Kristina Diamond |
Kristina...
(Fragmen 1 – Fragmen 8)
Kristina...
(Fragmen1)
Kristina~Dia Tidak Tahu Akan Kewujudanku.Cerita ini mengisahkan
tentang seorang gadis bernama Kristina yang berusia 17 tahun. Kristina
merupakan seorang pelajar yang baru berpindah sekolah. Semasa diperkenalkan
oleh Cikgu Stephen, Kristina berharap agar kehadirannya diterima oleh rakan
sekelas. Seorang pelajar bertanya akan hobi Kristina. Kristina memberitahu
bahawa dia amat meminati bidang fotografi. Baginya, gambar adalah kehidupan
yang tersuling dan terpelihara selamanya. Wajah yang ekspresif, masa yang
sekejap dalam alam, bentuk yang abstrak, semua ini adalah asas-asas fotografi.
Sebuah gambar menyampaikan sesuatu yang tidak boleh dijelaskan melalui
kata-kata, rasa misteri dan keindahan hidup, sifat dan pencapaian manusia.
Kata-kata Kristina membuatkan pelajar itu terdiam. Cikgu Stephen memandang
Kristina, menepuk tangannya kemudian disertai oleh semua pelajar. Mereka kagum
dengan kata-kata Kristina. Kehadiran Kristina di sekolah itu telah menarik
perhatian semua orang, tidak lupa juga seorang pelajar bernama Mike. Dia ialah
pelajar dari kelas sebelah. Tanpa pengetahuan Kristina, Mike sering
memerhatinya dari jauh. Namun, apabila terserempak Mike segera menunduk dan
mengalihkan pandangannya daripada Kristina. Kristina menyertai Kelab Fotografi
di sekolahnya. Suatu hari, Kristina
telah masuk ke kelas sebelah untuk mengedarkan risalah pertandingan
fotografi.Kehadiran Kristina tidak disedari oleh Mike kerana waktu itu Mike sedang
leka melukis. Sampai di meja Mike, Kristina ingin menyerahkan risalah. Sesaat,
dia tertarik dengan apa yang Mike lakukan. Kristina memerhatikan Mike. Mike
menyedari sesuatu sehinggakan dia mendongakkan kepala. Mike amat terkejut
dengan kehadiran Kristina.Dia hilang imbangan dan terjatuh dari kerusi.
Perlakuan Mike membuatkan Kristina tidak dapat menahan ketawanya. Mike berasa
amat malu dengan kejadian itu. Dia segera bangun, dan lari keluar dari kelas.
Tindakan Mike mengejutkan Kristina. Dan, Kristina bertambah terkejut melihat
apa yang dilukis oleh Mike. Apakah yang dilukis oleh Mike sehingga membuatkan
Kristina terkejut? Adakah Mike mampu melupakan kejadian yang memalukan itu? Dan
bagaimana hubungan keduanya nanti? Semuanya dalam Kristina~Dia Tidak Tahu Akan
Kewujudanku.~^^
Kristina...
(Fragmen 2)
Mike segera
bangun dan lari keluar dari kelas. Dia tidak menyangka gadis yang berdiri dan
memerhatikannya tadi ialah Kristina. Ya, Kristina Diamond. Gadis yang selama
ini diperhatikannya dari jauh dan diminatinya dalam diam. Dia berasa amat
terkejut, tidak dapat mengimbang dan terjatuh dari kerusi. Dia berasa amat malu
dengan kejadian itu. Dan lebih memalukan lagi Kristina mentertawakannya. Mike
berlari menuju ke arah sepohon pokok rendang di padang. Dia mendudukkan diri di
atas rumput. Cuba sedayanya untuk menenangkan diri dan rasa gelabahnya.
Kristina mentertawakannya. Jahatkah Kristina? Siapa pun pasti tertawa, fikir
Mike. Mike mengusap rambutnya. Mike terfikir, kenapa agaknya Kristina datang ke
kelasnya tadi? Apa yang Kristina buat di situ? Kenapa Kristina datang ke
arahnya? Sudah lamakah dia diperhatikan?
Segalanya berlegar dalam kepala Mike. Mike menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Tiba-tiba Mike teringat apa yang dilakukannya tadi sehingga tidak menyedari
kehadiran Kristina. Dia memegang sebatang pensel dan sedang melukis. Melukis?
Ya, melukis. Dan lukisan itu masih terletak di atas meja. Di atas meja? Oh,
tidak!
Kristina
terkejut dengan perlakuan Mike. Mike yang terjatuh dari kerusi segera bangun
dan lari keluar dari kelas. Kristina tidak dapat menahan ketawa melihat Mike.
Adakah Mike lari keluar dari kelas kerana dia malu ditertawakan? Kristina
tiba-tiba dirundung rasa bersalah. Rasa bersalah kerana mentertawakan Mike.
Tapi, Kristina tidak sengaja. Bukan niatnya untuk sengaja ketawa dan memalukan
Mike. Dia betul-betul tidak dapat menahan ketawanya. Dan Kristina tidak sempat
berkata apa-apa apatah lagi memberikan penjelasan. Niatnya masuk ke kelas
sebelah hanya untuk memberi risalah pertandingan fotografi. Cuma, dia tertarik
dengan apa yang dilakukan oleh Mike yang membuatkannya memerhatikan lelaki itu.
Sesaat matanya tertumpu ke arah lukisan di atas meja Mike. Oh, ini yang
dilakukan oleh lelaki tadi. Dia sedang melukis, fikir Kristina. Kristina
memegang lukisan itu. Diperhatikannya dengan teliti. Tiba-tiba muka Kristina
merona merah. Dia tidak menyangka bahawa Mike melukis dirinya. Dirinya yang
sedang...
Kristina...
(Fragmen 3)
Kristina
memegang lukisan itu. Diperhatikannya dengan teliti. Tiba-tiba muka Kristina
merona merah. Dia tidak menyangka bahawa Mike melukis dirinya. Dirinya yang
sedang duduk, dirinya yang sedang berdiri, dirinya yang sedang berjalan. Dan
dirinya yang sedang mengambil gambar, iaitu yang paling besar sekali terletak
di tengah-tengah. Apa yang lebih mengejutkan Kristina ialah lukisan itu sungguh
ekspresif. Emosi Kristina tergambar sepenuhnya pada wajah yang dilukis.
Kristina tidak menyangka Mike dapat melukis dirinya sampai begitu sekali.
Perasaan Kristina sewaktu mengambil gambar juga dinyatakan oleh Mike dengan
tepat. Kristina juga tidak menyangka selama ini dia diperhatikan oleh Mike. dan
Mike menjadikannya subjek dalam lukisan. Kristina tidak tahu sama ada dia rasa
takut atau gembira ketika itu. Takut, kerana dia selama ini diperhatikan.
Gembira, kerana ada orang yang meminatinya dalam diam. Agak lama Kristina
memegang lukisan itu. Seperti dia tidak mahu melepaskannya. Akhirnya dengan
cermat, dia kemudiannya meletakkan lukisan itu di atas meja semula. Kristina terpandang
pensel yang digunakan oleh Mike untuk melukis. Tiba-tiba, Kristina terfikir
sesuatu. Dia kemudiannya mengambil pensel itu dan melukis tanda ;) berserta
sepotong ayat berbunyi “ hatiku bersimfoni...” di ruangan tepi sebelah kanan
bawah lukisan itu.
Mike
berlari menuju ke kelas semula. Dia ingin mendapatkan lukisan itu. Sampai di
kelas, Mike terlihat Kristina yang sedang menulis sesuatu pada lukisan itu.
Kristina tersedar ada seseorang datang secara tergesa-gesa berdasarkan bunyi
tapak kaki. Kristina segera berpaling. Kristina terlihat Mike. Bibir Kristina
menguntum senyum. Mike kemudiannya tertunduk. Habislah...
Bersambung
Fragmen 4~^^ Nantikan sambungannya...
Kristina
dan Mike saling berpandangan. Bibir Kristina menguntum senyum. Mike kemudiannya
tertunduk. Habislah...fikir Mike dalam hatinya. Habis, kerana semua rahsianya
sudah diketahui oleh Kristina. Kerana selama ini dia memerhati Kristina dari
jauh dan menjadikan Kristina subjek dalam lukisannya. Kristina meletakkan
semula pensel di atas meja. Sekali lagi dia memerhatikan lukisan itu. Dan
matanya terarah kepada sepotong ayat yang baru ditulisnya tadi. “ Hatiku
bersimfoni...”, ayat itu ditulis oleh Kristina kerana dia merasakan hatinya
cukup gembira saat itu. Hatinya damai berlagu seperti diiringi oleh kicauan
burung dan orkestra. Takut? Kristina seperti tidak ada perasaan itu lagi.
Sebaliknya dia pula ingin mengetahui lebih lanjut tentang diri Mike. Perlahan,
Kristina berjalan ke arah Mike. Mike merasakan Kristina semakin menghampirinya.
Mike masih menunduk. Dia takut untuk mengangkat kepalanya. “Hei, kamu!” kata
Kristina. Perlahan Mike mengangkat mukanya. TIba-tiba Kristina menghayunkan
penumbuk ke muka Mike. Tetapi tidak singgah. Sengaja Kristina buat begitu untuk
melihat reaksi Mike. Kristina kemudiannya tertawa. Menampakkan baris giginya
yang cantik. Mike tersentak dengan perlakuan Kristina. Kali ini giliran Mike
pula yang tersipu malu. Muka Mike pula yang merona merah.Tidak lama, datang
seorang pelajar perempuan ke arah mereka berdua. Pelajar perempuan itu segera
mendapatkan Kristina. Dia melihat Mike sesaat. Dia sedikit hairan. Apa yang
Kristina buat bersama lelaki ini? Apa yang mereka bualkan? “ Kristina, apa yang
kau buat di sini?” tanya pelajar perempuan itu. Kristina terdiam seketika. Dia
cuba mencari jawapan yang sesuai. “Tidak, aku beri risalah pertandingan
fotografi tadi,” sahut Kristina. “Oh, begitu. Eh, Kristina! Cikgu Stephen cari
kau,” beritahu pelajar perempuan itu. “ Cikgu Stephen cari aku?” Kristina
kehairanan. “ Ya, cepatlah! Dia dah tunggu di bilik guru,” pelajar perempuan
itu menarik tangan Kristina. “ Ya, sabarlah Isabel,” balas Kristina lagi.
Kristina memandang Mike sekilas. Dia mengenyitkan mata dan tersenyum lagi.
Isabel tidak melihat perlakuan Kristina. Mike semakin tersipu. Tidak sangka
Kristina seberani itu mengusiknya. Tidakkah dia berasa takut? Takut kerana Mike
melukis dirinya? Mike kehairanan melihat perlakuan Kristina. Kalau gadis lain
sudah tentu dikoyak-koyakkan lukisan itu dan dia akan dimarahi serta dimalukan
di hadapan pelajar lain. Mike masih tercegat di pintu kelas.
Tiba-tiba
Mike teringat semula apa yang dilakukan oleh Kristina tadi. Kristina tadi
sedang menulis sesuatu pada kertas lukisannya. Mike segera mendapatkan kertas
lukisannya. Dia ingin membaca apa yang Kristina telah tulis Dan di ruangan tepi
sebelah kanan bawah lukisan itu Mike terbaca, “hatiku bersimfoni...”. Hati Mike
teruntun membaca sepotong ayat itu. Dia tidak menyangka Kristina akan menulis
ayat itu pada lukisan yang dilukisnya. Dan kini, di kepala Mike mengandung
banyak persoalan. Apakah yang dirasai oleh Kristina sebenarnya? Adakah gadis
itu mula menyukainya atau sepotong ayat yang ditulis itu hanyalah satu usikan
nakal Kristina? Mike mengusap kepalanya. Kristina, gadis ini meruntun hatiku...
Kristina...
(Fragmen 5)
Kristina
dan Isabel berjalan beriringan ke bilik guru. Saat tiba di pintu, mereka
mengetuk perlahan. Kelihatan Cikgu Amber berdiri tidak jauh dari situ. Cikgu Amber
perasan kehadiran mereka berdua. “Ya, Kristina, Isabel? Apa halnya ni?” tanya
Cikgu Amber. Kristina dan Isabel terdiam seketika. Sesaat, mereka berdua
melihat wajah Cikgu Amber. Cikgu Amber amat lain sekali. “Cikgu...” kata Isabel
sambil memegang rambutnya. Cikgu Amber cuba menangkap kata-kata Isabel.
Akhirnya, dia faham. “Oh, ini. Cikgu potong hari tu. Terfikir untuk luruskan.
Jadi, cikgu luruskan,” kata Cikgu Amber. “Cantik, cikgu!” kata Kristina dan
Isabel. “ Eh, Cikgu Stephen perasan tak? Hehe,” Usik Isabel. Cikgu Amber
tersenyum malu. Dia mengusap rambutnya. Wajahnya mula merona merah kerana
diusik oleh Isabel. Kristina memerhati sekitar. Di satu sudut dia melihat
seorang guru lelaki sedang sibuk menulis sesuatu. “Cikgu Stephen yang panggil
kami ke sini. Dia nak jumpa Kristina,” kata Isabel. “Oh begitu. Pergilah jumpa
dia,” kata Cikgu Amber. “Cikgu ada pesan apa-apa tak? Nak kami kirim salam ke?”
kata Isabel. “Tak ada. Eh, jangan,” Cikgu Amber diselubungi rasa malu dan
takut. “Tak adalah cikgu, gurau saja. Baiklah cikgu, kami pergi dulu,” kata
Isabel. “Ya,” jawab Cikgu Amber. “Huh...” Cikgu Amber mengeluh perlahan. Dia
memerhatikan Kristina dan Isabel menuju ke arah Cikgu Stephen. Cikgu Stephen
berhenti menulis dan berbual dengan Kristina dan Isabel. Sedetik, Cikgu Amber
memerhati Cikgu Stephen. Guru muda itu cukup baik dengan pelajarnya.
Lebih-lebih lagi dengan Kristina dan Isabel. Agak lama juga dia memerhatikan
Cikgu Stephen, sehinggakan lelaki itu mula tersedar dan menoleh ke arahnya.
Mata keduanya bertentangan. Cikgu Amber cepat-cepat mengalihkan pandangannya.
Cikgu Stephen tersenyum. Kristina dan Isabel terperasan. Tak lama, mereka
berdua tersenyum dan ketawa. Cikgu Amber berasa semakin malu. Tak lama, Cikgu
Amber meninggalkan bilik guru. Perlakuannya menyebabkan Kristina dan Isabel berhenti
ketawa. Kristina dan Isabel dirundung rasa bersalah. “Apa kita dah buat ni?”
kata Isabel. “Cikgu, kami nak pergi minta maaf.” Isabel menarik tangan Kristina
tetapi dihalang oleh Cikgu Stephen. “Isabel, Kristina,” Cikgu Stephen
menggelengkan kepala. “Kita teruskan perbualan. Lagipun banyak yang saya hendak
beritahu Kristina.” Kristina dan Isabel terdiam. Mereka melihat wajah Cikgu
Stephen yang cuba untuk menenangkan diri. “Maafkan kami cikgu,” kata Isabel.
“Tak apa,” jawab Cikgu Stephen.
Kristina...(Fragmen
6)
Petang itu
redup. Angin berhembus lembut. Dedaun berguguran ditiup angin. Stephen berjalan
perlahan. Setibanya di kuburan, dia meletakkan setangkai bunga Lily di pusara.
Amanda Dong, 1986-2007. Gadis yang ceria dan suka berjenaka. Terkadang manja.
Apabila ketawa, lesung pipit di pipinya akan kelihatan. Dan, ini akan
menyerikan wajahnya. Stephen membuang ranting dan daun yang gugur di atas
pusara Amanda. “ Stephen, terima kasih kerana sudi hadir dalam hidup saya. Saya
amat menghargainya. Saya pergi tidak lama. Tunggu saya, ya!” Itulah kata-kata
terakhir Amanda sebelum gadis itu pergi buat selamanya. Dan, saat itu Stephen
tidak menyangka nahas pesawat itu telah menghancurkan impiannya untuk hidup
bersama dengan Amanda. Stephen masih ingat lagi, sehari sebelum Amanda pergi
dia sempat menyanyikan sebuah lagu yang diciptakannya khas buat Amanda, “Fly To
You”. “Amanda, lagu ini saya ciptakan khas buat awak. Sedang awak jauh, dan
teringatkan saya, awak panggillah nama saya. Tatkala itu juga saya akan pergi
menemui awak,” Stephen teringat semula kata-katanya kepada Amanda. Sejak
pemergian Amanda,Stephen tidak lagi menyentuh gitarnya. Dia sering mengunjungi
pusara Amanda. Meletakkan bunga dan bersembahyang di pusara. Perlakuannya
membimbangkan ibu dan bapanya. Mereka menasihati Stephen. Lama-kelamaan,
Stephen beransur pulih. Dia mampu menerima kehilangan Amanda. Dia kembali
memetik gitar, setelah sekian lama tidak bermain. Namun, dia tetap mencintai
Amanda dan belum bersedia menerima mana-mana gadis lain untuk mengisi ruang
hatinya yang sudah kosong. Dia teringat akan kata-kata ayah Amanda. “Stephen,
pakcik lihat awak selalu juga pergi melawat pusara Amanda. Terima kasih
Stephen,kerana masih ingat akan anak pakcik. Cuma, pakcik harap awak juga fikir
akan kebahagiaan diri sendiri. Seberat-berat hati Stephen untuk melepaskan
Amanda, berat lagi hati pakcik. Amanda sudah bahagia di sana. Lepaskanlah dia,
Stephen.” kata ayah Amanda sambil memegang bahunya. Stephen hanya berdiam diri.
Dia tidak menjawab kata-kata ayah Amanda. Sehelai daun kering menimpa rambut
Stephen. Dia tersedar dari lamunannya. Sesaat, dia teringat kepada seseorang.
Seseorang yang cuba menghadirkan diri dalam ruang hatinya. “ Amber, maafkan
aku...” kata Stephen sendirian sambil menunduk perlahan.
Kristina...
Fragmen 7
Ramai orang
di perpustakaan hari itu. Kebanyakannya adalah pelajar. Biasalah, minggu ini minggu
ulangkaji. Peperiksaan pertengahan tahun akan bermula minggu depan. Para
pelajar mengambil kesempatan ini untuk pergi ke perpustakaan. Belajar dan
membuat perbincangan secara berkumpulan. Di samping itu, mereka juga mencari
buku rujukan yang bersesuaian dengan topik. Di luar perpustakaan, kelihatan
seorang lelaki sedang duduk di tangga. Dia membaca sebuah buku. Matanya
menyorot setiap catatan yang terdapat dalam buku itu. Sedang dia leka membaca,
datang seorang gadis dari arah belakangnya. Gadis itu menepuk bahunya. “Ha,
buat apa kat sini? Kenapa tak masuk dalam?” tanya gadis itu. Lelaki itu sedikit
tersentak dengan tepukan itu. Dia menoleh ke belakang. “ Oh, kau Erina. Dalam
banyak sangat orang. Kat luar ni seronok sikit. Rasa lebih tenang,” kata lelaki
itu. “Alah, banyak kau punya alasan. Kau tak nak kat dalam sebab ada dia, kan?”
Erina cuba mengusik lelaki itu. “Tak adalah,” jawab lelaki itu ringkas. Dia
agak sedikit terganggu dengan pertanyaan itu. “Am, kau baca buku apa tu?” Buku
yang dipegang oleh Am menarik perhatian Erina. Am menutup buku itu lalu
memberikannya kepada Erina. Erina membaca tajuk buku itu. “Panduan menulis
novel? Kau nak menulis novel ke, Am?” tanya Erina. Am tersenyum lalu mengangguk
perlahan. “Wah, hebat! Daripada sajak beralih ke novel pulak,” kata Erina. “Aku
nak cuba sesuatu yang baru. Bagi aku, novel itu sama juga seperti sajak. Ia
adalah cerminan masyarakat,” jawab Am. “Betul, tu. Tak salah mencuba sesuatu
yang baru. Am, novel pun novel jugak. Kau dah belajar ke? Minggu depan kita nak
ujian,” tanya Erina. Erina memandang Am. Am mengatur cermin matanya. “Sudah,”
kata Am. “Eh, Am! Marilah masuk dalam. Jangan seorang-seorang kat sini. Tak
baik, nanti orang culik!” ajak Erina. “Tak apalah. Aku lebih suka kat sini.
Err...Erina, buku aku,” kata Am sambil meminta bukunya kembali. “Kau nak buku
ni, kau ikut aku masuk ke dalam. Marilah!” pujuk Erina lagi.
“Yalah,
yalah,” kata Am. Akhirnya Am mengalah. Erina dan Am berjalan masuk ke dalam
perpustakaan. Pintu perpustakaan dibuka. Erina memandang sekitar. Matanya
melilau mencari seseorang. Di satu sudut seorang gadis sedang menulis. Sesaat,
gadis itu berhenti menulis. Tangannya mula mengatur rambut. Erina tersenyum
lebar. Erina memandang Am. “Jom, Am! Kita jumpa dia,” kata Erina. Dia menarik
tangan Am. “Erina, aku..” perasaan malu tiba-tiba hadir dalam diri Am. Dia
berasa serba salah. Erina terus menarik tangan Am, dan mereka berjalan menuju
ke arah gadis itu.
Kristina...
Fragmen 8
Gadis itu mengatur
rambutnya. Tak lama, dia merasakan ada derap tapak kaki menuju ke arahnya. Agak
laju dan buru-buru. Gadis itu mendongakkan kepala. Dia terpandang Erina dan Am.
Kelihatan, Erina memegang tangan Am. Tersedar, Erina melepaskan pegangan. Erina
memandang wajah gadis itu. “Jasmine, ni aku bawa Am. Dia kata nak jumpa kau,”
kata Erina. Erina memandang wajah Am. Dia mencubit lengan lelaki itu. Am
terpinga-pinga dengan kata-kata Erina. “Err..tak...” belum sempat Am
menghabiskan kata-katanya, sekali lagi Erina menyentuhnya. Kali ini ditepuk di
belakang pula. Agak kuat sehingga Am hampir tertolak ke arah Jasmine. Tepukan
yang kuat itu menarik perhatian orang di sekitar. Mereka berpaling ke arah
Erina, Am dan Jasmine. Erina tersedar dengan perlakuannya. Dia segera menunduk
dan meminta maaf. Erina memandang wajah Jasmine. Dia tersengih. Am semakin
kurang selesa. Dia seperti ingin pergi dari situ. Tetapi, belum sempat dia
berbuat demikian, kakinya telah dipijak oleh Erina. “Oh, Tuhan,”bisik Am
sendirian. Bisikan Am itu menarik perhatian Jasmine. Dia memandang wajah lelaki
itu. Jasmine tersenyum. “Duduklah,” pelawa Jasmine lembut. “Am, duduklah. Orang
dah pelawa tu!” kata Erina kepada Am. Erina menyuruh Am duduk dekat dengan
Jasmine. Dengan perlahan, Am duduk di kerusi. Am menyangka Erina akan duduk
bersama dengan mereka. Namun, jangkaan Am meleset. Sebaliknya, Erina
cepat-cepat beredar dari situ. Am menjadi kaku seketika. Sebelum pergi, Erina
sempat melambai ke arah Am dan Jasmine. Erina membuat isyarat semoga berjaya
kepada Am. Jasmine tersenyum lagi. Dia akhirnya ketawa kecil kerana tidak tahan
melihat telatah Erina. Am memberanikan diri memandang wajah Jasmine. Jasmine,
dengan rambut separas bahu. Wajah yang putih dan dagu yang belah. Sungguh
cantik! Kata Am di dalam hati. Am rasa terpukau melihat kecantikan Jasmine. Tak
lama, Jasmine memalingkan mukanya. Dia memandang wajah Am. Sesaat, mereka
berbalas renungan. Jasmine tersenyum. Am tersipu malu. “Kenapa awak nak jumpa
saya?” tanya Jasmine. Am rasa serba salah. Dia tidak tahu apa yang ingin
diberitahu. Semua ini kerja Erina. “Huh...” Am mengeluh perlahan. Jasmine
terdengar keluhan Am. “Erin usik awak, ya?” tanya Jasmine. Dia seperti tahu
bahawa Erina yang merencanakan segalanya. Am terdiam. Dia cuba mencari jawapan
yang sesuai. “Err...sebenarnya saya, sebenarnya saya nak belajar menulis
daripada awak. Ya, belajar menulis,” akhirnya jawapan itu keluar dari mulut Am.
Jasmine tersentak. Jasmine terdiam seketika.“Boleh, tapi saya nak awak hasilkan
sebuah sajak untuk saya,”kata Jasmine. Sajak? Seakan teruja, Am mengangguk dan
tersenyum. Dan, Jasmine membalas senyuman itu...
Bersambung
Fragmen 9. Nantikan sambungannya...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan