Am membuka pintu
bilik. Dia memasuki ruang itu dengan rasa memberat. Am
membuka suis lampu, kemudian mendekati katil. Menghempas punggungnya perlahan
ke tilam. Melepas cermat kaca matanya, diletak bersebelahan dengan bantal, di
sisi kiri. Selalu begitu. Walau risikonya untuk pecah memang tinggi, namun ia
tidaklah setinggi bahaya yang hampir menempah nyatanya.
Am
merebahkan diri ke tilam. Sedaya dia cuba mengatur pembaringan. Terlentang,
miring, nampaknya dia gagal untuk menenangkan diri. Kenapa semua ini harus
terjadi? Erina, gadis yang cukup terkenal sewaktu di sekolah menengah. Ceria,
lincah, tidak kering dengan gurauan dan usik manja. Am masih ingat lagi, Erina
pernah membuat persembahan solo akustiknya semasa sambutan Hari Guru peringkat
sekolah. Erina membawa lagu, “My Magical Journey”. Liriknya tercipta
asli oleh Erina sendiri. Melodinya juga disusun cermat oleh Erina, sambil
dibantu oleh Vincent Tan, ketua pancaragam dan konduktor koir.
Vincent,
lelaki Cina yang aktif bermuzik, adalah seorang yang naif dan lurus.
Tidak banyak bercakap,
namun dialah pencetus idea muzikal di sekolah, sehingga diberi gelaran Maestro
Vincent. Karya-karyanya menggetar rasa, mengubat jiwa. Sebenarnya,
dalam diam Vincent menyimpan perasaan terhadap Erina. Sedikit cuma yang tahu
akan hal ini. Hanya dua , Am dan Ronny. Dua orang yang sentiasa membantu dan
mendorong Vincent dalam penghasilan karya-karyanya. Am, memberi gambaran dan
ekspresi kepada Vincent, kemudian Vincent menterjemahnya dalam nota
muzik. Ronny, cuba-cuba menyanyikan lirik yang dikarang oleh
Vincent, di samping sering memberi kata-kata semangat kepada Vincent.
Vincent
ialah ahli Bulan Sabit Merah Malaysia. Pernah suatu ketika, Vincent berhasrat
untuk menukar keahliannya kepada Pengakap untuk mendekati Erina. Ini
kerana Erina ialah seorang ahli Pandu Putri, dan kebetulan Pandu Putri selalu
mengadakan perkhemahan bersama dengan Pengakap. Namun, hasratnya terbatal
setelah dinasihati oleh Am dan Ronny. Bagi Am, Vincent lebih menyerlah dalam
Bulan Sabit Merah Malaysia, dan ia bukan satu keputusan yang bijak daripada
seorang yang cerdik dan pandai seperti Vincent. Ronny menyedarkan Vincent
bahawa Bulan Sabit Merah Malaysia memerlukan kepakarannya, dan untuk mendekati
Erina, Vincent boleh menggunakan pendekatan lain. Peluang menghasilkan “My
Magical Journey” bersama dengan Erina adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh
Vincent.
Semacam
satu rahmat, segalanya berjalan dengan lancar. Kata Vincent, Erina ada
mengajaknya bersama untuk membuat persembahan. Namun, Vincent menolak dengan
alasan “My Magical Journey” lebih indah,artistik, dan penuh penghayatan
sekiranya hanya Erina yang membawanya. Pada hari persembahan, “My Magical
Journey” tidak menghampakan. Sangat tidak. Petikan halus gitar oleh Erina,
diiringi suara yang mendayu, mendamaikan hati segenap warga sekolah. “My
Magical Journey”, suara hati Erina, dan pendaman rasa Vincent. Di mana
Vincent? Sejenak, Am cuba menemukan jawapan terhadap persoalan itu.
Ya, di mana lelaki itu sekarang?
picture : deviantART.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan