Kristina Special...
Pernahkah anda terdorong untuk mengisi kekosongan hati seseorang yang telah lama ditinggalkan? Bagaimana pula penerimaan si dia? Pernahkah anda ditolak? Apa pula perasaan anda? Cikgu Amber Katerina dalam diam menyukai Cikgu Stephen. Sesekali memperlihatkan rasa minatnya terhadap guru muda itu. Adakah Stephen menerima cinta Cikgu Amber? Semuanya dalam Kristina Fragmen 5 dan 6...
Kristina... (Fragmen 5)
Kristina dan Isabel berjalan beriringan ke bilik guru. Saat tiba di pintu, mereka mengetuk perlahan. Kelihatan Cikgu Amber berdiri tidak jauh dari situ. Cikgu Amber perasan kehadiran mereka berdua. “Ya, Kristina, Isabel? Apa halnya ni?” tanya Cikgu Amber. Kristina dan Isabel terdiam seketika. Sesaat, mereka berdua melihat wajah Cikgu Amber. Cikgu Amber amat lain sekali. “Cikgu...” kata Isabel sambil memegang rambutnya. Cikgu Amber cuba menangkap kata-kata Isabel. Akhirnya, dia faham. “Oh, ini. Cikgu potong hari tu. Terfikir untuk luruskan. Jadi, cikgu luruskan,” kata Cikgu Amber. “Cantik, cikgu!” kata Kristina dan Isabel. “ Eh, Cikgu Stephen perasan tak? Hehe,” Usik Isabel. Cikgu Amber tersenyum malu. Dia mengusap rambutnya. Wajahnya mula merona merah kerana diusik oleh Isabel. Kristina memerhati sekitar. Di satu sudut dia melihat seorang guru lelaki sedang sibuk menulis sesuatu. “Cikgu Stephen yang panggil kami ke sini. Dia nak jumpa Kristina,” kata Isabel. “Oh begitu. Pergilah jumpa dia,” kata Cikgu Amber. “Cikgu ada pesan apa-apa tak? Nak kami kirim salam ke?” kata Isabel. “Tak ada. Eh, jangan,” Cikgu Amber diselubungi rasa malu dan takut. “Tak adalah cikgu, gurau saja. Baiklah cikgu, kami pergi dulu,” kata Isabel. “Ya,” jawab Cikgu Amber. “Huh...” Cikgu Amber mengeluh perlahan. Dia memerhatikan Kristina dan Isabel menuju ke arah Cikgu Stephen. Cikgu Stephen berhenti menulis dan berbual dengan Kristina dan Isabel. Sedetik, Cikgu Amber memerhati Cikgu Stephen. Guru muda itu cukup baik dengan pelajarnya. Lebih-lebih lagi dengan Kristina dan Isabel. Agak lama juga dia memerhatikan Cikgu Stephen, sehinggakan lelaki itu mula tersedar dan menoleh ke arahnya. Mata keduanya bertentangan. Cikgu Amber cepat-cepat mengalihkan pandangannya. Cikgu Stephen tersenyum. Kristina dan Isabel terperasan. Tak lama, mereka berdua tersenyum dan ketawa. Cikgu Amber berasa semakin malu. Tak lama, Cikgu Amber meninggalkan bilik guru. Perlakuannya menyebabkan Kristina dan Isabel berhenti ketawa. Kristina dan Isabel dirundung rasa bersalah. “Apa kita dah buat ni?” kata Isabel. “Cikgu, kami nak pergi minta maaf.” Isabel menarik tangan Kristina tetapi dihalang oleh Cikgu Stephen. “Isabel, Kristina,” Cikgu Stephen menggelengkan kepala. “Kita teruskan perbualan. Lagipun banyak yang saya hendak beritahu Kristina.” Kristina dan Isabel terdiam. Mereka melihat wajah Cikgu Stephen yang cuba untuk menenangkan diri. “Maafkan kami cikgu,” kata Isabel. “Tak apa,” jawab Cikgu Stephen.
Bersambung Fragmen 6. Nantikan sambungannya...
Kristina...(Fragmen 6)
Petang itu redup. Angin berhembus lembut. Dedaun berguguran ditiup angin. Stephen berjalan perlahan. Setibanya di kuburan, dia meletakkan setangkai bunga Lily di pusara. Amanda Dong, 1986-2007. Gadis yang ceria dan suka berjenaka. Terkadang manja. Apabila ketawa, lesung pipit di pipinya akan kelihatan. Dan, ini akan menyerikan wajahnya. Stephen membuang ranting dan daun yang gugur di atas pusara Amanda. “ Stephen, terima kasih kerana sudi hadir dalam hidup saya. Saya amat menghargainya. Saya pergi tidak lama. Tunggu saya, ya!” Itulah kata-kata terakhir Amanda sebelum gadis itu pergi buat selamanya. Dan, saat itu Stephen tidak menyangka nahas pesawat itu telah menghancurkan impiannya untuk hidup bersama dengan Amanda. Stephen masih ingat lagi, sehari sebelum Amanda pergi dia sempat menyanyikan sebuah lagu yang diciptakannya khas buat Amanda, “Fly To You”. “Amanda, lagu ini saya ciptakan khas buat awak. Sedang awak jauh, dan teringatkan saya, awak panggillah nama saya. Tatkala itu juga saya akan pergi menemui awak,” Stephen teringat semula kata-katanya kepada Amanda. Sejak pemergian Amanda,Stephen tidak lagi menyentuh gitarnya. Dia sering mengunjungi pusara Amanda. Meletakkan bunga dan bersembahyang di pusara. Perlakuannya membimbangkan ibu dan bapanya. Mereka menasihati Stephen. Lama-kelamaan, Stephen beransur pulih. Dia mampu menerima kehilangan Amanda. Dia kembali memetik gitar, setelah sekian lama tidak bermain. Namun, dia tetap mencintai Amanda dan belum bersedia menerima mana-mana gadis lain untuk mengisi ruang hatinya yang sudah kosong. Dia teringat akan kata-kata ayah Amanda. “Stephen, pakcik lihat awak selalu juga pergi melawat pusara Amanda. Terima kasih Stephen,kerana masih ingat akan anak pakcik. Cuma, pakcik harap awak juga fikir akan kebahagiaan diri sendiri. Seberat-berat hati Stephen untuk melepaskan Amanda, berat lagi hati pakcik. Amanda sudah bahagia di sana. Lepaskanlah dia, Stephen.” kata ayah Amanda sambil memegang bahunya. Stephen hanya berdiam diri. Dia tidak menjawab kata-kata ayah Amanda. Sehelai daun kering menimpa rambut Stephen. Dia tersedar dari lamunannya. Sesaat, dia teringat kepada seseorang. Seseorang yang cuba menghadirkan diri dalam ruang hatinya. “ Amber, maafkan aku...” kata Stephen sendirian sambil menunduk perlahan.
p/s : Bukan mudah...
Oh, ya!Kristina akan dibukukan! Seronoknya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan