Kristina~Dia
Tidak Tahu Akan Kewujudanku (Fragmen 2)
Mike segera
bangun dan lari keluar dari kelas. Dia tidak menyangka gadis yang berdiri dan
memerhatikannya tadi ialah Kristina. Ya, Kristina Diamond. Gadis yang selama
ini diperhatikannya dari jauh dan diminatinya dalam diam. Dia berasa amat
terkejut, tidak dapat mengimbang dan terjatuh dari kerusi. Dia berasa amat malu
dengan kejadian itu. Dan lebih memalukan lagi Kristina mentertawakannya. Mike
berlari menuju ke arah sepohon pokok rendang di padang. Dia mendudukkan diri di
atas rumput. Cuba sedayanya untuk menenangkan diri dan rasa gelabahnya.
Kristina mentertawakannya. Jahatkah Kristina? Siapa pun pasti tertawa, fikir
Mike. Mike mengusap rambutnya. Mike terfikir, kenapa agaknya Kristina datang ke
kelasnya tadi? Apa yang Kristina buat di situ? Kenapa Kristina datang ke
arahnya? Sudah lamakah dia diperhatikan?
Segalanya berlegar dalam kepala Mike. Mike menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Tiba-tiba Mike teringat apa yang dilakukannya tadi sehingga tidak menyedari
kehadiran Kristina. Dia memegang sebatang pensel dan sedang melukis. Melukis?
Ya, melukis. Dan lukisan itu masih terletak di atas meja. Di atas meja? Oh,
tidak!
Kristina
terkejut dengan perlakuan Mike. Mike yang terjatuh dari kerusi segera bangun
dan lari keluar dari kelas. Kristina tidak dapat menahan ketawa melihat Mike.
Adakah Mike lari keluar dari kelas kerana dia malu ditertawakan? Kristina
tiba-tiba dirundung rasa bersalah. Rasa bersalah kerana mentertawakan Mike.
Tapi, Kristina tidak sengaja. Bukan niatnya untuk sengaja ketawa dan memalukan
Mike. Dia betul-betul tidak dapat menahan ketawanya. Dan Kristina tidak sempat
berkata apa-apa apatah lagi memberikan penjelasan. Niatnya masuk ke kelas
sebelah hanya untuk memberi risalah pertandingan fotografi. Cuma, dia tertarik
dengan apa yang dilakukan oleh Mike yang membuatkannya memerhatikan lelaki itu.
Sesaat matanya tertumpu ke arah lukisan di atas meja Mike. Oh, ini yang
dilakukan oleh lelaki tadi. Dia sedang melukis, fikir Kristina. Kristina
memegang lukisan itu. Diperhatikannya dengan teliti. Tiba-tiba muka Kristina
merona merah. Dia tidak menyangka bahawa Mike melukis dirinya. Dirinya yang
sedang...
Bersambung
di Fragmen 3~^^
Tiada ulasan:
Catat Ulasan