Kristina Special...
Dua lagi watak dalam Kristina. Jasmine Sweetheart dan Am Nass.Jasmine, gadis yang meminati bidang jurnalis, manakala Am Nass pula adalah lelaki yang meminati puisi. Jasmine ialah gadis yang amat cantik dengan rambut separas bahu dan dagunya belah. Am pula seorang lelaki biasa, rambut berpotongan kemas dan berkaca mata. Watak Jasmine dan Am antara yang menghidupkan cerita Kristina. Fragmen 7 dan 8 memaparkan kisah mereka berdua. Selamat membaca.
Kristina... Fragmen 7
Ramai orang di perpustakaan hari itu. Kebanyakannya adalah pelajar. Biasalah, minggu ini minggu ulangkaji. Peperiksaan pertengahan tahun akan bermula minggu depan. Para pelajar mengambil kesempatan ini untuk pergi ke perpustakaan. Belajar dan membuat perbincangan secara berkumpulan. Di samping itu, mereka juga mencari buku rujukan yang bersesuaian dengan topik. Di luar perpustakaan, kelihatan seorang lelaki sedang duduk di tangga. Dia membaca sebuah buku. Matanya menyorot setiap catatan yang terdapat dalam buku itu. Sedang dia leka membaca, datang seorang gadis dari arah belakangnya. Gadis itu menepuk bahunya. “Ha, buat apa kat sini? Kenapa tak masuk dalam?” tanya gadis itu. Lelaki itu sedikit tersentak dengan tepukan itu. Dia menoleh ke belakang. “ Oh, kau Erina. Dalam banyak sangat orang. Kat luar ni seronok sikit. Rasa lebih tenang,” kata lelaki itu. “Alah, banyak kau punya alasan. Kau tak nak kat dalam sebab ada dia, kan?” Erina cuba mengusik lelaki itu. “Tak adalah,” jawab lelaki itu ringkas. Dia agak sedikit terganggu dengan pertanyaan itu. “Am, kau baca buku apa tu?” Buku yang dipegang oleh Am menarik perhatian Erina. Am menutup buku itu lalu memberikannya kepada Erina. Erina membaca tajuk buku itu. “Panduan menulis novel? Kau nak menulis novel ke, Am?” tanya Erina. Am tersenyum lalu mengangguk perlahan. “Wah, hebat! Daripada sajak beralih ke novel pulak,” kata Erina. “Aku nak cuba sesuatu yang baru. Bagi aku, novel itu sama juga seperti sajak. Ia adalah cerminan masyarakat,” jawab Am. “Betul, tu. Tak salah mencuba sesuatu yang baru. Am, novel pun novel jugak. Kau dah belajar ke? Minggu depan kita nak ujian,” tanya Erina. Erina memandang Am. Am mengatur cermin matanya. “Sudah,” kata Am. “Eh, Am! Marilah masuk dalam. Jangan seorang-seorang kat sini. Tak baik, nanti orang culik!” ajak Erina. “Tak apalah. Aku lebih suka kat sini. Err...Erina, buku aku,” kata Am sambil meminta bukunya kembali. “Kau nak buku ni, kau ikut aku masuk ke dalam. Marilah!” pujuk Erina lagi.
“Yalah, yalah,” kata Am. Akhirnya Am mengalah. Erina dan Am berjalan masuk ke dalam perpustakaan. Pintu perpustakaan dibuka. Erina memandang sekitar. Matanya melilau mencari seseorang. Di satu sudut seorang gadis sedang menulis. Sesaat, gadis itu berhenti menulis. Tangannya mula mengatur rambut. Erina tersenyum lebar. Erina memandang Am. “Jom, Am! Kita jumpa dia,” kata Erina. Dia menarik tangan Am. “Erina, aku..” perasaan malu tiba-tiba hadir dalam diri Am. Dia berasa serba salah. Erina terus menarik tangan Am, dan mereka berjalan menuju ke arah gadis itu.
Bersambung Fragmen 8. Nantikan sambungannya...
Kristina... Fragmen 8
Gadis itu mengatur rambutnya. Tak lama, dia merasakan ada derap tapak kaki menuju ke arahnya. Agak laju dan buru-buru. Gadis itu mendongakkan kepala. Dia terpandang Erina dan Am. Kelihatan, Erina memegang tangan Am. Tersedar, Erina melepaskan pegangan. Erina memandang wajah gadis itu. “Jasmine, ni aku bawa Am. Dia kata nak jumpa kau,” kata Erina. Erina memandang wajah Am. Dia mencubit lengan lelaki itu. Am terpinga-pinga dengan kata-kata Erina. “Err..tak...” belum sempat Am menghabiskan kata-katanya, sekali lagi Erina menyentuhnya. Kali ini ditepuk di belakang pula. Agak kuat sehingga Am hampir tertolak ke arah Jasmine. Tepukan yang kuat itu menarik perhatian orang di sekitar. Mereka berpaling ke arah Erina, Am dan Jasmine. Erina tersedar dengan perlakuannya. Dia segera menunduk dan meminta maaf. Erina memandang wajah Jasmine. Dia tersengih. Am semakin kurang selesa. Dia seperti ingin pergi dari situ. Tetapi, belum sempat dia berbuat demikian, kakinya telah dipijak oleh Erina. “Oh, Tuhan,”bisik Am sendirian. Bisikan Am itu menarik perhatian Jasmine. Dia memandang wajah lelaki itu. Jasmine tersenyum. “Duduklah,” pelawa Jasmine lembut. “Am, duduklah. Orang dah pelawa tu!” kata Erina kepada Am. Erina menyuruh Am duduk dekat dengan Jasmine. Dengan perlahan, Am duduk di kerusi. Am menyangka Erina akan duduk bersama dengan mereka. Namun, jangkaan Am meleset. Sebaliknya, Erina cepat-cepat beredar dari situ. Am menjadi kaku seketika. Sebelum pergi, Erina sempat melambai ke arah Am dan Jasmine. Erina membuat isyarat semoga berjaya kepada Am. Jasmine tersenyum lagi. Dia akhirnya ketawa kecil kerana tidak tahan melihat telatah Erina. Am memberanikan diri memandang wajah Jasmine. Jasmine, dengan rambut separas bahu. Wajah yang putih dan dagu yang belah. Sungguh cantik! Kata Am di dalam hati. Am rasa terpukau melihat kecantikan Jasmine. Tak lama, Jasmine memalingkan mukanya. Dia memandang wajah Am. Sesaat, mereka berbalas renungan. Jasmine tersenyum. Am tersipu malu. “Kenapa awak nak jumpa saya?” tanya Jasmine. Am rasa serba salah. Dia tidak tahu apa yang ingin diberitahu. Semua ini kerja Erina. “Huh...” Am mengeluh perlahan. Jasmine terdengar keluhan Am. “Erin usik awak, ya?” tanya Jasmine. Dia seperti tahu bahawa Erina yang merencanakan segalanya. Am terdiam. Dia cuba mencari jawapan yang sesuai. “Err...sebenarnya saya, sebenarnya saya nak belajar menulis daripada awak. Ya, belajar menulis,” akhirnya jawapan itu keluar dari mulut Am. Jasmine tersentak. Jasmine terdiam seketika.“Boleh, tapi saya nak awak hasilkan sebuah sajak untuk saya,”kata Jasmine. Sajak? Seakan teruja, Am mengangguk dan tersenyum. Dan, Jasmine membalas senyuman itu...
Oh, ya!Karya ini akan dibukukan! Seronoknya!
Layari http://brain-psychoneuron.blogspot.com/ danhttp://penaberdansa.blogspot.com/ untuk membaca karya-karya saya. Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan