Perahu
Timun Iban~ Fragmen 2
“Dia tetap
menunggu meski esok bukan miliknya...”
Aki Suki
memotong setengah timun iban. Kemudian, isinya dikeluarkan. Diletakkannya di
dalam mangkuk. Garam ditabur dan digaulkan bersama timun iban. Suki memerhati.
Dia seperti tidak sabar. Aki Suki tersenyum. Aki Suki tahu Suki begitu suka
makan timun iban dicampur garam. Sebab itu, awal-awal lagi dia turun ke kebun
untuk mencari timun iban. Apa yang Suki tunggu-tunggu sebenarnya ialah perahu
timun iban. Setelah timun iban dipotong setengah dan isinya dikeluarkan, kulit
yang tinggal akan membentuk seperti perahu. Dan perahu timun iban itu Suki
hanyutkan di sungai kecil yang terletak tidak berjauhan dari kebun. Aki Suki memberi
perahu timun iban kepada Suki. Suki ketawa riang. “Hati-hati, jangan main jauh
sangat” Aki Suki mengingatkan Suki. Aki Suki memerhati Suki yang berlari riang
menuju sungai kecil. “Biar saya tengok-tengokkan dia, “ kata Ini Suki. Ini Suki
turun dari langkau dan mengikut Suki dari belakang. Ini Suki memanggil-manggil
nama Suki. Suki menoleh ke bekakang. “Mari Ini, kita main perahu,” Suki
mengajak neneknya. Aki Suki tersenyum lagi. Sudah besar Suki, fikirnya. Dahulu,
sewaktu ditinggalkan oleh ayahnya, Suki baru berusia setahun. Kini, Suki sudah
pun berusia lima tahun lebih. Sesaat, Aki Suki teringat kepada Sempurai. Sudah
lama Sempurai tidak balik ke kampung dan melawat Suki. Walaupun begitu,
Sempurai tidak pernah gagal memberikan wang belanja. Dahulu, sewaktu baru
mendapat kerja semula, Sempurai sering balik ke kampung. Banyak buah tangan
yang dia bawa. Sempurai belikan Suki baju baru. Tidak lupa juga untuknya dan
Ini Suki. Untuknya, Sempurai belikan kemeja lengan panjang. Untuk Ini Suki,
Sempurai belikan kain sarung. Suki suka benar pakai baju yang dibelikan oleh
Sempurai. Terkadang, masih basah-basah pun Suki minta neneknya mengangkat baju
itu di jemuran. Aki Suki pernah bertanyakan apa kerja Sempurai. Sempurai
memberitahu dia bekerja sebagai pemandu lori. Sempurai memberitahu lagi bahawa
tauke tempatnya bekerja sangat baik orangnya. Aki Suki menasihati Sempurai
supaya kerja baik-baik dan ikut cakap tauke. Sempurai mengangguk dan menyatakan
bahawa dia akan bekerja bersungguh-sungguh untuk Suki. Dalam diam, Aki Suki
tersentuh hati melihat Sempurai. Sempurai bekerja siang dan malam untuk menyara
Suki. Setelah kematian isterinya, hidup Sempurai masih belum terurus sepenuhnya.
Suatu hari, dia menyuarakan hasratnya kepada Sempurai agar lelaki itu mencari
pengganti kepada isterinya yang sudah tiada. Sempurai diam dan tidak menjawab.
Seperti dia tidak menyenangi apa yang Aki Suki hasratkan. Adakah itu punca
Sempurai jarang balik ke kampung lagi?
Aki Suki
tersedar dari lamunannya apabila dikejutkan oleh Suki yang berlari-lari ke
arahnya. “Aki! Aki! Ada ikan di sungai tadi!” jerit Suki. Ini Suki hanya
mengekori perlahan dari belakang. Tidak terdaya dia mengejar Suki. Suki
mendapatkan Aki Suki. Aki Suki mengusap lembut rambut Suki. Dia memeluk erat
Suki dan mengucup pipi Suki. Tidak lama, matanya bergenang. Aki Suki cuba untuk
menyeka air matanya namun ia gugur juga. Suki melihat datuknya dengan hati yang
hairan. “Kenapa Aki menangis?” tanya Suki. “Tiada apa-apa, Suki,” Aki Suki
menyapu wajahnya dengan lengan baju. Sempurai, pulanglah. Getus hatinya.
Bersambung
di Fragmen 3
Tiada ulasan:
Catat Ulasan