Dendam Kubur 2. Fragmen 1
Petang itu agak mendung. Angin
berpuput lembut memesrai daun di pohon.Tidak lama lagi burung akan pulang ke
sarang. Mentari tidak memancar cerah, cahayanya dilindungi oleh awan yang
sedikit kelabu. Awan pula berarak perlahan. Di bendang, kelihatan beberapa
orang petani sedang bersiap sedia untuk pulang. Mereka mengemaskan peralatan
menuai. Seorang anak kecil berlari ke arah ibunya. Ibunya menjerit kepada anak
kecil itu. Memintanya supaya tidak berlari. Takut-takut tersadung. Anak kecil
itu memperlahankan lariannya, dan kemudian berhenti berlari. Dia berjalan
perlahan menuju ibunya. Anak kecil itu memperkatakan sesuatu kepada ibunya.
Ibunya kemudian mengusap wajah anak kecil itu. Anak kecil itu dan ibunya
berjalan pulang. Sawah padi yang menguning. Di belakangnya pula, terdapat
sebuah bukit. Nun di hujung kampung, terdiri sebuah rumah yang sudah agak lama
binaannya. Seorang lelaki tua sedang duduk-duduk di luar pintu. Garis usia
jelas kelihatan di wajahnya. Melihat kepada wajah itu, dia seperti berusia
dalam lingkungan 60an. Di jemarinya terselit sebatang rokok. Rokok itu itu
dihisapnya dalam-dalam, dan kemudiannya dihembus perlahan. Di memandang jauh,
seakan mengingat semula kenangan lama. Fragmen-fragmen kenangan mula bermain di
mindanya. Sejenak, dia teringat semula pengalamannya bekerja sebagai seorang
penghalau hantu. Terlalu banyak cabaran yang dihadapinya. Ada satu yang tidak
pernah dilupakannya. Bagaimana pekerjaannya itu hampir meragut nyawa seorang
anak remaja. Seorang anak remaja penakut yang pernah tinggal bersama dengannya.
Dia cuba mengingat kembali wajah anak remaja itu. Bersih sahaja wajahnya. Dia
juga seorang anak yang sopan. “Abny...,” lelaki tua itu tiba-tiba tersebut nama
anak remaja itu. Tidak lama, mata lelaki tua itu genang berkaca. Dia berasa
sebak tiba-tiba. Dalam diam, dia berasa bersalah kepada Abny. Berasa bersalah
juga kepada kedua orang tua Abny. Nyawa Abny hampir melayang malam itu.
Sekiranya lelaki tua itu tidak bertindak cepat, Abny sudah mati dibunuh oleh
hantu kubur. Abny, anak remaja yang penakut tetapi sentiasa ingin bersama
dengannya. Lelaki tua itu mengusap wajahnya. Rokok sudah setengah dihisap.
Seperti kebiasaannya, tidak akan habis dihisapnya sebatang. Selalu begitu.
Namun, kali ini dia menghabiskannya. Dia ingin menenangkan diri. “ Tok, suatu
hari nanti saya akan kembali berjumpa dengan Tok,” kata-kata Abny
terngiang-ngiang di kepalanya. Dan, janji anak remaja itu digenggamnya sehingga
kini. Abny, di mana kau sekarang, nak? Kata lelaki tua itu dalam hati.Lelaki
tua yang bernama Tok Karim.
Bersambung Fragmen 2...
Gambar: Sekadar gambar hiasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan