Selekoh Terakhir~Fragmen 3
Guran mengeluarkan
kunci motosikal dari dalam saku seluarnya. Kerana terlalu gopoh, kunci itu
terlepas dari tangannya lalu jatuh ke tanah. Guran segera menunduk untuk
mengambil kunci itu semula. Tiba-tiba dia terdengar suara seseorang menjerit
meminta tolong. Suara itu datangnya dari lorong di belakang bar itu. Guran ingin
cepat. Dia tidak ada masa untuk semua itu. Guran menghidupkan enjin
motosikalnya. Dia kemudiannya memecut meninggalkan bar itu. Jauh juga dia sudah
meninggalkan bar itu. Sesaat, Guran berasa serba salah. Orang itu dalam bahaya,
fikirnya. Guran berpatah balik. Dia menuju ke bar itu semula. Guran pergi ke
lorong belakang. Guran mencari arah suara itu tadi. Namun, suara itu sudah
tidak kedengaran lagi. Tidak lama, Guran terlihat sekujur tubuh gadis terlentang.
Guran segera menghampiri tubuh itu. Guran melihat wajah gadis itu memucat.
Kulitnya mengecut. Seperti orang kehilangan semua darah. Pandangan Guran terarah
kepada leher gadis itu. Di leher gadis itu ada dua kesan tusukan. Di luar
tusukan itu terdapat kesan darah yang masih membasah. Guran kehairanan. Apakah
yang telah berlaku kepada gadis ini? Adakah darahnya telah dihisap? Guran
diselubungi rasa takut. Dia segera lari meninggalkan gadis itu di situ. Guran
menghidupkan enjin motosikalnya. Dia kemudiannya memecut laju.
Wajah Guran
diterjah angin malam. Dia merasa seram sejuk. Gadis itu tadi telah dihisap darahnya.
Wajah gadis yang pucat dan kekeringan itu masih jelas terbayang. Kenapa dia
harus berpatah balik? Kenapa dia harus melihat semua itu? Dalam ketar, Guran
gagahkan dirinya untuk terus menunggang motosikalnya itu. Guran teringat kepada
Amanda semula. Dia terus memecut laju untuk segera pulang ke rumah. Sesampainya
di rumah, Guran segera memasang lampu ruang tamu. Dia memanggil-manggil nama
Amanda. Tidak lama, Amanda perlahan-lahan keluar dari bilik.Dia meraba-raba
sekitar. Guran segera mendapatkan Amanda. “Abang dah balik? “ tanya Amanda.
Guran memeluk erat Amanda, adiknya itu.Amanda kehairanan. “Kenapa abang? Apa
sudah berlaku?” tanya Amanda lagi. Guran tidak menjawab. Sebaliknya terus
memeluk Amanda. Tidak lama, mata Guran bergenang. Air matanya menitis. Guran
menangis. Amanda mendengar tangisan Guran. Dan Amanda semakin kehairanan. Apa
yang telah berlaku kepada abang?
Bersambung di
Fragmen 3~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan