Saturday, March 24, 2012

Selekoh Terakhir... (Bahagian 1)


Selekoh Terakhir... (Bahagian 1)
Aloi memulas sedayanya. Aloi mengganas. Dia tidak peduli lagi. Mukanya diterjah angin malam. Telinganya sarat dengan deruan. Tidak patut dia tidak menang. Sudah banyak dia berhabis.
“ Condut, kau kasi ‘power’ motor aku ni.”
“Don’t worry, la geng. Makan asap punya!”
Sekilas, Aloi memandang ke belakang. Guran bersungguh mengejar. Tidak jauh, kira-kira 10 meter. Aloi meresah. Guran semakin mendekat. Terdengar, jeritan provokasi Guran. Jahanam, Guran! Aloi menyumpah.Aloi merasakan ada sesuatu yang tidak kena.Motornya mula perlahan. Aloi memulas sehabisnya. Tidak juga menjadi.
Ah! Apa ni?Guran memintas Aloi.
“Woohoo! Balik kampunglah Aloi !”
Ejekan Guran menyirapkan Aloi. Guran memecut laju. Tak lama, Guran berpaling. Dia ingin menyembur kata ejekan sekali lagi.
“Hahaha!Wooo!”
Guran berpaling semula. Seekor kucing hitam melintas. Kucing hitam buru-buru. Guran membrek mengejut. Guran hilang kawalan. Tangannya terlepas. Dia terpelanting ke sebelah kanan jalan. Sebuah kereta datang dari arah bertentangan. Menderu. Melanggar Guran. Guran terpelanting lagi. Kali ini lebih jauh.
Guran terlentang. Bahu kanannya terpulas. Kaki kirinya terlipat. Tubuhnya terketar-ketar. Bibirnya terjuih. Tak lama, lendiran merah keluar perlahan dari mulut. Hergh...Hergh...Guran sedaya bernafas. Matanya mula memberat. Guran berusaha membuka. Tidak...Aku tidak mahu mati. Perlahan, mata Guran menutup. Rapat.

                            **************************************
“Hei, Guran! Bangunlah!”
“Hah?!”
“Bangunlah! Kau tak 'race' ke malam ni?”
“Apa?”
“'Race'lah, kau tak 'race' ke?”
...Di satu selekoh, ketika seekor kucing hitam sedang menyeberangi jalan, itulah saat kematian kau, Guran...
"Aku...Aku...Aku tak nak lah. Aku 'cancel'."
“Apa? ‘Cancel’!? Kau dah gila ke? Kenapa kau ni?” Dron terkejut mendengar jawapan yang keluar dari mulut Guran. Guran menyapu wajahnya. Tangannya terketar-ketar.Sesaat, dia merasakan tubuhnya lain semacam.Seram dan sejuk.Dadanya masih berdebar.Jantungnya berdegup pantas.Sedaya dia cuba menenangkan diri. Guran menarik nafas dalam-dalam, kemudian menghembuskannya perlahan. Dron kehairanan melihat tingkah laku Guran.
“Guran, kau ‘okay’ ke?”
“Dron, boleh ambilkan aku air? Aku nak minum.Haus.”
~Tamat Bahagian 1...
Reactions:

0 comments:

Breaking News
Loading...