Kristina
Special...
Kata Kristina Diamond : “Gambar adalah kehidupan yang tersuling dan terpelihara
selamanya. Wajah yang ekspresif, masa yang sekejap dalam alam, bentuk yang
abstrak, semua ini adalah asas-asas fotografi. Sebuah gambar men...yampaikan
sesuatu yang tidak boleh dijelaskan melalui kata-kata, rasa misteri dan
keindahan hidup, sifat dan pencapaian manusia.”
Kata Mike Loire : “Lukisan adalah kejujuran seni. Tiada kemungkinan untuk
menipu. Ia adalah sama ada baik atau buruk.”
Kristina meminati bidang fotografi manakala Mike meminati bidang lukisan. Dua
minat berbeda, menemukan mereka berdua. Adakah mereka mampu seiringan atau
akhirnya membawa haluan masing-masing? Terimalah fragmen istimewa Kristina,
fragmen 1-4. Antara Kristina Diamond dan Mike Loire.
Kristina... (Fragmen1)
Kristina. Cerita ini mengisahkan tentang seorang gadis bernama Kristina yang
berusia 17 tahun. Kristina merupakan seorang pelajar yang baru berpindah
sekolah. Semasa diperkenalkan oleh Cikgu Stephen, Kristina berharap agar
kehadirannya diterima oleh rakan sekelas. Seorang pelajar bertanya akan hobi
Kristina. Kristina memberitahu bahawa dia amat meminati bidang fotografi.
Baginya, gambar adalah kehidupan yang tersuling dan terpelihara selamanya.
Wajah yang ekspresif, masa yang sekejap dalam alam, bentuk yang abstrak, semua
ini adalah asas-asas fotografi. Sebuah gambar menyampaikan sesuatu yang tidak
boleh dijelaskan melalui kata-kata, rasa misteri dan keindahan hidup, sifat dan
pencapaian manusia. Kata-kata Kristina membuatkan pelajar itu terdiam. Cikgu
Stephen memandang Kristina, menepuk tangannya kemudian disertai oleh semua
pelajar. Mereka kagum dengan kata-kata Kristina. Kehadiran Kristina di sekolah
itu telah menarik perhatian semua orang, tidak lupa juga seorang pelajar
bernama Mike. Dia ialah pelajar dari kelas sebelah. Tanpa pengetahuan Kristina,
Mike sering memerhatinya dari jauh. Namun, apabila terserempak Mike segera
menunduk dan mengalihkan pandangannya daripada Kristina. Kristina menyertai
Kelab Fotografi di sekolahnya. Suatu hari, Kristina telah masuk ke kelas
sebelah untuk mengedarkan risalah pertandingan fotografi.Kehadiran Kristina
tidak disedari oleh Mike kerana waktu itu Mike sedang leka melukis. Sampai di
meja Mike, Kristina ingin menyerahkan risalah. Sesaat, dia tertarik dengan apa
yang Mike lakukan. Kristina memerhatikan Mike. Mike menyedari sesuatu
sehinggakan dia mendongakkan kepala. Mike amat terkejut dengan kehadiran
Kristina.Dia hilang imbangan dan terjatuh dari kerusi. Perlakuan Mike
membuatkan Kristina tidak dapat menahan ketawanya. Mike berasa amat malu dengan
kejadian itu. Dia segera bangun, dan lari keluar dari kelas. Tindakan Mike
mengejutkan Kristina. Dan, Kristina bertambah terkejut melihat apa yang dilukis
oleh Mike. Apakah yang dilukis oleh Mike sehingga membuatkan Kristina terkejut?
Adakah Mike mampu melupakan kejadian yang memalukan itu? Dan bagaimana hubungan
keduanya nanti? Semuanya dalam Kristina.
Kristina... (Fragmen 2)
Mike segera bangun dan lari keluar dari kelas. Dia tidak menyangka gadis yang
berdiri dan memerhatikannya tadi ialah Kristina. Ya, Kristina Diamond. Gadis
yang selama ini diperhatikannya dari jauh dan diminatinya dalam diam. Dia
berasa amat terkejut, tidak dapat mengimbang dan terjatuh dari kerusi. Dia
berasa amat malu dengan kejadian itu. Dan lebih memalukan lagi Kristina
mentertawakannya. Mike berlari menuju ke arah sepohon pokok rendang di padang.
Dia mendudukkan diri di atas rumput. Cuba sedayanya untuk menenangkan diri dan
rasa gelabahnya. Kristina mentertawakannya. Jahatkah Kristina? Siapa pun pasti
tertawa, fikir Mike. Mike mengusap rambutnya. Mike terfikir, kenapa agaknya
Kristina datang ke kelasnya tadi? Apa yang Kristina buat di situ? Kenapa
Kristina datang ke arahnya? Sudah lamakah dia diperhatikan? Segalanya berlegar
dalam kepala Mike. Mike menggaru kepalanya yang tidak gatal. Tiba-tiba Mike
teringat apa yang dilakukannya tadi sehingga tidak menyedari kehadiran
Kristina. Dia memegang sebatang pensel dan sedang melukis. Melukis? Ya, melukis.
Dan lukisan itu masih terletak di atas meja. Di atas meja? Oh, tidak!
Kristina terkejut dengan perlakuan Mike. Mike yang terjatuh dari kerusi segera
bangun dan lari keluar dari kelas. Kristina tidak dapat menahan ketawa melihat
Mike. Adakah Mike lari keluar dari kelas kerana dia malu ditertawakan? Kristina
tiba-tiba dirundung rasa bersalah. Rasa bersalah kerana mentertawakan Mike.
Tapi, Kristina tidak sengaja. Bukan niatnya untuk sengaja ketawa dan memalukan
Mike. Dia betul-betul tidak dapat menahan ketawanya. Dan Kristina tidak sempat
berkata apa-apa apatah lagi memberikan penjelasan. Niatnya masuk ke kelas
sebelah hanya untuk memberi risalah pertandingan fotografi. Cuma, dia tertarik
dengan apa yang dilakukan oleh Mike yang membuatkannya memerhatikan lelaki itu.
Sesaat matanya tertumpu ke arah lukisan di atas meja Mike. Oh, ini yang
dilakukan oleh lelaki tadi. Dia sedang melukis, fikir Kristina. Kristina
memegang lukisan itu. Diperhatikannya dengan teliti. Tiba-tiba muka Kristina
merona merah. Dia tidak menyangka bahawa Mike melukis dirinya. Dirinya yang
sedang...
Bersambung di Fragmen 3~^^
Kristina... (Fragmen 3)
Kristina memegang lukisan itu. Diperhatikannya dengan teliti. Tiba-tiba muka
Kristina merona merah. Dia tidak menyangka bahawa Mike melukis dirinya. Dirinya
yang sedang duduk, dirinya yang sedang berdiri, dirinya yang sedang berjalan.
Dan dirinya yang sedang mengambil gambar, iaitu yang paling besar sekali
terletak di tengah-tengah. Apa yang lebih mengejutkan Kristina ialah lukisan
itu sungguh ekspresif. Emosi Kristina tergambar sepenuhnya pada wajah yang
dilukis. Kristina tidak menyangka Mike dapat melukis dirinya sampai begitu
sekali. Perasaan Kristina sewaktu mengambil gambar juga dinyatakan oleh Mike
dengan tepat. Kristina juga tidak menyangka selama ini dia diperhatikan oleh
Mike. dan Mike menjadikannya subjek dalam lukisan. Kristina tidak tahu sama ada
dia rasa takut atau gembira ketika itu. Takut, kerana dia selama ini
diperhatikan. Gembira, kerana ada orang yang meminatinya dalam diam. Agak lama
Kristina memegang lukisan itu. Seperti dia tidak mahu melepaskannya. Akhirnya
dengan cermat, dia kemudiannya meletakkan lukisan itu di atas meja semula.
Kristina terpandang pensel yang digunakan oleh Mike untuk melukis. Tiba-tiba,
Kristina terfikir sesuatu. Dia kemudiannya mengambil pensel itu dan melukis
tanda ;) berserta sepotong ayat berbunyi “ hatiku bersimfoni...” di ruangan
tepi sebelah kanan bawah lukisan itu.
Mike berlari menuju ke kelas semula. Dia ingin mendapatkan lukisan itu. Sampai di
kelas, Mike terlihat Kristina yang sedang menulis sesuatu pada lukisan itu.
Kristina tersedar ada seseorang datang secara tergesa-gesa berdasarkan bunyi
tapak kaki. Kristina segera berpaling. Kristina terlihat Mike. Bibir Kristina
menguntum senyum. Mike kemudiannya tertunduk. Habislah...
Bersambung Fragmen 4~^^
Kristina... (Fragmen 4)
Kristina dan Mike saling berpandangan. Bibir Kristina menguntum senyum. Mike
kemudiannya tertunduk. Habislah...fikir Mike dalam hatinya. Habis, kerana semua
rahsianya sudah diketahui oleh Kristina. Kerana selama ini dia memerhati
Kristina dari jauh dan menjadikan Kristina subjek dalam lukisannya. Kristina
meletakkan semula pensel di atas meja. Sekali lagi dia memerhatikan lukisan
itu. Dan matanya terarah kepada sepotong ayat yang baru ditulisnya tadi. “
Hatiku bersimfoni...”, ayat itu ditulis oleh Kristina kerana dia merasakan
hatinya cukup gembira saat itu. Hatinya damai berlagu seperti diiringi oleh
kicauan burung dan orkestra. Takut? Kristina seperti tidak ada perasaan itu
lagi. Sebaliknya dia pula ingin mengetahui lebih lanjut tentang diri Mike.
Perlahan, Kristina berjalan ke arah Mike. Mike merasakan Kristina semakin
menghampirinya. Mike masih menunduk. Dia takut untuk mengangkat kepalanya.
“Hei, kamu!” kata Kristina. Perlahan Mike mengangkat mukanya. TIba-tiba
Kristina menghayunkan penumbuk ke muka Mike. Tetapi tidak singgah. Sengaja
Kristina buat begitu untuk melihat reaksi Mike. Kristina kemudiannya tertawa.
Menampakkan baris giginya yang cantik. Mike tersentak dengan perlakuan
Kristina. Kali ini giliran Mike pula yang tersipu malu. Muka Mike pula yang
merona merah.Tidak lama, datang seorang pelajar perempuan ke arah mereka
berdua. Pelajar perempuan itu segera mendapatkan Kristina. Dia melihat Mike
sesaat. Dia sedikit hairan. Apa yang Kristina buat bersama lelaki ini? Apa yang
mereka bualkan? “ Kristina, apa yang kau buat di sini?” tanya pelajar perempuan
itu. Kristina terdiam seketika. Dia cuba mencari jawapan yang sesuai. “Tidak,
aku beri risalah pertandingan fotografi tadi,” sahut Kristina. “Oh, begitu. Eh,
Kristina! Cikgu Stephen cari kau,” beritahu pelajar perempuan itu. “ Cikgu
Stephen cari aku?” Kristina kehairanan. “ Ya, cepatlah! Dia dah tunggu di bilik
guru,” pelajar perempuan itu menarik tangan Kristina. “ Ya, sabarlah Isabel,”
balas Kristina lagi. Kristina memandang Mike sekilas. Dia mengenyitkan mata dan
tersenyum lagi. Isabel tidak melihat perlakuan Kristina. Mike semakin tersipu.
Tidak sangka Kristina seberani itu mengusiknya. Tidakkah dia berasa takut? Takut
kerana Mike melukis dirinya? Mike kehairanan melihat perlakuan Kristina. Kalau
gadis lain sudah tentu dikoyak-koyakkan lukisan itu dan dia akan dimarahi serta
dimalukan di hadapan pelajar lain. Mike masih tercegat di pintu kelas.
Tiba-tiba Mike teringat semula apa yang dilakukan oleh Kristina tadi. Kristina
tadi sedang menulis sesuatu pada kertas lukisannya. Mike segera mendapatkan
kertas lukisannya. Dia ingin membaca apa yang Kristina telah tulis Dan di
ruangan tepi sebelah kanan bawah lukisan itu Mike terbaca, “hatiku
bersimfoni...”. Hati Mike teruntun membaca sepotong ayat itu. Dia tidak
menyangka Kristina akan menulis ayat itu pada lukisan yang dilukisnya. Dan
kini, di kepala Mike mengandung banyak persoalan. Apakah yang dirasai oleh
Kristina sebenarnya? Adakah gadis itu mula menyukainya atau sepotong ayat yang
ditulis itu hanyalah satu usikan nakal Kristina? Mike mengusap kepalanya.
Kristina, gadis ini meruntun hatiku...
p/s : Mampukah mereka bersama?
Oh, ya!Karya ini akan dibukukan! Sila komen ya.
Layari http://brain-psychoneuron.blogspot.com/
dan http://penaberdansa.blogspot.com/
untuk membaca karya-karya saya. Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan