Untuk pengetahuan pembaca, Cerita Kristina kini dikenali dengan nama baru iaitu Cinta Adalah(Cintaku Ibarat Nota Muzik). Cinta Adalah menggabungkan 8 watak utama iaitu Jasmine Lee,Am Nass,Isabel Lockheart,Ronny Mark,Kristina Diamond,Mike Loire,Erin Erina dan Vincent Tan.Saya muatkan fragmen 1-10 untuk tatapan pembaca.Fragmen terbaru akan menemui pembaca esok.Terima kasih kerana sokongan pembaca.Perubahan nama baharu ini tidak mengubah isi kandungan cerita.
Foto: Sekadar gambar hiasan
Cinta
Adalah(Cintaku Ibarat Nota Muzik).Fragmen 1-10.Selamat membaca. ;)
Cinta
Adalah(Cintaku Ibarat Nota Muzik) (Fragmen1)
Cinta
Adalah(Cintaku Ibarat Nota Muzik). Cerita ini mengisahkan tentang seorang gadis
bernama Kristina yang berusia 17 tahun. Kristina merupakan seorang pelajar yang
baru berpindah sekolah. Semasa diperkenalkan oleh Cikgu Stephen, Kristina
berharap agar kehadirannya diterima oleh rakan sekelas. Seorang pelajar
bertanya akan hobi Kristina. Kristina memberitahu bahawa dia amat meminati
bidang fotografi. Baginya, gambar adalah kehidupan yang tersuling dan
terpelihara selamanya. Wajah yang ekspresif, masa yang sekejap dalam alam,
bentuk yang abstrak, semua ini adalah asas-asas fotografi. Sebuah gambar
menyampaikan sesuatu yang tidak boleh dijelaskan melalui kata-kata, rasa misteri
dan keindahan hidup, sifat dan pencapaian manusia. Kata-kata Kristina
membuatkan pelajar itu terdiam. Cikgu Stephen memandang Kristina, menepuk
tangannya kemudian disertai oleh semua pelajar. Mereka kagum dengan kata-kata
Kristina. Kehadiran Kristina di sekolah itu telah menarik perhatian semua
orang, tidak lupa juga seorang pelajar bernama Mike. Dia ialah pelajar dari
kelas sebelah. Tanpa pengetahuan Kristina, Mike sering memerhatinya dari jauh.
Namun, apabila terserempak Mike segera menunduk dan mengalihkan pandangannya
daripada Kristina. Kristina menyertai Kelab Fotografi di sekolahnya. Suatu hari, Kristina telah masuk ke kelas
sebelah untuk mengedarkan risalah pertandingan fotografi.Kehadiran Kristina
tidak disedari oleh Mike kerana waktu itu Mike sedang leka melukis. Sampai di
meja Mike, Kristina ingin menyerahkan risalah. Sesaat, dia tertarik dengan apa
yang Mike lakukan. Kristina memerhatikan Mike. Mike menyedari sesuatu
sehinggakan dia mendongakkan kepala. Mike amat terkejut dengan kehadiran Kristina.Dia
hilang imbangan dan terjatuh dari kerusi. Perlakuan Mike membuatkan Kristina
tidak dapat menahan ketawanya. Mike berasa amat malu dengan kejadian itu. Dia
segera bangun, dan lari keluar dari kelas. Tindakan Mike mengejutkan Kristina.
Dan, Kristina bertambah terkejut melihat apa yang dilukis oleh Mike. Apakah
yang dilukis oleh Mike sehingga membuatkan Kristina terkejut? Adakah Mike mampu
melupakan kejadian yang memalukan itu? Dan bagaimana hubungan keduanya nanti?
Semuanya dalam Cinta Adalah(Cintaku Ibarat Nota Muzik)
Cinta Adalah(Cintaku Ibarat Nota Muzik)(Fragmen 2)
Mike segera
bangun dan lari keluar dari kelas. Dia tidak menyangka gadis yang berdiri dan
memerhatikannya tadi ialah Kristina. Ya, Kristina Diamond. Gadis yang selama
ini diperhatikannya dari jauh dan diminatinya dalam diam. Dia berasa amat
terkejut, tidak dapat mengimbang dan terjatuh dari kerusi. Dia berasa amat malu
dengan kejadian itu. Dan lebih memalukan lagi Kristina mentertawakannya. Mike
berlari menuju ke arah sepohon pokok rendang di padang. Dia mendudukkan diri di
atas rumput. Cuba sedayanya untuk menenangkan diri dan rasa gelabahnya.
Kristina mentertawakannya. Jahatkah Kristina? Siapa pun pasti tertawa, fikir
Mike. Mike mengusap rambutnya. Mike terfikir, kenapa agaknya Kristina datang ke
kelasnya tadi? Apa yang Kristina buat di situ? Kenapa Kristina datang ke
arahnya? Sudah lamakah dia diperhatikan?
Segalanya berlegar dalam kepala Mike. Mike menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Tiba-tiba Mike teringat apa yang dilakukannya tadi sehingga tidak menyedari
kehadiran Kristina. Dia memegang sebatang pensel dan sedang melukis. Melukis?
Ya, melukis. Dan lukisan itu masih terletak di atas meja. Di atas meja? Oh,
tidak!
Kristina
terkejut dengan perlakuan Mike. Mike yang terjatuh dari kerusi segera bangun
dan lari keluar dari kelas. Kristina tidak dapat menahan ketawa melihat Mike.
Adakah Mike lari keluar dari kelas kerana dia malu ditertawakan? Kristina
tiba-tiba dirundung rasa bersalah. Rasa bersalah kerana mentertawakan Mike.
Tapi, Kristina tidak sengaja. Bukan niatnya untuk sengaja ketawa dan memalukan
Mike. Dia betul-betul tidak dapat menahan ketawanya. Dan Kristina tidak sempat
berkata apa-apa apatah lagi memberikan penjelasan. Niatnya masuk ke kelas
sebelah hanya untuk memberi risalah pertandingan fotografi. Cuma, dia tertarik
dengan apa yang dilakukan oleh Mike yang membuatkannya memerhatikan lelaki itu.
Sesaat matanya tertumpu ke arah lukisan di atas meja Mike. Oh, ini yang
dilakukan oleh lelaki tadi. Dia sedang melukis, fikir Kristina. Kristina
memegang lukisan itu. Diperhatikannya dengan teliti. Tiba-tiba muka Kristina
merona merah. Dia tidak menyangka bahawa Mike melukis dirinya. Dirinya yang
sedang...
Bersambung
di Fragmen 3
Cinta Adalah(Cintaku
Ibarat Nota Muzik) (Fragmen 3)
Kristina
memegang lukisan itu. Diperhatikannya dengan teliti. Tiba-tiba muka Kristina
merona merah. Dia tidak menyangka bahawa Mike melukis dirinya. Dirinya yang
sedang duduk, dirinya yang sedang berdiri, dirinya yang sedang berjalan. Dan
dirinya yang sedang mengambil gambar, iaitu yang paling besar sekali terletak
di tengah-tengah. Apa yang lebih mengejutkan Kristina ialah lukisan itu sungguh
ekspresif. Emosi Kristina tergambar sepenuhnya pada wajah yang dilukis.
Kristina tidak menyangka Mike dapat melukis dirinya sampai begitu sekali.
Perasaan Kristina sewaktu mengambil gambar juga dinyatakan oleh Mike dengan
tepat. Kristina juga tidak menyangka selama ini dia diperhatikan oleh Mike. dan
Mike menjadikannya subjek dalam lukisan. Kristina tidak tahu sama ada dia rasa
takut atau gembira ketika itu. Takut, kerana dia selama ini diperhatikan.
Gembira, kerana ada orang yang meminatinya dalam diam. Agak lama Kristina
memegang lukisan itu. Seperti dia tidak mahu melepaskannya. Akhirnya dengan
cermat, dia kemudiannya meletakkan lukisan itu di atas meja semula. Kristina
terpandang pensel yang digunakan oleh Mike untuk melukis. Tiba-tiba, Kristina
terfikir sesuatu. Dia kemudiannya mengambil pensel itu dan melukis tanda ;)
berserta sepotong ayat berbunyi “ hatiku bersimfoni...” di ruangan tepi sebelah
kanan bawah lukisan itu.
Mike
berlari menuju ke kelas semula. Dia ingin mendapatkan lukisan itu. Sampai di
kelas, Mike terlihat Kristina yang sedang menulis sesuatu pada lukisan itu.
Kristina tersedar ada seseorang datang secara tergesa-gesa berdasarkan bunyi
tapak kaki. Kristina segera berpaling. Kristina terlihat Mike. Bibir Kristina
menguntum senyum. Mike kemudiannya tertunduk. Habislah...
Bersambung
Fragmen 4
Cinta Adalah(Cintaku Ibarat Nota Muzik)(Fragmen 4)
Kristina
dan Mike saling berpandangan. Bibir Kristina menguntum senyum. Mike kemudiannya
tertunduk. Habislah...fikir Mike dalam hatinya. Habis, kerana semua rahsianya
sudah diketahui oleh Kristina. Kerana selama ini dia memerhati Kristina dari
jauh dan menjadikan Kristina subjek dalam lukisannya. Kristina meletakkan
semula pensel di atas meja. Sekali lagi dia memerhatikan lukisan itu. Dan
matanya terarah kepada sepotong ayat yang baru ditulisnya tadi. “ Hatiku
bersimfoni...”, ayat itu ditulis oleh Kristina kerana dia merasakan hatinya
cukup gembira saat itu. Hatinya damai berlagu seperti diiringi oleh kicauan
burung dan orkestra. Takut? Kristina seperti tidak ada perasaan itu lagi.
Sebaliknya dia pula ingin mengetahui lebih lanjut tentang diri Mike. Perlahan,
Kristina berjalan ke arah Mike. Mike merasakan Kristina semakin menghampirinya.
Mike masih menunduk. Dia takut untuk mengangkat kepalanya. “Hei, kamu!” kata
Kristina. Perlahan Mike mengangkat mukanya. TIba-tiba Kristina menghayunkan
penumbuk ke muka Mike. Tetapi tidak singgah. Sengaja Kristina buat begitu untuk
melihat reaksi Mike. Kristina kemudiannya tertawa. Menampakkan baris giginya
yang cantik. Mike tersentak dengan perlakuan Kristina. Kali ini giliran Mike
pula yang tersipu malu. Muka Mike pula yang merona merah.Tidak lama, datang
seorang pelajar perempuan ke arah mereka berdua. Pelajar perempuan itu segera
mendapatkan Kristina. Dia melihat Mike sesaat. Dia sedikit hairan. Apa yang
Kristina buat bersama lelaki ini? Apa yang mereka bualkan? “ Kristina, apa yang
kau buat di sini?” tanya pelajar perempuan itu. Kristina terdiam seketika. Dia
cuba mencari jawapan yang sesuai. “Tidak, aku beri risalah pertandingan
fotografi tadi,” sahut Kristina. “Oh, begitu. Eh, Kristina! Cikgu Stephen cari
kau,” beritahu pelajar perempuan itu. “ Cikgu Stephen cari aku?” Kristina
kehairanan. “ Ya, cepatlah! Dia dah tunggu di bilik guru,” pelajar perempuan
itu menarik tangan Kristina. “ Ya, sabarlah Isabel,” balas Kristina lagi.
Kristina memandang Mike sekilas. Dia mengenyitkan mata dan tersenyum lagi.
Isabel tidak melihat perlakuan Kristina. Mike semakin tersipu. Tidak sangka
Kristina seberani itu mengusiknya. Tidakkah dia berasa takut? Takut kerana Mike
melukis dirinya? Mike kehairanan melihat perlakuan Kristina. Kalau gadis lain
sudah tentu dikoyak-koyakkan lukisan itu dan dia akan dimarahi serta dimalukan
di hadapan pelajar lain. Mike masih tercegat di pintu kelas.
Tiba-tiba
Mike teringat semula apa yang dilakukan oleh Kristina tadi. Kristina tadi
sedang menulis sesuatu pada kertas lukisannya. Mike segera mendapatkan kertas
lukisannya. Dia ingin membaca apa yang Kristina telah tulis Dan di ruangan tepi
sebelah kanan bawah lukisan itu Mike terbaca, “hatiku bersimfoni...”. Hati Mike
teruntun membaca sepotong ayat itu. Dia tidak menyangka Kristina akan menulis
ayat itu pada lukisan yang dilukisnya. Dan kini, di kepala Mike mengandung
banyak persoalan. Apakah yang dirasai oleh Kristina sebenarnya? Adakah gadis
itu mula menyukainya atau sepotong ayat yang ditulis itu hanyalah satu usikan
nakal Kristina? Mike mengusap kepalanya. Kristina, gadis ini meruntun hatiku...
Bersambung
di Fragmen 5
Cinta Adalah(Cintaku Ibarat Nota Muzik)(Fragmen 5)
Kristina
dan Isabel berjalan beriringan ke bilik guru. Saat tiba di pintu, mereka
mengetuk perlahan. Kelihatan Cikgu Amber berdiri tidak jauh dari situ. Cikgu
Amber perasan kehadiran mereka berdua. “Ya, Kristina, Isabel? Apa halnya ni?” tanya
Cikgu Amber. Kristina dan Isabel terdiam seketika. Sesaat, mereka berdua
melihat wajah Cikgu Amber. Cikgu Amber amat lain sekali. “Cikgu...” kata Isabel
sambil memegang rambutnya. Cikgu Amber cuba menangkap kata-kata Isabel.
Akhirnya, dia faham. “Oh, ini. Cikgu potong hari tu. Terfikir untuk luruskan.
Jadi, cikgu luruskan,” kata Cikgu Amber. “Cantik, cikgu!” kata Kristina dan
Isabel. “ Eh, Cikgu Stephen perasan tak? Hehe,” Usik Isabel. Cikgu Amber
tersenyum malu. Dia mengusap rambutnya. Wajahnya mula merona merah kerana
diusik oleh Isabel. Kristina memerhati sekitar. Di satu sudut dia melihat
seorang guru lelaki sedang sibuk menulis sesuatu. “Cikgu Stephen yang panggil
kami ke sini. Dia nak jumpa Kristina,” kata Isabel. “Oh begitu. Pergilah jumpa
dia,” kata Cikgu Amber. “Cikgu ada pesan apa-apa tak? Nak kami kirim salam ke?”
kata Isabel. “Tak ada. Eh, jangan,” Cikgu Amber diselubungi rasa malu dan
takut. “Tak adalah cikgu, gurau saja. Baiklah cikgu, kami pergi dulu,” kata
Isabel. “Ya,” jawab Cikgu Amber. “Huh...” Cikgu Amber mengeluh perlahan. Dia memerhatikan
Kristina dan Isabel menuju ke arah Cikgu Stephen. Cikgu Stephen berhenti
menulis dan berbual dengan Kristina dan Isabel. Sedetik, Cikgu Amber memerhati
Cikgu Stephen. Guru muda itu cukup baik dengan pelajarnya. Lebih-lebih lagi
dengan Kristina dan Isabel. Agak lama juga dia memerhatikan Cikgu Stephen,
sehinggakan lelaki itu mula tersedar dan menoleh ke arahnya. Mata keduanya
bertentangan. Cikgu Amber cepat-cepat mengalihkan pandangannya. Cikgu Stephen
tersenyum. Kristina dan Isabel terperasan. Tak lama, mereka berdua tersenyum
dan ketawa. Cikgu Amber berasa semakin malu. Tak lama, Cikgu Amber meninggalkan
bilik guru. Perlakuannya menyebabkan Kristina dan Isabel berhenti ketawa.
Kristina dan Isabel dirundung rasa bersalah. “Apa kita dah buat ni?” kata
Isabel. “Cikgu, kami nak pergi minta maaf.” Isabel menarik tangan Kristina
tetapi dihalang oleh Cikgu Stephen. “Isabel, Kristina,” Cikgu Stephen
menggelengkan kepala. “Kita teruskan perbualan. Lagipun banyak yang saya hendak
beritahu Kristina.” Kristina dan Isabel terdiam. Mereka melihat wajah Cikgu
Stephen yang cuba untuk menenangkan diri. “Maafkan kami cikgu,” kata Isabel.
“Tak apa,” jawab Cikgu Stephen.
Bersambung
Fragmen 6.
Cinta Adalah(Cintaku Ibarat Nota Muzik)(Fragmen 6)
Petang itu
redup. Angin berhembus lembut. Dedaun berguguran ditiup angin. Stephen berjalan
perlahan. Setibanya di kuburan, dia meletakkan setangkai bunga Lily di pusara.
Amanda Dong, 1986-2007. Gadis yang ceria dan suka berjenaka. Terkadang manja.
Apabila ketawa, lesung pipi di pipinya akan kelihatan. Dan, ini akan menyerikan
wajahnya. Stephen membuang ranting dan daun yang gugur di atas pusara Amanda. “
Stephen, terima kasih kerana sudi hadir dalam hidup saya. Saya amat
menghargainya. Saya pergi tidak lama. Tunggu saya, ya!” Itulah kata-kata
terakhir Amanda sebelum gadis itu pergi buat selamanya. Dan, saat itu Stephen
tidak menyangka nahas pesawat itu telah menghancurkan impiannya untuk hidup
bersama dengan Amanda. Stephen masih ingat lagi, sehari sebelum Amanda pergi
dia sempat menyanyikan sebuah lagu yang diciptakannya khas buat Amanda, “Fly To
You”. “Amanda, lagu ini saya ciptakan khas buat awak. Sedang awak jauh, dan
teringatkan saya, awak panggillah nama saya. Tatkala itu juga saya akan pergi
menemui awak,” Stephen teringat semula kata-katanya kepada Amanda. Sejak
pemergian Amanda,Stephen tidak lagi menyentuh gitarnya. Dia sering mengunjungi
pusara Amanda. Meletakkan bunga dan bersembahyang di pusara. Perlakuannya
membimbangkan ibu dan bapanya. Mereka menasihati Stephen. Lama-kelamaan,
Stephen beransur pulih. Dia mampu menerima kehilangan Amanda. Dia kembali
memetik gitar, setelah sekian lama tidak bermain. Namun, dia tetap mencintai
Amanda dan belum bersedia menerima mana-mana gadis lain untuk mengisi ruang
hatinya yang sudah kosong. Dia teringat akan kata-kata ayah Amanda. “Stephen,
pakcik lihat awak selalu juga pergi melawat pusara Amanda. Terima kasih
Stephen,kerana masih ingat akan anak pakcik. Cuma, pakcik harap awak juga fikir
akan kebahagiaan diri sendiri. Seberat-berat hati Stephen untuk melepaskan
Amanda, berat lagi hati pakcik. Amanda sudah bahagia di sana. Lepaskanlah dia,
Stephen.” kata ayah Amanda sambil memegang bahunya. Stephen hanya berdiam diri.
Dia tidak menjawab kata-kata ayah Amanda. Sehelai daun kering menimpa rambut
Stephen. Dia tersedar dari lamunannya. Sesaat, dia teringat kepada seseorang.
Seseorang yang cuba menghadirkan diri dalam ruang hatinya. “ Amber, maafkan
aku...” kata Stephen sendirian sambil menunduk perlahan.
Bersambung
di Fragmen 7.
Cinta Adalah(Cintaku
Ibarat Nota Muzik) (Fragmen 7)
Ramai orang
di perpustakaan hari itu. Kebanyakannya adalah pelajar. Biasalah, minggu ini
minggu ulangkaji. Peperiksaan pertengahan tahun akan bermula minggu depan. Para
pelajar mengambil kesempatan ini untuk pergi ke perpustakaan. Belajar dan
membuat perbincangan secara berkumpulan. Di samping itu, mereka juga mencari
buku rujukan yang bersesuaian dengan topik. Di luar perpustakaan, kelihatan
seorang lelaki sedang duduk di tangga. Dia membaca sebuah buku. Matanya
menyorot setiap catatan yang terdapat dalam buku itu. Sedang dia leka membaca,
datang seorang gadis dari arah belakangnya. Gadis itu menepuk bahunya. “Ha,
buat apa kat sini? Kenapa tak masuk dalam?” tanya gadis itu. Lelaki itu sedikit
tersentak dengan tepukan itu. Dia menoleh ke belakang. “ Oh, kau Erina. Dalam
banyak sangat orang. Kat luar ni seronok sikit. Rasa lebih tenang,” kata lelaki
itu. “Alah, banyak kau punya alasan. Kau tak nak kat dalam sebab ada dia, kan?”
Erina cuba mengusik lelaki itu. “Tak adalah,” jawab lelaki itu ringkas. Dia
agak sedikit terganggu dengan pertanyaan itu. “Am, kau baca buku apa tu?” Buku
yang dipegang oleh Am menarik perhatian Erina. Am menutup buku itu lalu
memberikannya kepada Erina. Erina membaca tajuk buku itu. “Panduan menulis
novel? Kau nak menulis novel ke, Am?” tanya Erina. Am tersenyum lalu mengangguk
perlahan. “Wah, hebat! Daripada sajak beralih ke novel pulak,” kata Erina. “Aku
nak cuba sesuatu yang baru. Bagi aku, novel itu sama juga seperti sajak. Ia
adalah cerminan masyarakat,” jawab Am. “Betul, tu. Tak salah mencuba sesuatu
yang baru. Am, novel pun novel jugak. Kau dah belajar ke? Minggu depan kita nak
ujian,” tanya Erina. Erina memandang Am. Am mengatur cermin matanya. “Sudah,”
kata Am. “Eh, Am! Marilah masuk dalam. Jangan seorang-seorang kat sini. Tak
baik, nanti orang culik!” ajak Erina. “Tak apalah. Aku lebih suka kat sini.
Err...Erina, buku aku,” kata Am sambil meminta bukunya kembali. “Kau nak buku
ni, kau ikut aku masuk ke dalam. Marilah!” pujuk Erina lagi.
“Yalah,
yalah,” kata Am. Akhirnya Am mengalah. Erina dan Am berjalan masuk ke dalam
perpustakaan. Pintu perpustakaan dibuka. Erina memandang sekitar. Matanya
melilau mencari seseorang. Di satu sudut seorang gadis sedang menulis. Sesaat,
gadis itu berhenti menulis. Tangannya mula mengatur rambut. Erina tersenyum
lebar. Erina memandang Am. “Jom, Am! Kita jumpa dia,” kata Erina. Dia menarik
tangan Am. “Erina, aku..” perasaan malu tiba-tiba hadir dalam diri Am. Dia
berasa serba salah. Erina terus menarik tangan Am, dan mereka berjalan menuju
ke arah gadis itu.
Bersambung
Fragmen 8.
Cinta Adalah(Cintaku Ibarat Nota Muzik)(Fragmen 8)
Gadis itu mengatur
rambutnya. Tak lama, dia merasakan ada derap tapak kaki menuju ke arahnya. Agak
laju dan buru-buru. Gadis itu mendongakkan kepala. Dia terpandang Erina dan Am.
Kelihatan, Erina memegang tangan Am. Tersedar, Erina melepaskan pegangan. Erina
memandang wajah gadis itu. “Jasmine, ni aku bawa Am. Dia kata nak jumpa kau,”
kata Erina. Erina memandang wajah Am. Dia mencubit lengan lelaki itu. Am
terpinga-pinga dengan kata-kata Erina. “Err..tak...” belum sempat Am
menghabiskan kata-katanya, sekali lagi Erina menyentuhnya. Kali ini ditepuk di
belakang pula. Agak kuat sehingga Am hampir tertolak ke arah Jasmine. Tepukan
yang kuat itu menarik perhatian orang di sekitar. Mereka berpaling ke arah
Erina, Am dan Jasmine. Erina tersedar dengan perlakuannya. Dia segera menunduk
dan meminta maaf. Erina memandang wajah Jasmine. Dia tersengih. Am semakin
kurang selesa. Dia seperti ingin pergi dari situ. Tetapi, belum sempat dia
berbuat demikian, kakinya telah dipijak oleh Erina. “Oh, Tuhan,”bisik Am
sendirian. Bisikan Am itu menarik perhatian Jasmine. Dia memandang wajah lelaki
itu. Jasmine tersenyum. “Duduklah,” pelawa Jasmine lembut. “Am, duduklah. Orang
dah pelawa tu!” kata Erina kepada Am. Erina menyuruh Am duduk dekat dengan
Jasmine. Dengan perlahan, Am duduk di kerusi. Am menyangka Erina akan duduk
bersama dengan mereka. Namun, jangkaan Am meleset. Sebaliknya, Erina
cepat-cepat beredar dari situ. Am menjadi kaku seketika. Sebelum pergi, Erina
sempat melambai ke arah Am dan Jasmine. Erina membuat isyarat semoga berjaya
kepada Am. Jasmine tersenyum lagi. Dia akhirnya ketawa kecil kerana tidak tahan
melihat telatah Erina. Am memberanikan diri memandang wajah Jasmine. Jasmine,
dengan rambut separas bahu. Wajah yang putih dan dagu yang belah. Sungguh
cantik! Kata Am di dalam hati. Am rasa terpukau melihat kecantikan Jasmine. Tak
lama, Jasmine memalingkan mukanya. Dia memandang wajah Am. Sesaat, mereka
berbalas renungan. Jasmine tersenyum. Am tersipu malu. “Kenapa awak nak jumpa
saya?” tanya Jasmine. Am rasa serba salah. Dia tidak tahu apa yang ingin
diberitahu. Semua ini kerja Erina. “Huh...” Am mengeluh perlahan. Jasmine
terdengar keluhan Am. “Erin usik awak, ya?” tanya Jasmine. Dia seperti tahu
bahawa Erina yang merencanakan segalanya. Am terdiam. Dia cuba mencari jawapan
yang sesuai. “Err...sebenarnya saya, sebenarnya saya nak belajar menulis
daripada awak. Ya, belajar menulis,” akhirnya jawapan itu keluar dari mulut Am.
Jasmine tersentak. Jasmine terdiam seketika.“Boleh, tapi saya nak awak hasilkan
sebuah sajak untuk saya,”kata Jasmine. Sajak? Seakan teruja, Am mengangguk dan
tersenyum. Dan, Jasmine membalas senyuman itu...
Bersambung
Fragmen 9.
Cinta Adalah(Cintaku
Ibarat Nota Muzik) (Fragmen
9)
1...2...3...4...5...6...7...8...9...10...
1...2...3...4...5...6...7...8...9...10...
1...2...3...4...5...6...7...8...9...10...
“Huh...Huh...Huh...” Perlakuannya
tiba-tiba terhenti. Dia menghentikan kiraan. Dia terduduk. Peluh menitik jatuh
dari muka. Disapunya perlahan. Dia menundukkan kepalanya. Memandang lantai
simen. Dia cuba untuk membuang kepenatan. Lama juga dia memandang lantai simen
itu. Tak lama, kedengaran bunyi tapak kaki. Bunyinya semakin kuat dan menghampiri.
Tertarik dengan bunyi itu, dia mendongakkan kepalanya. Dia terpandang satu
susuk tubuh atletik di hadapannya. Lelaki itu tersenyum memandangnya. “Letih
ke?” tanya lelaki itu. Dia hanya mengangguk perlahan. “Simon, ajar aku cara
menumbuk.” Tiba-tiba dia bersuara.
Menyatakan hasratnya kepada lelaki itu. Spontan, Simon menghayunkan kedua belah
tangannya dan melakukan aksi menumbuk. “ Ajar kau cara menumbuk? Kau larat lagi ke? Penat betul
kau aku tengok. Muka pun dah merah-merah,” ujar Simon. “ Larat lagi ni,” dia
membalas kata-kata Simon. “Baiklah,” Simon menjawab lalu menghulurkan
tangannya. Dia menyambut tangan Simon dan segera angkat. Kemudian, keduanya
saling membuka baju dan meletakkannya di tepi. Gelagat mereka berdua menarik
perhatian pengunjung taman tasik itu. Tidak lupa juga kepada dua orang gadis
yang sedang lalu di hadapan mereka. “Wow...kau lihat tu,” kata salah seorang
daripada gadis itu. Rakannya tersenyum dan kemudian tertawa kecil. “Mantapnya,”
kata gadis itu lagi. Susuk tubuh Simon memang tegap dan cantik.Terutama pada
bahagian perutnya yang berketul. Sifar lemak di situ. Dia pula sedikit kurus
namun susuk tubuhnya masih menampakkan dirinya sebagai seorang petinju. Walaupun
seakan menyedari diperhatikan oleh orang di sekeliling, mereka berdua tetap
meneruskan latihan. Berlatih di luar, dengan udara petang yang menghembus
lembut sememangnya memberikan pengalaman latihan yang berbeda. Lebih nyaman dan
tenteram berbanding di dalam gim yang tertutup. Ini secara tidak langsung
memberi kesan yang positif terhadap emosi petinju. Petang itu,mereka berlatih teknik
tinju yang biasa dilakukan seperti tumbuk lurus (jab), tumbuk sauk (uppercut),
dan tumbuk cangkuk (hook). “Ada caranya untuk memperkeras tinju atau pukulan.
Semuanya dapat diperoleh dengan latihan yang rutin. Memiliki tinju atau pukulan
yang keras tentunya akan meningkatkan kepercayaan diri kita saat hendak
melakukan sparing.Kita
akan yakin kalau lawan yang kita pukul akan terjatuh hanya dengan melakukan
beberapa pukulan saja, tapi harus memiliki ketepatan target yang bagus dalam
melakukan pukulan,” kata Simon. “Jadi, apa caranya?” dia bertanya.. “Macam yang
kau biasa lakukan, ‘Push Up’. Lagi satu, memukul dinding,” kata Simon lagi.
“Memukul dinding?”dia bertanya lagi. “ Ya, tapi bukan seperti hendak memukul
orang. Hati-hati, boleh cedera tangan dibuatnya. Lakukan dengan perlahan-lahan
tapi lakukan sampai berulang kali. Jangan terlalu perlahan juga, kau dapat
mengatur kekuatannya sesuai kemampuan,” jelas Simon lagi. “Terima kasih, Simon.
Kau banyak ajar aku,” dia berkata. “Alah, hal kecil itu.” kata Simon. Sesaat,
Simon memandang mentari yang hampir melabuhkan tirai. “Eh, dah lewat ni, hari pun dah semakin gelap.
Jom, kita balik,” ajak Simon. Dia mengangguk perlahan, dan keduanya mula
berjalan pulang dari taman tasik itu. Sepanjang perjalanan pulang itu, dia
berfikir sesuatu. Dalam diam, dia amat mengagumi lelaki bernama Simon. Simon
yang sentiasa memberi tunjuk ajar kepada dia. Dia, dia yang bernama Ronny Mark.
Bersambung Fragmen 10. Nantikan
sambungannya...
Cinta
Adalah(Cintaku Ibarat Nota Muzik) (Fragmen 10)
Kristina melihat jam di pergelangan
tangannya. Waktu sudah menunjukkan pukul 3.00 petang. Keadaan di dalam bilik
kelas agak riuh. Namun begitu, agak terjaga. Tiada murid yang berjalan ke sana
dan ke mari. Tetap juga mereka mengusik sesama sendiri. Hari ini perjumpaan
Kelab Fotografi. Ramai juga yang datang, terutama ahli baru dari Tingkatan 1.
Tidak lama, satu susuk tubuh masuk ke dalam kelas. Lelaki itu mengepit fail di
tangannya. Dialah cikgu Stephen, guru penasihat Kelab Fotografi. Selain itu,
dia juga membawa sebuah beg. Sejurus selepas Cikgu Stephen masuk ke dalam
kelas, semua pelajar berdiri dan mengucapkan selamat petang. “Selamat petang,
cikgu,” kata mereka. “Ya, selamat petang semua. Sila duduk,” jawab Cikgu
Stephen.Kristina dan pelajar lain kemudiannya duduk. Cikgu Stephen melihat
sekeliling. Ramai juga yang datang, fikirnya dalam hati. “Baiklah, cikgu
ucapkan terima kasih kepada semua pelajar kerana ramai juga yang hadir hari
ini. Dan cikgu harap ianya akan berterusan. Nama saya Cikgu Stephen. Mungkin
tidak asing lagi bagi kamu di sini, tapi mungkin baru bagi adik-adik kamu di Tingkatan
1. Cikgu selaku guru penasihat untuk Kelab Fotografi. Dan ini, cikgu
perkenalkan kamu kepada Kristina, pengerusi Kelab Fotografi,” Cikgu Stephen
memperkenalkan pelajar lain kepada Kristina. Kristina berdiri dan
memperkenalkan diri. “Hai, nama saya Kristina. Saya gembira awak semua memilih
Kelab Fotografi. Harap kita dapat bekerjasama,” kata Kristina. Raut wajah
Kristina yang menawan itu menarik perhatian ahli baru. Mereka tersenyum. Ada
juga yang tertawa. Barangkali tujuan mereka memasuki Kelab Fotografi adalah
kerana ingin bersua dan dekat dengan Kristina. “Baiklah Kristina, awak boleh
duduk,”kata Cikgu Stephen. Kristina duduk semula. Cikgu Stephen mengeluarkan
sesuatu dari dalam beg. Ianya adalah sebuah kamera. Kamera itu menarik
perhatian pelajar baru. Bagi pelajar lama, mungkin mereka sudah biasa, namun
hati tertarik juga. “Kristina, boleh awak datang ke depan dan bantu saya
terangkan tentang kamera ini?” kata Cikgu Stephen. “Ya, boleh Cikgu,” Kristina
bingkas dari tempat duduknya dan segera tampil ke depan. Cikgu Stephen
menyerahkan kamera itu kepada Kristina. Kristina menyambut kamera itu.
Kemudian, dia membelek-belek kamera itu. Dia memandang sekeliling. “Yang lain
diam, dengar penerangan daripada Kristina. Kristina, teruskan,” kata Cikgu Stephen.
Tidak lama, Kristina pun memberi penerangannya. “Ini adalah kamera DSLR Canon
EOS 70D.Ia memiliki spesifikasi dan fitur yang sangat kompleks, dengan rekaan
badan yang padat dan kukuh serta grip yang nyaman. Ia memberikan kenyamanan
ketika digenggam. Kamera ini dilengkapi dengan Layar LCD variangel yang dapat
diputar hingga 360 darjah sebesar tiga inci. Kamera ini juga dibekalkan dengan
Prosessor Gambar DIGIC 5+ dan menggunakan sensor CMOS 22.5mm x 15.0mm, sehingga
mampu menghasilkan gambar dan video dengan kualiti yang mengagumkan.Boleh saya
cuba ambil gambar, Cikgu?” tanya Kristina kepada Cikgu Stephen. “Ya, silakan,”
jawab Cikgu Stephen. Kristina kemudiannya menunjuk cara bagaimana menggunakan
kamera DSLR Canon EOS 70D. Dia mengambil beberapa keping gambar. Perlakuan
Kristina menarik perhatian ahli baru. Mereka tertarik dengan penerangan
Kristina yang jelas dan lancar. Di samping itu, Kristina juga ada menunjuk cara
bagaimana menggunakan kamera. Di akhir perjumpaan, Cikgu Stephen membuat
sedikit pengumuman. “Baiklah, pertandingan fotografi akan bermula dua minggu
dari sekarang. Diharap ahli kelab dapat membuat persediaan dan perancangan.
Boleh dapatkan borang pertandingan daripada Kristina. Tiga pemenang akan
mewakili pertandingan fotografi peringkat bahagian,” jelas Cikgu Stephen. Semua
pelajar berpandangan sesama sendiri. Bagi mereka, inilah peluang untuk mencuba
nasib di samping mengasah bakat. Kristina mengalihkan pandangannya kepada Cikgu
Stephen. Dia dapat melihat kesungguhan di wajah guru muda itu. Dan, Kristina
pun tersenyum.
Bersambung fragmen 11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan