Perahu Timun
Iban~(Fragmen 1 – Fragmen 3)
Perahu
Timun Iban~Fragmen 1
“Dia tetap
menunggu meski esok bukan miliknya...”
Perahu
Timun Iban. Cerita ini mengisahkan tentang seorang tua yang bernama Aki Suki.
Aki Suki ada seorang cucu yang bernama Suki. Setelah ibunya Suri meninggal
dunia, Suki dijaga oleh Aki Suki dan Ini Suki. Suri amat kecewa dan menderita
dengan perbuatan Sempurai yang menggilai perempuan lain. Malam itu, Suri telah
membunuh dirinya dengan meminum racun. Kematian Suri amat mengejutkan Sempurai.
Dia berasa sungguh menyesal di atas perbuatannya. Sewaktu hari pengebumian
Suri, Sempurai tidak henti-henti menangis dan meraung meratapi kematian
isterinya. Dia memeluk mayat Suri. Namun, penderitaannya itu tidak setanding
kesedihan yang dirasai oleh Aki Suki dan Ini Suki. Suri, itulah satu-satunya
anak mereka. Sempurai mendapatkan Aki Suki untuk meminta ampun. Dia memegang
erat kaki Aki Suki. Aki Suki tidak berkata apa-apa. Di dalam hatinya Tuhan
sahaja yang tahu, betapa dia amat membenci lelaki itu. Namun, walau dibunuhnya
Sempurai itu tidak dapat mengembalikan dan menghidupkan semula anaknya Suri.
Ini Suki memukul-mukul Sempurai sambil menangis. Dia meminta Sempurai
menghidupkan semula anaknya Suri. Sempurai terus memegang erat kaki Aki Suki. Penduduk
kampung memerhatikan suasana itu dengan hati yang pilu.
Selepas
kematian Suri, Sempurai menjadi tidak tentu arah. Sekejap ketawa. Sekejap
menangis. Dan sering bercakap seorang diri. Apai Kelabu, tuai rumah meminta Aki
Suki membawa Sempurai berubat dengan Aki
Kilat, seorang manang. Apai Kelabu merasakan bahawa Sempurai benar-benar
menyesal di atas perbuatannya. Aki Suki akhirnya bersetuju dengan cadangan Apai
Kelabu sementara Ini Suki berkata kenapa tidak dibiarkan sahaja Sempurai itu
menjadi gila kerana ianya adalah balasan Tuhan kepadanya. Aki Suki memberitahu
Ini Suki bahawa dia sudah mula memaafkan Sempurai. Tambah Aki Suki lagi, kalau
mereka bertindak kejam terhadap Sempurai samalah seperti Sempurai yang
bertindak kejam terhadap anak mereka Suri. Sempurai sudah pun menerima
balasannya, kata Aki Suki lagi. Tidak lama selepas itu, Sempurai pun beransur
sembuh. Setelah sembuh sepenuhnya, Sempurai menyatakan hasratnya untuk mencari
semula pekerjaan yang baru setelah dahulu dia dibuang kerana lama tidak
bekerja. Kali ini dia akan merantau jauh. Sempurai meminta Aki Suki dan Ini
Suki menjaga Suki. Ini kerana biarlah keduanya menjaga Suki.Fikirnya itu dapat
mengubat hati Aki Suki dan Ini Suki yang sudah kematian Suri. Saat Sempurai
ingin pergi, dia memeluk erat Suki. Suki yang masih kecil itu terpinga-pinga,
namun menangis kemudiannya. Sempurai sebak. Aki Suki memegang bahu Sempurai.
Dia memberitahu Sempurai bahawa dia akan menjaga Suki dengan sebaiknya.
Sempurai berjalan perlahan meninggalkan Suki, Aki Suki dan Ini Suki. Setelah
agak jauh, Sempurai berpaling dan melambai tangannya. Suki, suatu hari nanti
ayah akan pulang. Ampuni aku Suri...
Bersambung
di Fragmen 2~
Perahu
Timun Iban~ Fragmen 2
“Dia tetap
menunggu meski esok bukan miliknya...”
Aki Suki memotong
setengah timun iban. Kemudian, isinya dikeluarkan. Diletakkannya di dalam
mangkuk. Garam ditabur dan digaulkan bersama timun iban. Suki memerhati. Dia
seperti tidak sabar. Aki Suki tersenyum. Aki Suki tahu Suki begitu suka makan
timun iban dicampur garam. Sebab itu, awal-awal lagi dia turun ke kebun untuk
mencari timun iban. Apa yang Suki tunggu-tunggu sebenarnya ialah perahu timun
iban. Setelah timun iban dipotong setengah dan isinya dikeluarkan, kulit yang
tinggal akan membentuk seperti perahu. Dan perahu timun iban itu Suki hanyutkan
di sungai kecil yang terletak tidak berjauhan dari kebun. Aki Suki memberi
perahu timun iban kepada Suki. Suki ketawa riang. “Hati-hati, jangan main jauh
sangat” Aki Suki mengingatkan Suki. Aki Suki memerhati Suki yang berlari riang
menuju sungai kecil. “Biar saya tengok-tengokkan dia, “ kata Ini Suki. Ini Suki
turun dari langkau dan mengikut Suki dari belakang. Ini Suki memanggil-manggil
nama Suki. Suki menoleh ke bekakang. “Mari Ini, kita main perahu,” Suki
mengajak neneknya. Aki Suki tersenyum lagi. Sudah besar Suki, fikirnya. Dahulu,
sewaktu ditinggalkan oleh ayahnya, Suki baru berusia setahun. Kini, Suki sudah
pun berusia lima tahun lebih. Sesaat, Aki Suki teringat kepada Sempurai. Sudah
lama Sempurai tidak balik ke kampung dan melawat Suki. Walaupun begitu,
Sempurai tidak pernah gagal memberikan wang belanja. Dahulu, sewaktu baru
mendapat kerja semula, Sempurai sering balik ke kampung. Banyak buah tangan
yang dia bawa. Sempurai belikan Suki baju baru. Tidak lupa juga untuknya dan
Ini Suki. Untuknya, Sempurai belikan kemeja lengan panjang. Untuk Ini Suki,
Sempurai belikan kain sarung. Suki suka benar pakai baju yang dibelikan oleh
Sempurai. Terkadang, masih basah-basah pun Suki minta neneknya mengangkat baju
itu di jemuran. Aki Suki pernah bertanyakan apa kerja Sempurai. Sempurai
memberitahu dia bekerja sebagai pemandu lori. Sempurai memberitahu lagi bahawa
tauke tempatnya bekerja sangat baik orangnya. Aki Suki menasihati Sempurai
supaya kerja baik-baik dan ikut cakap tauke. Sempurai mengangguk dan menyatakan
bahawa dia akan bekerja bersungguh-sungguh untuk Suki. Dalam diam, Aki Suki
tersentuh hati melihat Sempurai. Sempurai bekerja siang dan malam untuk menyara
Suki. Setelah kematian isterinya, hidup Sempurai masih belum terurus sepenuhnya.
Suatu hari, dia menyuarakan hasratnya kepada Sempurai agar lelaki itu mencari
pengganti kepada isterinya yang sudah tiada. Sempurai diam dan tidak menjawab.
Seperti dia tidak menyenangi apa yang Aki Suki hasratkan. Adakah itu punca
Sempurai jarang balik ke kampung lagi?
Aki Suki
tersedar dari lamunannya apabila dikejutkan oleh Suki yang berlari-lari ke
arahnya. “Aki! Aki! Ada ikan di sungai tadi!” jerit Suki. Ini Suki hanya
mengekori perlahan dari belakang. Tidak terdaya dia mengejar Suki. Suki
mendapatkan Aki Suki. Aki Suki mengusap lembut rambut Suki. Dia memeluk erat
Suki dan mengucup pipi Suki. Tidak lama, matanya bergenang. Aki Suki cuba untuk
menyeka air matanya namun ia gugur juga. Suki melihat datuknya dengan hati yang
hairan. “Kenapa Aki menangis?” tanya Suki. “Tiada apa-apa, Suki,” Aki Suki
menyapu wajahnya dengan lengan baju. Sempurai, pulanglah. Getus hatinya.
Bersambung
di Fragmen 3. Nantikan sambungannya...
Perahu
Timun Iban~ Fragmen 3
“Dia tetap
menunggu meski esok bukan miliknya...
Anyau
memasukkan kotak berisi barang makanan ke dalam lori. Jawa menyambut kotak itu,
menyusunnya cermat satu – persatu. Sesaat, Jawa mendongak ke atas. Terik
mentari memancar wajahnya. Jawa berhenti menyusun kotak itu seketika. Dia
mengesat peluh dengan menggunakan lengan baju. “Huh...” Jawa mengeluh perlahan.
Perlakuan Jawa menarik perhatian Anyau. “Letih ke?” tanya Anyau sambil
tersenyum. “ Mestilah. Sudahlah panas, Anyau. Rasa kena bakar,” Jawa menjawab
dengan nada merungut. “Ha, itulah. Kita dahulu tak nak sekolah betul-betul.
Akhirnya, dapat kerja macam ni. Tahan sahajalah Jawa,” kata Anyau. “ Betul tu,
Anyau. Tapi nak diingat balik pun tak guna. Masa bukannya boleh diputar,” balas
Jawa dengan nada menyesal. Anyau memandang wajah Jawa. Dia sangat mengerti
perasaan Jawa. Bukan sehari dua dia mengenali Jawa. Sejak dari kecil mereka
sudah berkawan. Anyau ingat lagi bagaimana dia dan Jawa tidak pergi ke sekolah
hari itu. Sebaliknya, mereka pergi ke sungai di hujung kampung untuk memancing
ikan dan udang. Sampai ke petang mereka di sana. Agak banyak juga tangkapan
yang mereka peroleh hari itu. Setelah penat memancing, mereka mandi pula
kemudiannya. Ketika mereka sedang leka mandi, tidak sedar pula kehadiran ibu
Anyau. Jeritan ibu Anyau menyedarkan mereka berdua. Anyau dan Jawa begitu
terkejut melihat ibu Anyau. Ibu Anyau siap membawa sebatang kayu yang dipegang
kemas. “Oh, ini kerja kamu ya, Anyau! Ingatkan ke sekolah, rupa-rupanya di
sini!” Anyau berasa sungguh takut melihat ibunya yang memegang sebatang kayu.
Jawa berenang ke tepi. Dia ingin lari dari situ. “Hei, Jawa! Ke mana kamu mahu
lari? Sini kamu! Jangan lari!” ibu Anyau memanggil Jawa. Jawa memandang Anyau.
Anyau masih lagi di air. Dia tidak mahu naik ke darat. “Apa kamu buat lagi di
situ, Anyau!? Naik!” kata ibu Anyau lagi. Semakin tinggi suaranya. “Tak mahu.
Nanti mak pukul,” Anyau menjawab dengan suara yang ketar. “Pukul tak pukul! Tak
naik, lagi teruk kamu mak kerjakan! Naik, Anyau!” ibu Anyau mengetapkan
giginya. Seperti dia cuba untuk menahan kemarahannya. Akhirnya, dengan perlahan
Anyau dan Jawa naik ke darat. Sebaik sahaja
naik ke darat, Anyau dipukul teruk oleh ibunya. Jawa pula dipulas
telinga oleh ibu Anyau kerana dia mengaku bahawa dia yang mengajak Anyau
memancing di sungai. Jawa tidak melawan, kerana dia tahu dia yang bersalah.
Lagipun, dia amat menghormati ibu Anyau. Ibu Anyau ialah kawan baik kepada mendiang
ibu Jawa. Setelah ibu Jawa meninggal dunia dan ayahnya berkahwin semula, Jawa
dijaga oleh neneknya. Ibu Anyau menganggap Jawa seperti anaknya sendiri kerana
sebelum ibu Jawa meninggal dunia, dia pernah berpesan kepada ibu Anyau supaya
sentiasa memerhatikan Jawa. Anyau menangis teresak – esak. Jawa bersimpati
dengan Anyau. Dia rasa sungguh menyesal kerana mengajak Anyau ponteng sekolah
hari itu. Pulang ke rumah, giliran Jawa pula dimarahi oleh neneknya. Nasib
baiklah neneknya tidak larat untuk memukul. Kalau tidak, pasti berbekas betis
Jawa. Keesokan harinya, ibu Anyau membawa Anyau dan Jawa berjumpa dengan guru
kelas mereka, Cikgu Jelai. Ibu Anyau menjelaskan semuanya. Dahi Cikgu Jelai
berkerut. Dia memandang wajah Anyau dan Jawa. Anyau dan Jawa menunduk. Tidak
berani bertentang mata dengan Cikgu Jelai. “Anyau, Jawa. Nanti cikgu bawa kamu
berdua berjumpa dengan Cikgu Seli,” kata Cikgu Jelai. Anyau dan Jawa hanya
mendiamkan diri. Cikgu Seli, iaitu PKHEM ialah seorang guru yang tegas dengan
murid-muridnya. Walaupun begitu, dia ialah seorang guru yang baik. Cikgu Seli
menasihati Anyau dan Jawa. “Jawa, ibu kamu sudah tiada. Ayah pun sudah
berkahwin lain. Patutnya kamu fikir tentang diri sendiri. Fikir tentang masa
depan kamu,” kata Cikgu Seli kepada Jawa. Hati Jawa tersentuh dengan kata –
kata Cikgu Seli. Air matanya mula menitis kerana Cikgu Seli menyebut mengenai mendiang
ibunya serta ayahnya yang sudah berkahwin lain, yang seperti sudah
melupakannya. Itu cerita sewaktu di sekolah rendah. Sewaktu di sekolah
menengah, entah di mana silapnya Anyau dan Jawa semakin tidak berminat untuk
belajar. Nampaknya, nasihat Cikgu Seli sampai di situ sahaja. Mereka kembali
ponteng sekolah dan pergi merayau – rayau. Sehinggalah Anyau dan Jawa terlibat
dalam satu pergaduhan dengan pelajar dari sekolah lain. Semuanya berlaku kerana
salah faham. Anyau dan Jawa pengsan dikerjakan oleh pelajar terbabit. Mereka
berdua dikejarkan ke hospital oleh seorang awam yang prihatin. “Lama menung.
Fikirkan tentang apa?” Tiba – tiba satu suara mengejutkan lamunan Anyau. Anyau
berpaling. Dia melihat satu susuk tubuh di hadapannya. Tinggi dan agak kurus. “
Ha, pergi mana tadi?” Jawa bertanya kepada lelaki itu. “Jumpa tauke. Sudah
habis masuk barang? Kita nak cepat ni,” kata lelaki itu. “Sikit lagi,” kata
Anyau. Tidak lama, seorang gadis menyebut nama lelaki itu dari jauh, “Sempurai,
hati – hati bawa lori!” gadis itu mengingatkan Sempurai. “Aik? Jumpa tauke kah
anak tauke ni?” usik Jawa. Wajah gadis itu merona merah. Anyau tertawa. Gadis
itu memandang wajah Sempurai. Sempurai memandang wajah gadis itu. Gadis itu
tersenyum, dan cuba memaknakan renungan. Sempurai membalas senyuman, dan
kemudiannya menunduk perlahan.
Bersambung
di Fragmen 4. Nantikan sambungannya...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan