlahan ke tilam. Melepas cermat kaca matanya, diletak bersebelahan dengan bantal, di sisi kiri. Selalu begitu. Walau risikonya untuk pecah memang tinggi, namun ia tidaklah setinggi bahaya yang hampir menempah nyatanya. 
            Am merebahkan diri ke tilam. Sedaya dia cuba mengatur pembaringan. Terlentang, miring, nampaknya dia gagal untuk menenangkan diri. Kenapa semua ini harus terjadi? Erina, gadis yang cukup terkenal sewaktu di sekolah menengah. Ceria, lincah, tidak kering dengan gurauan dan usik manja. Am masih ingat lagi, Erina pernah membuat persembahan solo akustiknya semasa sambutan Hari Guru peringkat sekolah. Erina membawa lagu,  “My Magical Journey”. Liriknya tercipta asli oleh Erina sendiri. Melodinya juga disusun cermat oleh Erina, sambil dibantu oleh Vincent Tan, ketua pancaragam dan konduktor koir. 
Vincent, lelaki Cina yang aktif bermuzik, adalah seorang yang naif dan lurus. 
Tidak banyak bercakap, namun dialah pencetus idea muzikal di sekolah, sehingga diberi gelaran Maestro Vincent. Karya-karyanya menggetar rasa, mengubat jiwa.  Sebenarnya, dalam diam Vincent menyimpan perasaan terhadap Erina. Sedikit cuma yang tahu akan hal ini. Hanya dua , Am dan Ronny. Dua orang yang sentiasa membantu dan mendorong Vincent dalam penghasilan karya-karyanya. Am, memberi gambaran dan ekspresi  kepada Vincent, kemudian Vincent menterjemahnya dalam nota muzik.  Ronny, cuba-cuba menyanyikan lirik yang dikarang oleh Vincent, di samping sering memberi kata-kata semangat kepada Vincent. 
Vincent ialah ahli Bulan Sabit Merah Malaysia. Pernah suatu ketika, Vincent berhasrat untuk  menukar keahliannya kepada Pengakap untuk mendekati Erina. Ini kerana Erina ialah seorang ahli Pandu Putri, dan kebetulan Pandu Putri selalu mengadakan perkhemahan bersama dengan Pengakap. Namun, hasratnya terbatal setelah dinasihati oleh Am dan Ronny. Bagi Am, Vincent lebih menyerlah dalam Bulan Sabit Merah Malaysia, dan ia bukan satu keputusan yang bijak daripada seorang yang cerdik dan pandai seperti Vincent. Ronny menyedarkan Vincent bahawa Bulan Sabit Merah Malaysia memerlukan kepakarannya, dan untuk mendekati Erina, Vincent boleh menggunakan pendekatan lain. Peluang menghasilkan “My Magical Journey” bersama dengan Erina adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh Vincent. 
Semacam satu rahmat, segalanya berjalan dengan lancar. Kata Vincent, Erina ada mengajaknya bersama untuk membuat persembahan. Namun, Vincent menolak dengan alasan “My Magical Journey” lebih indah,artistik, dan penuh penghayatan sekiranya hanya Erina yang membawanya. Pada hari persembahan, “My Magical Journey” tidak menghampakan. Sangat tidak. Petikan halus gitar oleh Erina, diiringi suara yang mendayu, mendamaikan hati segenap warga sekolah. “My Magical Journey”, suara hati Erina, dan pendaman rasa Vincent. Di mana Vincent?  Sejenak, Am cuba menemukan jawapan terhadap persoalan itu. Ya, di mana lelaki itu sekarang?

 picture : deviantART.



Reactions:

0 comments:

Breaking News
Loading...