-->
  • Momen: Terima Kasih Cikgu (Jasamu Tetap Kukenang).Fragmen 1 dan 2


    Terima Kasih Cikgu (Jasamu Tetap Kukenang).Fragmen 1
    Cikgu Stephen melihat ruang bilik itu.Di dalamnya penuh dengan murid Tahun 6 dan ibu bapa mereka. Mereka saling berpelukan dan menangis. Ceramah motivasi yang diberikan oleh Cikgu Stephen menusuk ke dalam hati murid dan ibu bapa. Cikgu Stephen menjelaskan betapa pentingnya menghormati dan mendapat restu ibu bapa dalam hidup. Mereka yang berjaya adalah mereka yang direstui oleh ibu bapa. Seorang murid terkial-kial. Sesaat, ia menarik perhatian Cikgu Stephen. “Kenapa awak tidak pergi kepada ibu bapa awak?” tanya Cikgu Stephen. “Mereka tiada bersama dengan saya cikgu. Kedua-dua mereka telah meninggal dunia,”jawab murid itu. Cikgu Stephen tersentap mendengar kata-kata murid itu. Tidak lama, Cikgu Stephen mengusap kepala murid itu dan membisik lembut kepadanya. “Jadi, pilihlah salah seorang daripada kalangan ibu bapa di sini dan peluklah mereka dengan dengan erat.Pergilah,”kata Cikgu Stephen. Tanpa berfikir panjang murid itu segera mendapatkan seorang  ibu daripada kalangan ibu yang ada di situ. “Boleh saya peluk makcik? Saya tiada sesiapa lagi. Saya ingin  restu makcik untuk lulus dalam ujian,”kata murid itu.Matanya bergenang. Ibu itu terus mengangguk dan memeluk erat murid itu. Keduanya menangis. Ibu itu sempat memberitahu sesuatu kepada murid itu.”Banggakanlah kedua ibu bapa kamu walaupun mereka telah tiada kerana mereka sentiasa memerhatikan kamu dari syurga.” Ibu itu kemudiannya melihat Cikgu Stephen sambil tersenyum.Cikgu Stephen membalas senyumannya. Dan, murid itu masih lagi memeluk ibu itu dengan erat.Seakan dia tidak mahu melepaskan.Seakan dia ingin terus merasa hangat kasih dan pelukan seorang ibu yang telah lama dia rindukan. Cikgu Stephen melihat wajah guru-guru di dalam bilik itu. Guru-guru tidak dapat menahan air mata. Setabah mana seorang cikgu, jatuh juga air mata menuruni pipi. Cikgu Stephen mengusap kepalanya dan menghela nafas panjang.Nyata kedatangannya ke sekolah ini tidak sia-sia.Harapannya cuma satu, agar perkongsiannya ini  menjadi bekalan untuk murid Tahun 6 menghadapi peperiksaan UPSR tahun ini. Baginya,dia hanyalah seorang guru yang berkongsi ilmu, yang menjadikan keputusan yang hebat adalah mereka sendiri.Akhirnya, tanpa disedari matanya juga bergenang.Dia tidak menyekanya.Biarlah ianya menitis.

    Terima Kasih Cikgu (Jasamu Tetap Kukenang).Fragmen 2
    Cikgu Stephen sedang mengemaskan buku di rak mejanya. Keputusan UPSR baru saja diumumkan pagi tadi. Keadaan petang itu masih belum lengang.Masih ada ibu bapa yang berbual dengan para guru berkenaan dengan keputusan anak mereka. Cikgu Stephen rasa begitu gembira melihat keadaan itu. Begitulah hubungan di antara ibu bapa dengan para guru di sekolah itu. Amat rapat.Mereka saling berhubung dan berbincang terutama mengenai prestasi anak-anak mereka. Sesaat, Cikgu Stephen teringat kepada seorang murid sewaktu Ceramah Motivasi Dan Kesedaran Tahun 6 di salah sebuah sekolah yang dilawatinya dahulu. Seorang anak yang kehilangan kedua-dua ibu bapanya.Dan bagaimana dia menyuruh murid itu memilih salah seorang ibu bapa dalam kalangan mereka yang ada di situ dan memeluknya. Dan murid itu telah memilih seorang ibu.Ibu itu memeluk murid itu dengan erat  dan keduanya sama-sama menangis.Hati Cikgu Stephen terusik.Dia pun tertanya-tanya berapa keputusan yang murid itu dapat. Tidak lama, kedengaran ketukan di pintu. Seorang anak murid dan seorang tua tercegat di pintu. Cikgu Stephen berpaling. Anak murid itu memandang Cikgu Stephen dan terus meluru masuk.Di tangannya digenggam kemas slip keputusan peperiksaan UPSR.Lama Cikgu Stephen berfikir, akhirnya menyedari bahawa itulah murid yang dinasihatinya semasa ceramah motivasi itu. “Bagaimana awak kemari?,” Cikgu Stephen yang kehairanan bertanya. “Saya jelaskan semuanya kepada datuk.Saya yang ajak datuk cari cikgu,”kata anak murid itu.Cikgu Stephen memandang orang tua itu.Jelas garisan usia di wajahnya. “Ya,Cikgu.Dia yang berkeras nak jumpa Cikgu.Kami bertanya kepada guru di sekolah bagaimana cara untuk pergi ke sini.Katanya ada sesuatu hendak diberitahu dengan Cikgu,”kata orang tua itu. Murid itu kemudiannya menyerahkan slip keputusan UPSRnya kepada Cikgu Stephen.Cikgu Stephen dengan perlahan mengambil dan matanya menyorot satu-persatu keputusan itu.Selesai membaca dia melihat wajah anak murid itu dan kemudian mengusap kepalanya.Anak murid itu tersenyum sambil menampakkan baris giginya yang tersusun rapi. Akhirnya keduanya sama-sama tertawa.Orang tua itu tersenyum puas.Dia tidak mampu menahan air mata. Ibu bapa yang ada di situ bertepuk tangan. Sekilas, Cikgu Stephen melihat mutiara kata yang diselitkan di atas meja.Mutiara kata yang selama ini menjadi pegangannya.Kata-kata terakhir daripada mendiang Guru Besar Matthew kepadanya sebelum meninggal dunia.“Ingat Stephen, silap seorang doktor mati seorang pesakit.Silap seorang guru musnah satu generasi.”Itulah kata-kata Guru Besar Matthew yang tetap diingatinya sehingga kini.Selamanya...


    Tamat
  • You might also like

    Tiada ulasan: