Kristina Fragmen 1-9.
Kristina...
(Fragmen1)
Kristina. Cerita ini mengisahkan tentang seorang gadis bernama
Kristina yang berusia 17 tahun. Kristina merupakan seorang pelajar yang baru
berpindah sekolah. Semasa diperkenalkan oleh Cikgu Stephen, Kristina berharap
agar kehadirannya diterima oleh rakan sekelas. Seorang pelajar bertanya akan
hobi Kristina. Kristina memberitahu bahawa dia amat meminati bidang fotografi.
Baginya, gambar adalah kehidupan yang tersuling dan terpelihara selamanya.
Wajah yang ekspresif, masa yang sekejap dalam alam, bentuk yang abstrak, semua
ini adalah asas-asas fotografi. Sebuah gambar menyampaikan sesuatu yang tidak
boleh dijelaskan melalui kata-kata, rasa misteri dan keindahan hidup, sifat dan
pencapaian manusia. Kata-kata Kristina membuatkan pelajar itu terdiam. Cikgu
Stephen memandang Kristina, menepuk tangannya kemudian disertai oleh semua
pelajar. Mereka kagum dengan kata-kata Kristina. Kehadiran Kristina di sekolah
itu telah menarik perhatian semua orang, tidak lupa juga seorang pelajar bernama
Mike. Dia ialah pelajar dari kelas sebelah. Tanpa pengetahuan Kristina, Mike
sering memerhatinya dari jauh. Namun, apabila terserempak Mike segera menunduk
dan mengalihkan pandangannya daripada Kristina. Kristina menyertai Kelab
Fotografi di sekolahnya. Suatu hari,
Kristina telah masuk ke kelas sebelah untuk mengedarkan risalah pertandingan
fotografi.Kehadiran Kristina tidak disedari oleh Mike kerana waktu itu Mike
sedang leka melukis. Sampai di meja Mike, Kristina ingin menyerahkan risalah.
Sesaat, dia tertarik dengan apa yang Mike lakukan. Kristina memerhatikan Mike.
Mike menyedari sesuatu sehinggakan dia mendongakkan kepala. Mike amat terkejut
dengan kehadiran Kristina.Dia hilang imbangan dan terjatuh dari kerusi.
Perlakuan Mike membuatkan Kristina tidak dapat menahan ketawanya. Mike berasa
amat malu dengan kejadian itu. Dia segera bangun, dan lari keluar dari kelas.
Tindakan Mike mengejutkan Kristina. Dan, Kristina bertambah terkejut melihat
apa yang dilukis oleh Mike. Apakah yang dilukis oleh Mike sehingga membuatkan
Kristina terkejut? Adakah Mike mampu melupakan kejadian yang memalukan itu? Dan
bagaimana hubungan keduanya nanti? Semuanya dalam Kristina.
Kristina...
(Fragmen 2)
Mike segera
bangun dan lari keluar dari kelas. Dia tidak menyangka gadis yang berdiri dan
memerhatikannya tadi ialah Kristina. Ya, Kristina Diamond. Gadis yang selama
ini diperhatikannya dari jauh dan diminatinya dalam diam. Dia berasa amat
terkejut, tidak dapat mengimbang dan terjatuh dari kerusi. Dia berasa amat malu
dengan kejadian itu. Dan lebih memalukan lagi Kristina mentertawakannya. Mike
berlari menuju ke arah sepohon pokok rendang di padang. Dia mendudukkan diri di
atas rumput. Cuba sedayanya untuk menenangkan diri dan rasa gelabahnya.
Kristina mentertawakannya. Jahatkah Kristina? Siapa pun pasti tertawa, fikir
Mike. Mike mengusap rambutnya. Mike terfikir, kenapa agaknya Kristina datang ke
kelasnya tadi? Apa yang Kristina buat di situ? Kenapa Kristina datang ke
arahnya? Sudah lamakah dia diperhatikan?
Segalanya berlegar dalam kepala Mike. Mike menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Tiba-tiba Mike teringat apa yang dilakukannya tadi sehingga tidak menyedari
kehadiran Kristina. Dia memegang sebatang pensel dan sedang melukis. Melukis?
Ya, melukis. Dan lukisan itu masih terletak di atas meja. Di atas meja? Oh,
tidak!
Kristina
terkejut dengan perlakuan Mike. Mike yang terjatuh dari kerusi segera bangun
dan lari keluar dari kelas. Kristina tidak dapat menahan ketawa melihat Mike.
Adakah Mike lari keluar dari kelas kerana dia malu ditertawakan? Kristina
tiba-tiba dirundung rasa bersalah. Rasa bersalah kerana mentertawakan Mike.
Tapi, Kristina tidak sengaja. Bukan niatnya untuk sengaja ketawa dan memalukan
Mike. Dia betul-betul tidak dapat menahan ketawanya. Dan Kristina tidak sempat
berkata apa-apa apatah lagi memberikan penjelasan. Niatnya masuk ke kelas
sebelah hanya untuk memberi risalah pertandingan fotografi. Cuma, dia tertarik
dengan apa yang dilakukan oleh Mike yang membuatkannya memerhatikan lelaki itu.
Sesaat matanya tertumpu ke arah lukisan di atas meja Mike. Oh, ini yang
dilakukan oleh lelaki tadi. Dia sedang melukis, fikir Kristina. Kristina
memegang lukisan itu. Diperhatikannya dengan teliti. Tiba-tiba muka Kristina
merona merah. Dia tidak menyangka bahawa Mike melukis dirinya. Dirinya yang
sedang...
Bersambung
di Fragmen 3~^^
Kristina...
(Fragmen 3)
Kristina
memegang lukisan itu. Diperhatikannya dengan teliti. Tiba-tiba muka Kristina
merona merah. Dia tidak menyangka bahawa Mike melukis dirinya. Dirinya yang
sedang duduk, dirinya yang sedang berdiri, dirinya yang sedang berjalan. Dan
dirinya yang sedang mengambil gambar, iaitu yang paling besar sekali terletak
di tengah-tengah. Apa yang lebih mengejutkan Kristina ialah lukisan itu sungguh
ekspresif. Emosi Kristina tergambar sepenuhnya pada wajah yang dilukis.
Kristina tidak menyangka Mike dapat melukis dirinya sampai begitu sekali.
Perasaan Kristina sewaktu mengambil gambar juga dinyatakan oleh Mike dengan
tepat. Kristina juga tidak menyangka selama ini dia diperhatikan oleh Mike. dan
Mike menjadikannya subjek dalam lukisan. Kristina tidak tahu sama ada dia rasa
takut atau gembira ketika itu. Takut, kerana dia selama ini diperhatikan.
Gembira, kerana ada orang yang meminatinya dalam diam. Agak lama Kristina
memegang lukisan itu. Seperti dia tidak mahu melepaskannya. Akhirnya dengan
cermat, dia kemudiannya meletakkan lukisan itu di atas meja semula. Kristina
terpandang pensel yang digunakan oleh Mike untuk melukis. Tiba-tiba, Kristina
terfikir sesuatu. Dia kemudiannya mengambil pensel itu dan melukis tanda ;)
berserta sepotong ayat berbunyi “ hatiku bersimfoni...” di ruangan tepi sebelah
kanan bawah lukisan itu.
Mike
berlari menuju ke kelas semula. Dia ingin mendapatkan lukisan itu. Sampai di
kelas, Mike terlihat Kristina yang sedang menulis sesuatu pada lukisan itu.
Kristina tersedar ada seseorang datang secara tergesa-gesa berdasarkan bunyi
tapak kaki. Kristina segera berpaling. Kristina terlihat Mike. Bibir Kristina
menguntum senyum. Mike kemudiannya tertunduk. Habislah...
Bersambung
Fragmen 4~^^
Kristina...
(Fragmen 4)
Kristina
dan Mike saling berpandangan. Bibir Kristina menguntum senyum. Mike kemudiannya
tertunduk. Habislah...fikir Mike dalam hatinya. Habis, kerana semua rahsianya
sudah diketahui oleh Kristina. Kerana selama ini dia memerhati Kristina dari
jauh dan menjadikan Kristina subjek dalam lukisannya. Kristina meletakkan
semula pensel di atas meja. Sekali lagi dia memerhatikan lukisan itu. Dan
matanya terarah kepada sepotong ayat yang baru ditulisnya tadi. “ Hatiku
bersimfoni...”, ayat itu ditulis oleh Kristina kerana dia merasakan hatinya
cukup gembira saat itu. Hatinya damai berlagu seperti diiringi oleh kicauan
burung dan orkestra. Takut? Kristina seperti tidak ada perasaan itu lagi. Sebaliknya
dia pula ingin mengetahui lebih lanjut tentang diri Mike. Perlahan, Kristina
berjalan ke arah Mike. Mike merasakan Kristina semakin menghampirinya. Mike
masih menunduk. Dia takut untuk mengangkat kepalanya. “Hei, kamu!” kata
Kristina. Perlahan Mike mengangkat mukanya. TIba-tiba Kristina menghayunkan
penumbuk ke muka Mike. Tetapi tidak singgah. Sengaja Kristina buat begitu untuk
melihat reaksi Mike. Kristina kemudiannya tertawa. Menampakkan baris giginya
yang cantik. Mike tersentak dengan perlakuan Kristina. Kali ini giliran Mike
pula yang tersipu malu. Muka Mike pula yang merona merah.Tidak lama, datang
seorang pelajar perempuan ke arah mereka berdua. Pelajar perempuan itu segera
mendapatkan Kristina. Dia melihat Mike sesaat. Dia sedikit hairan. Apa yang
Kristina buat bersama lelaki ini? Apa yang mereka bualkan? “ Kristina, apa yang
kau buat di sini?” tanya pelajar perempuan itu. Kristina terdiam seketika. Dia
cuba mencari jawapan yang sesuai. “Tidak, aku beri risalah pertandingan
fotografi tadi,” sahut Kristina. “Oh, begitu. Eh, Kristina! Cikgu Stephen cari
kau,” beritahu pelajar perempuan itu. “ Cikgu Stephen cari aku?” Kristina
kehairanan. “ Ya, cepatlah! Dia dah tunggu di bilik guru,” pelajar perempuan
itu menarik tangan Kristina. “ Ya, sabarlah Isabel,” balas Kristina lagi.
Kristina memandang Mike sekilas. Dia mengenyitkan mata dan tersenyum lagi.
Isabel tidak melihat perlakuan Kristina. Mike semakin tersipu. Tidak sangka
Kristina seberani itu mengusiknya. Tidakkah dia berasa takut? Takut kerana Mike
melukis dirinya? Mike kehairanan melihat perlakuan Kristina. Kalau gadis lain
sudah tentu dikoyak-koyakkan lukisan itu dan dia akan dimarahi serta dimalukan
di hadapan pelajar lain. Mike masih tercegat di pintu kelas.
Tiba-tiba
Mike teringat semula apa yang dilakukan oleh Kristina tadi. Kristina tadi
sedang menulis sesuatu pada kertas lukisannya. Mike segera mendapatkan kertas
lukisannya. Dia ingin membaca apa yang Kristina telah tulis Dan di ruangan tepi
sebelah kanan bawah lukisan itu Mike terbaca, “hatiku bersimfoni...”. Hati Mike
teruntun membaca sepotong ayat itu. Dia tidak menyangka Kristina akan menulis
ayat itu pada lukisan yang dilukisnya. Dan kini, di kepala Mike mengandung
banyak persoalan. Apakah yang dirasai oleh Kristina sebenarnya? Adakah gadis
itu mula menyukainya atau sepotong ayat yang ditulis itu hanyalah satu usikan
nakal Kristina? Mike mengusap kepalanya. Kristina, gadis ini meruntun hatiku...
Bersambung
di Fragmen 5~Nantikan sambungannya...
Kristina...
(Fragmen 5)
Kristina
dan Isabel berjalan beriringan ke bilik guru. Saat tiba di pintu, mereka
mengetuk perlahan. Kelihatan Cikgu Amber berdiri tidak jauh dari situ. Cikgu
Amber perasan kehadiran mereka berdua. “Ya, Kristina, Isabel? Apa halnya ni?” tanya
Cikgu Amber. Kristina dan Isabel terdiam seketika. Sesaat, mereka berdua
melihat wajah Cikgu Amber. Cikgu Amber amat lain sekali. “Cikgu...” kata Isabel
sambil memegang rambutnya. Cikgu Amber cuba menangkap kata-kata Isabel.
Akhirnya, dia faham. “Oh, ini. Cikgu potong hari tu. Terfikir untuk luruskan.
Jadi, cikgu luruskan,” kata Cikgu Amber. “Cantik, cikgu!” kata Kristina dan
Isabel. “ Eh, Cikgu Stephen perasan tak? Hehe,” Usik Isabel. Cikgu Amber
tersenyum malu. Dia mengusap rambutnya. Wajahnya mula merona merah kerana
diusik oleh Isabel. Kristina memerhati sekitar. Di satu sudut dia melihat
seorang guru lelaki sedang sibuk menulis sesuatu. “Cikgu Stephen yang panggil
kami ke sini. Dia nak jumpa Kristina,” kata Isabel. “Oh begitu. Pergilah jumpa
dia,” kata Cikgu Amber. “Cikgu ada pesan apa-apa tak? Nak kami kirim salam ke?”
kata Isabel. “Tak ada. Eh, jangan,” Cikgu Amber diselubungi rasa malu dan
takut. “Tak adalah cikgu, gurau saja. Baiklah cikgu, kami pergi dulu,” kata
Isabel. “Ya,” jawab Cikgu Amber. “Huh...” Cikgu Amber mengeluh perlahan. Dia
memerhatikan Kristina dan Isabel menuju ke arah Cikgu Stephen. Cikgu Stephen
berhenti menulis dan berbual dengan Kristina dan Isabel. Sedetik, Cikgu Amber
memerhati Cikgu Stephen. Guru muda itu cukup baik dengan pelajarnya.
Lebih-lebih lagi dengan Kristina dan Isabel. Agak lama juga dia memerhatikan
Cikgu Stephen, sehinggakan lelaki itu mula tersedar dan menoleh ke arahnya.
Mata keduanya bertentangan. Cikgu Amber cepat-cepat mengalihkan pandangannya.
Cikgu Stephen tersenyum. Kristina dan Isabel terperasan. Tak lama, mereka
berdua tersenyum dan ketawa. Cikgu Amber berasa semakin malu. Tak lama, Cikgu
Amber meninggalkan bilik guru. Perlakuannya menyebabkan Kristina dan Isabel berhenti
ketawa. Kristina dan Isabel dirundung rasa bersalah. “Apa kita dah buat ni?”
kata Isabel. “Cikgu, kami nak pergi minta maaf.” Isabel menarik tangan Kristina
tetapi dihalang oleh Cikgu Stephen. “Isabel, Kristina,” Cikgu Stephen
menggelengkan kepala. “Kita teruskan perbualan. Lagipun banyak yang saya hendak
beritahu Kristina.” Kristina dan Isabel terdiam. Mereka melihat wajah Cikgu
Stephen yang cuba untuk menenangkan diri. “Maafkan kami cikgu,” kata Isabel.
“Tak apa,” jawab Cikgu Stephen.
Bersambung
Fragmen 6. Nantikan sambungannya...
Kristina...(Fragmen
6)
Petang itu
redup. Angin berhembus lembut. Dedaun berguguran ditiup angin. Stephen berjalan
perlahan. Setibanya di kuburan, dia meletakkan setangkai bunga Lily di pusara.
Amanda Dong, 1986-2007. Gadis yang ceria dan suka berjenaka. Terkadang manja.
Apabila ketawa, lesung pipit di pipinya akan kelihatan. Dan, ini akan
menyerikan wajahnya. Stephen membuang ranting dan daun yang gugur di atas
pusara Amanda. “ Stephen, terima kasih kerana sudi hadir dalam hidup saya. Saya
amat menghargainya. Saya pergi tidak lama. Tunggu saya, ya!” Itulah kata-kata
terakhir Amanda sebelum gadis itu pergi buat selamanya. Dan, saat itu Stephen
tidak menyangka nahas pesawat itu telah menghancurkan impiannya untuk hidup
bersama dengan Amanda. Stephen masih ingat lagi, sehari sebelum Amanda pergi
dia sempat menyanyikan sebuah lagu yang diciptakannya khas buat Amanda, “Fly To
You”. “Amanda, lagu ini saya ciptakan khas buat awak. Sedang awak jauh, dan
teringatkan saya, awak panggillah nama saya. Tatkala itu juga saya akan pergi menemui
awak,” Stephen teringat semula kata-katanya kepada Amanda. Sejak pemergian
Amanda,Stephen tidak lagi menyentuh gitarnya. Dia sering mengunjungi pusara
Amanda. Meletakkan bunga dan bersembahyang di pusara. Perlakuannya
membimbangkan ibu dan bapanya. Mereka menasihati Stephen. Lama-kelamaan,
Stephen beransur pulih. Dia mampu menerima kehilangan Amanda. Dia kembali
memetik gitar, setelah sekian lama tidak bermain. Namun, dia tetap mencintai
Amanda dan belum bersedia menerima mana-mana gadis lain untuk mengisi ruang
hatinya yang sudah kosong. Dia teringat akan kata-kata ayah Amanda. “Stephen,
pakcik lihat awak selalu juga pergi melawat pusara Amanda. Terima kasih
Stephen,kerana masih ingat akan anak pakcik. Cuma, pakcik harap awak juga fikir
akan kebahagiaan diri sendiri. Seberat-berat hati Stephen untuk melepaskan
Amanda, berat lagi hati pakcik. Amanda sudah bahagia di sana. Lepaskanlah dia,
Stephen.” kata ayah Amanda sambil memegang bahunya. Stephen hanya berdiam diri.
Dia tidak menjawab kata-kata ayah Amanda. Sehelai daun kering menimpa rambut
Stephen. Dia tersedar dari lamunannya. Sesaat, dia teringat kepada seseorang.
Seseorang yang cuba menghadirkan diri dalam ruang hatinya. “ Amber, maafkan
aku...” kata Stephen sendirian sambil menunduk perlahan.
Bersambung
di Fragmen 7. Nantikan sambungannya...
Kristina...
Fragmen 7
Ramai orang
di perpustakaan hari itu. Kebanyakannya adalah pelajar. Biasalah, minggu ini
minggu ulangkaji. Peperiksaan pertengahan tahun akan bermula minggu depan. Para
pelajar mengambil kesempatan ini untuk pergi ke perpustakaan. Belajar dan
membuat perbincangan secara berkumpulan. Di samping itu, mereka juga mencari
buku rujukan yang bersesuaian dengan topik. Di luar perpustakaan, kelihatan
seorang lelaki sedang duduk di tangga. Dia membaca sebuah buku. Matanya
menyorot setiap catatan yang terdapat dalam buku itu. Sedang dia leka membaca,
datang seorang gadis dari arah belakangnya. Gadis itu menepuk bahunya. “Ha,
buat apa kat sini? Kenapa tak masuk dalam?” tanya gadis itu. Lelaki itu sedikit
tersentak dengan tepukan itu. Dia menoleh ke belakang. “ Oh, kau Erina. Dalam
banyak sangat orang. Kat luar ni seronok sikit. Rasa lebih tenang,” kata lelaki
itu. “Alah, banyak kau punya alasan. Kau tak nak kat dalam sebab ada dia, kan?”
Erina cuba mengusik lelaki itu. “Tak adalah,” jawab lelaki itu ringkas. Dia
agak sedikit terganggu dengan pertanyaan itu. “Am, kau baca buku apa tu?” Buku
yang dipegang oleh Am menarik perhatian Erina. Am menutup buku itu lalu
memberikannya kepada Erina. Erina membaca tajuk buku itu. “Panduan menulis
novel? Kau nak menulis novel ke, Am?” tanya Erina. Am tersenyum lalu mengangguk
perlahan. “Wah, hebat! Daripada sajak beralih ke novel pulak,” kata Erina. “Aku
nak cuba sesuatu yang baru. Bagi aku, novel itu sama juga seperti sajak. Ia
adalah cerminan masyarakat,” jawab Am. “Betul, tu. Tak salah mencuba sesuatu
yang baru. Am, novel pun novel jugak. Kau dah belajar ke? Minggu depan kita nak
ujian,” tanya Erina. Erina memandang Am. Am mengatur cermin matanya. “Sudah,”
kata Am. “Eh, Am! Marilah masuk dalam. Jangan seorang-seorang kat sini. Tak
baik, nanti orang culik!” ajak Erina. “Tak apalah. Aku lebih suka kat sini.
Err...Erina, buku aku,” kata Am sambil meminta bukunya kembali. “Kau nak buku
ni, kau ikut aku masuk ke dalam. Marilah!” pujuk Erina lagi.
“Yalah,
yalah,” kata Am. Akhirnya Am mengalah. Erina dan Am berjalan masuk ke dalam
perpustakaan. Pintu perpustakaan dibuka. Erina memandang sekitar. Matanya
melilau mencari seseorang. Di satu sudut seorang gadis sedang menulis. Sesaat,
gadis itu berhenti menulis. Tangannya mula mengatur rambut. Erina tersenyum
lebar. Erina memandang Am. “Jom, Am! Kita jumpa dia,” kata Erina. Dia menarik
tangan Am. “Erina, aku..” perasaan malu tiba-tiba hadir dalam diri Am. Dia
berasa serba salah. Erina terus menarik tangan Am, dan mereka berjalan menuju
ke arah gadis itu.
Bersambung
Fragmen 8. Nantikan sambungannya...
Kristina...
Fragmen 8
Gadis itu mengatur
rambutnya. Tak lama, dia merasakan ada derap tapak kaki menuju ke arahnya. Agak
laju dan buru-buru. Gadis itu mendongakkan kepala. Dia terpandang Erina dan Am.
Kelihatan, Erina memegang tangan Am. Tersedar, Erina melepaskan pegangan. Erina
memandang wajah gadis itu. “Jasmine, ni aku bawa Am. Dia kata nak jumpa kau,”
kata Erina. Erina memandang wajah Am. Dia mencubit lengan lelaki itu. Am
terpinga-pinga dengan kata-kata Erina. “Err..tak...” belum sempat Am
menghabiskan kata-katanya, sekali lagi Erina menyentuhnya. Kali ini ditepuk di
belakang pula. Agak kuat sehingga Am hampir tertolak ke arah Jasmine. Tepukan
yang kuat itu menarik perhatian orang di sekitar. Mereka berpaling ke arah
Erina, Am dan Jasmine. Erina tersedar dengan perlakuannya. Dia segera menunduk
dan meminta maaf. Erina memandang wajah Jasmine. Dia tersengih. Am semakin kurang
selesa. Dia seperti ingin pergi dari situ. Tetapi, belum sempat dia berbuat
demikian, kakinya telah dipijak oleh Erina. “Oh, Tuhan,”bisik Am sendirian.
Bisikan Am itu menarik perhatian Jasmine. Dia memandang wajah lelaki itu.
Jasmine tersenyum. “Duduklah,” pelawa Jasmine lembut. “Am, duduklah. Orang dah
pelawa tu!” kata Erina kepada Am. Erina menyuruh Am duduk dekat dengan Jasmine.
Dengan perlahan, Am duduk di kerusi. Am menyangka Erina akan duduk bersama
dengan mereka. Namun, jangkaan Am meleset. Sebaliknya, Erina cepat-cepat
beredar dari situ. Am menjadi kaku seketika. Sebelum pergi, Erina sempat
melambai ke arah Am dan Jasmine. Erina membuat isyarat semoga berjaya kepada
Am. Jasmine tersenyum lagi. Dia akhirnya ketawa kecil kerana tidak tahan melihat
telatah Erina. Am memberanikan diri memandang wajah Jasmine. Jasmine, dengan
rambut separas bahu. Wajah yang putih dan dagu yang belah. Sungguh cantik! Kata
Am di dalam hati. Am rasa terpukau melihat kecantikan Jasmine. Tak lama,
Jasmine memalingkan mukanya. Dia memandang wajah Am. Sesaat, mereka berbalas
renungan. Jasmine tersenyum. Am tersipu malu. “Kenapa awak nak jumpa saya?”
tanya Jasmine. Am rasa serba salah. Dia tidak tahu apa yang ingin diberitahu.
Semua ini kerja Erina. “Huh...” Am mengeluh perlahan. Jasmine terdengar keluhan
Am. “Erin usik awak, ya?” tanya Jasmine. Dia seperti tahu bahawa Erina yang
merencanakan segalanya. Am terdiam. Dia cuba mencari jawapan yang sesuai.
“Err...sebenarnya saya, sebenarnya saya nak belajar menulis daripada awak. Ya,
belajar menulis,” akhirnya jawapan itu keluar dari mulut Am. Jasmine tersentak.
Jasmine terdiam seketika.“Boleh, tapi saya nak awak hasilkan sebuah sajak untuk
saya,”kata Jasmine. Sajak? Seakan teruja, Am mengangguk dan tersenyum. Dan,
Jasmine membalas senyuman itu...
Bersambung
Fragmen 9. Nantikan sambungannya...
Kristina...
Fragmen 9
1...2...3...4...5...6...7...8...9...10...
1...2...3...4...5...6...7...8...9...10...
1...2...3...4...5...6...7...8...9...10...
“Huh...Huh...Huh...” Perlakuannya tiba-tiba
terhenti. Dia menghentikan kiraan. Dia terduduk. Peluh menitik jatuh dari muka.
Disapunya perlahan. Dia menundukkan kepalanya. Memandang lantai simen. Dia cuba
untuk membuang kepenatan. Lama juga dia memandang lantai simen itu. Tak lama,
kedengaran bunyi tapak kaki. Bunyinya semakin kuat dan menghampiri. Tertarik
dengan bunyi itu, dia mendongakkan kepalanya. Dia terpandang satu susuk tubuh
atletik di hadapannya. Lelaki itu tersenyum memandangnya. “Letih ke?” tanya
lelaki itu. Dia hanya mengangguk perlahan. “Simon, ajar aku cara menumbuk.” Tiba-tiba dia bersuara. Menyatakan hasratnya
kepada lelaki itu. Spontan, Simon menghayunkan kedua belah tangannya dan
melakukan aksi menumbuk. “ Ajar kau cara
menumbuk? Kau larat lagi ke? Penat betul kau aku tengok. Muka pun dah
merah-merah,” ujar Simon. “ Larat lagi ni,” dia membalas kata-kata Simon.
“Baiklah,” Simon menjawab lalu menghulurkan tangannya. Dia menyambut tangan
Simon dan segera angkat. Kemudian, keduanya saling membuka baju dan
meletakkannya di tepi. Gelagat mereka berdua menarik perhatian pengunjung taman
tasik itu. Tidak lupa juga kepada dua orang gadis yang sedang lalu di hadapan
mereka. “Wow...kau lihat tu,” kata salah seorang daripada gadis itu. Rakannya
tersenyum dan kemudian tertawa kecil. “Mantapnya,” kata gadis itu lagi. Susuk
tubuh Simon memang tegap dan cantik.Terutama pada bahagian perutnya yang
berketul. Sifar lemak di situ. Dia pula sedikit kurus namun susuk tubuhnya
masih menampakkan dirinya sebagai seorang petinju. Walaupun seakan menyedari
diperhatikan oleh orang di sekeliling, mereka berdua tetap meneruskan latihan.
Berlatih di luar, dengan udara petang yang menghembus lembut sememangnya
memberikan pengalaman latihan yang berbeda. Lebih nyaman dan tenteram berbanding
di dalam gim yang tertutup. Ini secara tidak langsung memberi kesan yang
positif terhadap emosi petinju. Petang itu,mereka berlatih teknik tinju yang
biasa dilakukan seperti tumbuk lurus (jab), tumbuk sauk (uppercut), dan tumbuk
cangkuk (hook). “Ada caranya untuk memperkeras tinju atau pukulan. Semuanya
dapat diperoleh dengan latihan yang rutin. Memiliki tinju atau pukulan yang
keras tentunya akan meningkatkan kepercayaan diri kita saat hendak melakukan
sparing.Kita akan yakin
kalau lawan yang kita pukul akan terjatuh hanya dengan melakukan beberapa
pukulan saja, tapi harus memiliki ketepatan target yang bagus dalam melakukan
pukulan,” kata Simon. “Jadi, apa caranya?” dia bertanya.. “Macam yang kau biasa
lakukan, ‘Push Up’. Lagi satu, memukul dinding,” kata Simon lagi. “Memukul
dinding?”dia bertanya lagi. “ Ya, tapi bukan seperti hendak memukul orang.
Hati-hati, boleh cedera tangan dibuatnya. Lakukan dengan perlahan-lahan tapi
lakukan sampai berulang kali. Jangan terlalu perlahan juga, kau dapat mengatur
kekuatannya sesuai kemampuan,” jelas Simon lagi. “Terima kasih, Simon. Kau
banyak ajar aku,” dia berkata. “Alah, hal kecil itu.” kata Simon. Sesaat, Simon
memandang mentari yang hampir melabuhkan tirai. “Eh, dah lewat ni, hari pun dah semakin gelap.
Jom, kita balik,” ajak Simon. Dia mengangguk perlahan, dan keduanya mula
berjalan pulang dari taman tasik itu. Sepanjang perjalanan pulang itu, dia
berfikir sesuatu. Dalam diam, dia amat mengagumi lelaki bernama Simon. Simon
yang sentiasa memberi tunjuk ajar kepada dia. Dia, dia yang bernama Ronny Mark.
Bersambung Fragmen 10. Nantikan
sambungannya...
Perahu Timun
Iban~(Fragmen 1 – Fragmen 3)
Perahu
Timun Iban~Fragmen 1
“Dia tetap
menunggu meski esok bukan miliknya...”
Perahu
Timun Iban. Cerita ini mengisahkan tentang seorang tua yang bernama Aki Suki.
Aki Suki ada seorang cucu yang bernama Suki. Setelah ibunya Suri meninggal
dunia, Suki dijaga oleh Aki Suki dan Ini Suki. Suri amat kecewa dan menderita
dengan perbuatan Sempurai yang menggilai perempuan lain. Malam itu, Suri telah
membunuh dirinya dengan meminum racun. Kematian Suri amat mengejutkan Sempurai.
Dia berasa sungguh menyesal di atas perbuatannya. Sewaktu hari pengebumian
Suri, Sempurai tidak henti-henti menangis dan meraung meratapi kematian
isterinya. Dia memeluk mayat Suri. Namun, penderitaannya itu tidak setanding
kesedihan yang dirasai oleh Aki Suki dan Ini Suki. Suri, itulah satu-satunya
anak mereka. Sempurai mendapatkan Aki Suki untuk meminta ampun. Dia memegang
erat kaki Aki Suki. Aki Suki tidak berkata apa-apa. Di dalam hatinya Tuhan
sahaja yang tahu, betapa dia amat membenci lelaki itu. Namun, walau dibunuhnya
Sempurai itu tidak dapat mengembalikan dan menghidupkan semula anaknya Suri.
Ini Suki memukul-mukul Sempurai sambil menangis. Dia meminta Sempurai
menghidupkan semula anaknya Suri. Sempurai terus memegang erat kaki Aki Suki.
Penduduk kampung memerhatikan suasana itu dengan hati yang pilu.
Selepas
kematian Suri, Sempurai menjadi tidak tentu arah. Sekejap ketawa. Sekejap
menangis. Dan sering bercakap seorang diri. Apai Kelabu, tuai rumah meminta Aki
Suki membawa Sempurai berubat dengan Aki
Kilat, seorang manang. Apai Kelabu merasakan bahawa Sempurai benar-benar
menyesal di atas perbuatannya. Aki Suki akhirnya bersetuju dengan cadangan Apai
Kelabu sementara Ini Suki berkata kenapa tidak dibiarkan sahaja Sempurai itu
menjadi gila kerana ianya adalah balasan Tuhan kepadanya. Aki Suki memberitahu
Ini Suki bahawa dia sudah mula memaafkan Sempurai. Tambah Aki Suki lagi, kalau
mereka bertindak kejam terhadap Sempurai samalah seperti Sempurai yang
bertindak kejam terhadap anak mereka Suri. Sempurai sudah pun menerima
balasannya, kata Aki Suki lagi. Tidak lama selepas itu, Sempurai pun beransur
sembuh. Setelah sembuh sepenuhnya, Sempurai menyatakan hasratnya untuk mencari
semula pekerjaan yang baru setelah dahulu dia dibuang kerana lama tidak
bekerja. Kali ini dia akan merantau jauh. Sempurai meminta Aki Suki dan Ini
Suki menjaga Suki. Ini kerana biarlah keduanya menjaga Suki.Fikirnya itu dapat
mengubat hati Aki Suki dan Ini Suki yang sudah kematian Suri. Saat Sempurai
ingin pergi, dia memeluk erat Suki. Suki yang masih kecil itu terpinga-pinga,
namun menangis kemudiannya. Sempurai sebak. Aki Suki memegang bahu Sempurai.
Dia memberitahu Sempurai bahawa dia akan menjaga Suki dengan sebaiknya.
Sempurai berjalan perlahan meninggalkan Suki, Aki Suki dan Ini Suki. Setelah
agak jauh, Sempurai berpaling dan melambai tangannya. Suki, suatu hari nanti
ayah akan pulang. Ampuni aku Suri...
Bersambung
di Fragmen 2~
Perahu Timun
Iban~ Fragmen 2
“Dia tetap
menunggu meski esok bukan miliknya...”
Aki Suki
memotong setengah timun iban. Kemudian, isinya dikeluarkan. Diletakkannya di
dalam mangkuk. Garam ditabur dan digaulkan bersama timun iban. Suki memerhati.
Dia seperti tidak sabar. Aki Suki tersenyum. Aki Suki tahu Suki begitu suka
makan timun iban dicampur garam. Sebab itu, awal-awal lagi dia turun ke kebun
untuk mencari timun iban. Apa yang Suki tunggu-tunggu sebenarnya ialah perahu
timun iban. Setelah timun iban dipotong setengah dan isinya dikeluarkan, kulit
yang tinggal akan membentuk seperti perahu. Dan perahu timun iban itu Suki
hanyutkan di sungai kecil yang terletak tidak berjauhan dari kebun. Aki Suki
memberi perahu timun iban kepada Suki. Suki ketawa riang. “Hati-hati, jangan
main jauh sangat” Aki Suki mengingatkan Suki. Aki Suki memerhati Suki yang
berlari riang menuju sungai kecil. “Biar saya tengok-tengokkan dia, “ kata Ini
Suki. Ini Suki turun dari langkau dan mengikut Suki dari belakang. Ini Suki
memanggil-manggil nama Suki. Suki menoleh ke bekakang. “Mari Ini, kita main
perahu,” Suki mengajak neneknya. Aki Suki tersenyum lagi. Sudah besar Suki,
fikirnya. Dahulu, sewaktu ditinggalkan oleh ayahnya, Suki baru berusia setahun.
Kini, Suki sudah pun berusia lima tahun lebih. Sesaat, Aki Suki teringat kepada
Sempurai. Sudah lama Sempurai tidak balik ke kampung dan melawat Suki. Walaupun
begitu, Sempurai tidak pernah gagal memberikan wang belanja. Dahulu, sewaktu
baru mendapat kerja semula, Sempurai sering balik ke kampung. Banyak buah
tangan yang dia bawa. Sempurai belikan Suki baju baru. Tidak lupa juga untuknya
dan Ini Suki. Untuknya, Sempurai belikan kemeja lengan panjang. Untuk Ini Suki,
Sempurai belikan kain sarung. Suki suka benar pakai baju yang dibelikan oleh
Sempurai. Terkadang, masih basah-basah pun Suki minta neneknya mengangkat baju
itu di jemuran. Aki Suki pernah bertanyakan apa kerja Sempurai. Sempurai
memberitahu dia bekerja sebagai pemandu lori. Sempurai memberitahu lagi bahawa
tauke tempatnya bekerja sangat baik orangnya. Aki Suki menasihati Sempurai
supaya kerja baik-baik dan ikut cakap tauke. Sempurai mengangguk dan menyatakan
bahawa dia akan bekerja bersungguh-sungguh untuk Suki. Dalam diam, Aki Suki
tersentuh hati melihat Sempurai. Sempurai bekerja siang dan malam untuk menyara
Suki. Setelah kematian isterinya, hidup Sempurai masih belum terurus sepenuhnya.
Suatu hari, dia menyuarakan hasratnya kepada Sempurai agar lelaki itu mencari
pengganti kepada isterinya yang sudah tiada. Sempurai diam dan tidak menjawab.
Seperti dia tidak menyenangi apa yang Aki Suki hasratkan. Adakah itu punca
Sempurai jarang balik ke kampung lagi?
Aki Suki
tersedar dari lamunannya apabila dikejutkan oleh Suki yang berlari-lari ke
arahnya. “Aki! Aki! Ada ikan di sungai tadi!” jerit Suki. Ini Suki hanya
mengekori perlahan dari belakang. Tidak terdaya dia mengejar Suki. Suki
mendapatkan Aki Suki. Aki Suki mengusap lembut rambut Suki. Dia memeluk erat
Suki dan mengucup pipi Suki. Tidak lama, matanya bergenang. Aki Suki cuba untuk
menyeka air matanya namun ia gugur juga. Suki melihat datuknya dengan hati yang
hairan. “Kenapa Aki menangis?” tanya Suki. “Tiada apa-apa, Suki,” Aki Suki
menyapu wajahnya dengan lengan baju. Sempurai, pulanglah. Getus hatinya.
Bersambung
di Fragmen 3. Nantikan sambungannya...
Perahu
Timun Iban~ Fragmen 3
“Dia tetap
menunggu meski esok bukan miliknya...
Anyau
memasukkan kotak berisi barang makanan ke dalam lori. Jawa menyambut kotak itu,
menyusunnya cermat satu – persatu. Sesaat, Jawa mendongak ke atas. Terik
mentari memancar wajahnya. Jawa berhenti menyusun kotak itu seketika. Dia
mengesat peluh dengan menggunakan lengan baju. “Huh...” Jawa mengeluh perlahan.
Perlakuan Jawa menarik perhatian Anyau. “Letih ke?” tanya Anyau sambil
tersenyum. “ Mestilah. Sudahlah panas, Anyau. Rasa kena bakar,” Jawa menjawab
dengan nada merungut. “Ha, itulah. Kita dahulu tak nak sekolah betul-betul.
Akhirnya, dapat kerja macam ni. Tahan sahajalah Jawa,” kata Anyau. “ Betul tu,
Anyau. Tapi nak diingat balik pun tak guna. Masa bukannya boleh diputar,” balas
Jawa dengan nada menyesal. Anyau memandang wajah Jawa. Dia sangat mengerti
perasaan Jawa. Bukan sehari dua dia mengenali Jawa. Sejak dari kecil mereka
sudah berkawan. Anyau ingat lagi bagaimana dia dan Jawa tidak pergi ke sekolah
hari itu. Sebaliknya, mereka pergi ke sungai di hujung kampung untuk memancing
ikan dan udang. Sampai ke petang mereka di sana. Agak banyak juga tangkapan
yang mereka peroleh hari itu. Setelah penat memancing, mereka mandi pula
kemudiannya. Ketika mereka sedang leka mandi, tidak sedar pula kehadiran ibu
Anyau. Jeritan ibu Anyau menyedarkan mereka berdua. Anyau dan Jawa begitu
terkejut melihat ibu Anyau. Ibu Anyau siap membawa sebatang kayu yang dipegang
kemas. “Oh, ini kerja kamu ya, Anyau! Ingatkan ke sekolah, rupa-rupanya di
sini!” Anyau berasa sungguh takut melihat ibunya yang memegang sebatang kayu.
Jawa berenang ke tepi. Dia ingin lari dari situ. “Hei, Jawa! Ke mana kamu mahu
lari? Sini kamu! Jangan lari!” ibu Anyau memanggil Jawa. Jawa memandang Anyau.
Anyau masih lagi di air. Dia tidak mahu naik ke darat. “Apa kamu buat lagi di
situ, Anyau!? Naik!” kata ibu Anyau lagi. Semakin tinggi suaranya. “Tak mahu.
Nanti mak pukul,” Anyau menjawab dengan suara yang ketar. “Pukul tak pukul! Tak
naik, lagi teruk kamu mak kerjakan! Naik, Anyau!” ibu Anyau mengetapkan
giginya. Seperti dia cuba untuk menahan kemarahannya. Akhirnya, dengan perlahan
Anyau dan Jawa naik ke darat. Sebaik sahaja
naik ke darat, Anyau dipukul teruk oleh ibunya. Jawa pula dipulas
telinga oleh ibu Anyau kerana dia mengaku bahawa dia yang mengajak Anyau
memancing di sungai. Jawa tidak melawan, kerana dia tahu dia yang bersalah.
Lagipun, dia amat menghormati ibu Anyau. Ibu Anyau ialah kawan baik kepada mendiang
ibu Jawa. Setelah ibu Jawa meninggal dunia dan ayahnya berkahwin semula, Jawa
dijaga oleh neneknya. Ibu Anyau menganggap Jawa seperti anaknya sendiri kerana
sebelum ibu Jawa meninggal dunia, dia pernah berpesan kepada ibu Anyau supaya
sentiasa memerhatikan Jawa. Anyau menangis teresak – esak. Jawa bersimpati
dengan Anyau. Dia rasa sungguh menyesal kerana mengajak Anyau ponteng sekolah
hari itu. Pulang ke rumah, giliran Jawa pula dimarahi oleh neneknya. Nasib
baiklah neneknya tidak larat untuk memukul. Kalau tidak, pasti berbekas betis
Jawa. Keesokan harinya, ibu Anyau membawa Anyau dan Jawa berjumpa dengan guru
kelas mereka, Cikgu Jelai. Ibu Anyau menjelaskan semuanya. Dahi Cikgu Jelai
berkerut. Dia memandang wajah Anyau dan Jawa. Anyau dan Jawa menunduk. Tidak
berani bertentang mata dengan Cikgu Jelai. “Anyau, Jawa. Nanti cikgu bawa kamu
berdua berjumpa dengan Cikgu Seli,” kata Cikgu Jelai. Anyau dan Jawa hanya
mendiamkan diri. Cikgu Seli, iaitu PKHEM ialah seorang guru yang tegas dengan
murid-muridnya. Walaupun begitu, dia ialah seorang guru yang baik. Cikgu Seli
menasihati Anyau dan Jawa. “Jawa, ibu kamu sudah tiada. Ayah pun sudah
berkahwin lain. Patutnya kamu fikir tentang diri sendiri. Fikir tentang masa
depan kamu,” kata Cikgu Seli kepada Jawa. Hati Jawa tersentuh dengan kata –
kata Cikgu Seli. Air matanya mula menitis kerana Cikgu Seli menyebut mengenai
mendiang ibunya serta ayahnya yang sudah berkahwin lain, yang seperti sudah
melupakannya. Itu cerita sewaktu di sekolah rendah. Sewaktu di sekolah
menengah, entah di mana silapnya Anyau dan Jawa semakin tidak berminat untuk
belajar. Nampaknya, nasihat Cikgu Seli sampai di situ sahaja. Mereka kembali
ponteng sekolah dan pergi merayau – rayau. Sehinggalah Anyau dan Jawa terlibat
dalam satu pergaduhan dengan pelajar dari sekolah lain. Semuanya berlaku kerana
salah faham. Anyau dan Jawa pengsan dikerjakan oleh pelajar terbabit. Mereka
berdua dikejarkan ke hospital oleh seorang awam yang prihatin. “Lama menung.
Fikirkan tentang apa?” Tiba – tiba satu suara mengejutkan lamunan Anyau. Anyau
berpaling. Dia melihat satu susuk tubuh di hadapannya. Tinggi dan agak kurus. “
Ha, pergi mana tadi?” Jawa bertanya kepada lelaki itu. “Jumpa tauke. Sudah
habis masuk barang? Kita nak cepat ni,” kata lelaki itu. “Sikit lagi,” kata
Anyau. Tidak lama, seorang gadis menyebut nama lelaki itu dari jauh, “Sempurai,
hati – hati bawa lori!” gadis itu mengingatkan Sempurai. “Aik? Jumpa tauke kah
anak tauke ni?” usik Jawa. Wajah gadis itu merona merah. Anyau tertawa. Gadis
itu memandang wajah Sempurai. Sempurai memandang wajah gadis itu. Gadis itu
tersenyum, dan cuba memaknakan renungan. Sempurai membalas senyuman, dan
kemudiannya menunduk perlahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan