Kristina...(Fragmen
6)
Petang itu
redup. Angin berhembus lembut. Dedaun berguguran ditiup angin. Stephen berjalan
perlahan. Setibanya di kuburan, dia meletakkan setangkai bunga Lily di pusara.
Amanda Dong, 1986-2007. Gadis yang ceria dan suka berjenaka. Terkadang manja.
Apabila ketawa, lesung pipit di pipinya akan kelihatan. Dan, ini akan
menyerikan wajahnya. Stephen membuang ranting dan daun yang gugur di atas
pusara Amanda. “ Stephen, terima kasih kerana sudi hadir dalam hidup saya. Saya
amat menghargainya. Saya pergi tidak lama. Tunggu saya, ya!” Itulah kata-kata
terakhir Amanda sebelum gadis itu pergi buat selamanya. Dan, saat itu Stephen
tidak menyangka nahas pesawat itu telah menghancurkan impiannya untuk hidup
bersama dengan Amanda. Stephen masih ingat lagi, sehari sebelum Amanda pergi
dia sempat menyanyikan sebuah lagu yang diciptakannya khas buat Amanda, “Fly To
You”. “Amanda, lagu ini saya ciptakan khas buat awak. Sedang awak jauh, dan
teringatkan saya, awak panggillah nama saya. Tatkala itu juga saya akan pergi menemui
awak,” Stephen teringat semula kata-katanya kepada Amanda. Sejak pemergian
Amanda,Stephen tidak lagi menyentuh gitarnya. Dia sering mengunjungi pusara
Amanda. Meletakkan bunga dan bersembahyang di pusara. Perlakuannya
membimbangkan ibu dan bapanya. Mereka menasihati Stephen. Lama-kelamaan,
Stephen beransur pulih. Dia mampu menerima kehilangan Amanda. Dia kembali
memetik gitar, setelah sekian lama tidak bermain. Namun, dia tetap mencintai
Amanda dan belum bersedia menerima mana-mana gadis lain untuk mengisi ruang
hatinya yang sudah kosong. Dia teringat akan kata-kata ayah Amanda. “Stephen,
pakcik lihat awak selalu juga pergi melawat pusara Amanda. Terima kasih
Stephen,kerana masih ingat akan anak pakcik. Cuma, pakcik harap awak juga fikir
akan kebahagiaan diri sendiri. Seberat-berat hati Stephen untuk melepaskan
Amanda, berat lagi hati pakcik. Amanda sudah bahagia di sana. Lepaskanlah dia,
Stephen.” kata ayah Amanda sambil memegang bahunya. Stephen hanya berdiam diri.
Dia tidak menjawab kata-kata ayah Amanda. Sehelai daun kering menimpa rambut
Stephen. Dia tersedar dari lamunannya. Sesaat, dia teringat kepada seseorang.
Seseorang yang cuba menghadirkan diri dalam ruang hatinya. “ Amber, maafkan
aku...” kata Stephen sendirian sambil menunduk perlahan.
Bersambung
di Fragmen 7. Nantikan sambungannya...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan