Friday, June 7, 2013

Kristina...(Fragmen 6)



Kristina...(Fragmen 6)

Petang itu redup. Angin berhembus lembut. Dedaun berguguran ditiup angin. Stephen berjalan perlahan. Setibanya di kuburan, dia meletakkan setangkai bunga Lily di pusara. Amanda Dong, 1986-2007. Gadis yang ceria dan suka berjenaka. Terkadang manja. Apabila ketawa, lesung pipit di pipinya akan kelihatan. Dan, ini akan menyerikan wajahnya. Stephen membuang ranting dan daun yang gugur di atas pusara Amanda. “ Stephen, terima kasih kerana sudi hadir dalam hidup saya. Saya amat menghargainya. Saya pergi tidak lama. Tunggu saya, ya!” Itulah kata-kata terakhir Amanda sebelum gadis itu pergi buat selamanya. Dan, saat itu Stephen tidak menyangka nahas pesawat itu telah menghancurkan impiannya untuk hidup bersama dengan Amanda. Stephen masih ingat lagi, sehari sebelum Amanda pergi dia sempat menyanyikan sebuah lagu yang diciptakannya khas buat Amanda, “Fly To You”. “Amanda, lagu ini saya ciptakan khas buat awak. Sedang awak jauh, dan teringatkan saya, awak panggillah nama saya. Tatkala itu juga saya akan pergi menemui awak,” Stephen teringat semula kata-katanya kepada Amanda. Sejak pemergian Amanda,Stephen tidak lagi menyentuh gitarnya. Dia sering mengunjungi pusara Amanda. Meletakkan bunga dan bersembahyang di pusara. Perlakuannya membimbangkan ibu dan bapanya. Mereka menasihati Stephen. Lama-kelamaan, Stephen beransur pulih. Dia mampu menerima kehilangan Amanda. Dia kembali memetik gitar, setelah sekian lama tidak bermain. Namun, dia tetap mencintai Amanda dan belum bersedia menerima mana-mana gadis lain untuk mengisi ruang hatinya yang sudah kosong. Dia teringat akan kata-kata ayah Amanda. “Stephen, pakcik lihat awak selalu juga pergi melawat pusara Amanda. Terima kasih Stephen,kerana masih ingat akan anak pakcik. Cuma, pakcik harap awak juga fikir akan kebahagiaan diri sendiri. Seberat-berat hati Stephen untuk melepaskan Amanda, berat lagi hati pakcik. Amanda sudah bahagia di sana. Lepaskanlah dia, Stephen.” kata ayah Amanda sambil memegang bahunya. Stephen hanya berdiam diri. Dia tidak menjawab kata-kata ayah Amanda. Sehelai daun kering menimpa rambut Stephen. Dia tersedar dari lamunannya. Sesaat, dia teringat kepada seseorang. Seseorang yang cuba menghadirkan diri dalam ruang hatinya. “ Amber, maafkan aku...” kata Stephen sendirian sambil menunduk perlahan.

Bersambung di Fragmen 7. Nantikan sambungannya...       

          
Reactions:

0 comments:

Breaking News
Loading...