Terima Kasih Cikgu
(Jasamu Tetap Kukenang).Fragmen 1
Cikgu Stephen
melihat ruang bilik itu.Di dalamnya penuh dengan murid Tahun 6 dan ibu bapa
mereka. Mereka saling berpelukan dan menangis. Ceramah motivasi yang diberikan
oleh Cikgu Stephen menusuk ke dalam hati murid dan ibu bapa. Cikgu Stephen
menjelaskan betapa pentingnya menghormati dan mendapat restu ibu bapa dalam
hidup. Mereka yang berjaya adalah mereka yang direstui oleh ibu bapa. Seorang
murid terkial-kial. Sesaat, ia menarik perhatian Cikgu Stephen. “Kenapa awak
tidak pergi kepada ibu bapa awak?” tanya Cikgu Stephen. “Mereka tiada bersama
dengan saya cikgu. Kedua-dua mereka telah meninggal dunia,”jawab murid itu.
Cikgu Stephen tersentap mendengar kata-kata murid itu. Tidak lama, Cikgu
Stephen mengusap kepala murid itu dan membisik lembut kepadanya. “Jadi,
pilihlah salah seorang daripada kalangan ibu bapa di sini dan peluklah mereka
dengan dengan erat.Pergilah,”kata Cikgu Stephen. Tanpa berfikir panjang murid
itu segera mendapatkan seorang ibu daripada
kalangan ibu yang ada di situ. “Boleh saya peluk makcik? Saya tiada sesiapa
lagi. Saya ingin restu makcik untuk
lulus dalam ujian,”kata murid itu.Matanya bergenang. Ibu itu terus mengangguk
dan memeluk erat murid itu. Keduanya menangis. Ibu itu sempat memberitahu
sesuatu kepada murid itu.”Banggakanlah kedua ibu bapa kamu walaupun mereka
telah tiada kerana mereka sentiasa memerhatikan kamu dari syurga.” Ibu itu
kemudiannya melihat Cikgu Stephen sambil tersenyum.Cikgu Stephen membalas
senyumannya. Dan, murid itu masih lagi memeluk ibu itu dengan erat.Seakan dia
tidak mahu melepaskan.Seakan dia ingin terus merasa hangat kasih dan pelukan
seorang ibu yang telah lama dia rindukan. Cikgu Stephen melihat wajah guru-guru
di dalam bilik itu. Guru-guru tidak dapat menahan air mata. Setabah mana
seorang cikgu, jatuh juga air mata menuruni pipi. Cikgu Stephen mengusap
kepalanya dan menghela nafas panjang.Nyata kedatangannya ke sekolah ini tidak
sia-sia.Harapannya cuma satu, agar perkongsiannya ini menjadi bekalan untuk murid Tahun 6
menghadapi peperiksaan UPSR tahun ini. Baginya,dia hanyalah seorang guru yang
berkongsi ilmu, yang menjadikan keputusan yang hebat adalah mereka sendiri.Akhirnya,
tanpa disedari matanya juga bergenang.Dia tidak menyekanya.Biarlah ianya
menitis.
Terima Kasih Cikgu
(Jasamu Tetap Kukenang).Fragmen 2
Cikgu Stephen
sedang mengemaskan buku di rak mejanya. Keputusan UPSR baru saja diumumkan pagi
tadi. Keadaan petang itu masih belum lengang.Masih ada ibu bapa yang berbual
dengan para guru berkenaan dengan keputusan anak mereka. Cikgu Stephen rasa
begitu gembira melihat keadaan itu. Begitulah hubungan di antara ibu bapa
dengan para guru di sekolah itu. Amat rapat.Mereka saling berhubung dan
berbincang terutama mengenai prestasi anak-anak mereka. Sesaat, Cikgu Stephen
teringat kepada seorang murid sewaktu ceramah motivasi dan kesedaran Tahun 6 di
salah sebuah sekolah yang dilawatinya dahulu. Seorang anak yang kehilangan
kedua-dua ibu bapanya.Dan bagaimana dia menyuruh murid itu memilih salah
seorang ibu bapa dalam kalangan mereka yang ada di situ dan memeluknya. Dan
murid itu telah memilih seorang ibu.Ibu itu memeluk murid itu dengan erat dan keduanya sama-sama menangis.Hati Cikgu
Stephen terusik.Dia pun tertanya-tanya berapa keputusan yang murid itu dapat.
Tidak lama, kedengaran ketukan di pintu. Seorang anak murid dan seorang tua
tercegat di pintu. Cikgu Stephen berpaling. Anak murid itu memandang Cikgu
Stephen dan terus meluru masuk.Di tangannya digenggam kemas slip keputusan
peperiksaan UPSR.Lama Cikgu Stephen berfikir, akhirnya menyedari bahawa itulah
murid yang dinasihatinya semasa ceramah motivasi itu. “Bagaimana awak kemari?,”
Cikgu Stephen yang kehairanan bertanya. “Saya jelaskan semuanya kepada
datuk.Saya yang ajak datuk cari cikgu,”kata anak murid itu.Cikgu Stephen
memandang orang tua itu.Jelas garisan usia di wajahnya. “Ya,Cikgu.Dia yang
berkeras nak jumpa Cikgu.Kami bertanya kepada guru di sekolah bagaimana cara
untuk pergi ke sini.Katanya ada sesuatu hendak diberitahu dengan Cikgu,”kata
orang tua itu. Murid itu kemudiannya menyerahkan slip keputusan UPSRnya kepada
Cikgu Stephen.Cikgu Stephen dengan perlahan mengambil dan matanya menyorot satu-persatu
keputusan itu.Selesai membaca dia melihat wajah anak murid itu dan kemudian
mengusap kepalanya.Anak murid itu tersenyum sambil menampakkan baris giginya
yang tersusun rapi. Akhirnya keduanya sama-sama tertawa.Orang tua itu tersenyum
puas.Dia tidak mampu menahan air mata. Ibu bapa yang ada di situ bertepuk
tangan. Sekilas, Cikgu Stephen melihat mutiara kata yang diselitkan di atas
meja.Mutiara kata yang selama ini menjadi pegangannya.Kata-kata terakhir
daripada mendiang Guru Besar Matthew kepadanya sebelum meninggal dunia.“Ingat
Stephen, silap seorang doktor mati seorang pesakit.Silap seorang guru musnah
satu generasi.”Itulah kata-kata Guru Besar Matthew yang tetap diingatinya
sehingga kini.Selamanya...
Tamat
Gambar : Gambar Hiasan
Gambar : Gambar Hiasan
p/s: Hari ini
keputusan UPSR.Tahniah kepada murid yang berjaya.Yang tidak berjaya cuba
lagi.Segalanya belum berakhir kerana ini baru permulaan... :)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan