Zhu Ying Tai suka membaca sejak kecil lagi. Dia meminati semua jenis buku, dari puisi-puisi yang pendek hingga novel-novel klasik yang panjang. Dia paling menggemari cerita-cerita tentang tempat-tempat yang jauh.
“Saya berharap dapat melawat ke tempat-tempat yang menarik itu! Saya tidak terbayang bahawa tempat-tempat itu wujud!” dia memberitahu orang gajinya pada suatu hari.“ Cik, adalah tidak manis bagi anak gadis berangan-angan hendak ke tempat –tempat yang tidak diketahuinya. Sebaliknya, cik harus berasa bangga kerana ayah cik telah menunangkan cik dengan Tuan Ma Wen Chai. Cik dan Tuan Ma memang cocok!” orang gaji itu menjawab.“Tuan Ma anak orang yang terkaya di bandar tetapi saya tidak mengenalinya. Lagipun, saya langsung tidak berminat untuk berkahwin,” kata Ying Tai sambil tertawa apabila melihat perasaan terkejut pada wajah orang gajinya.Pada suatu malam, ketika Ying Tai asyik membaca di bilik bacaan, ayahnya masuk ke bilik ini. Ayahnya mengeluh. Sambil mengusap-usap janggutnya, dia duduk di sebelah anaknya.“Sayangku, ayah bimbang akanmu. Nampaknya kamu langsung tidak berminat dalam hobi wanita seperti menyulam, menjahit, dan melukis. Kamu hanya membaca. Kalau begini keadaannya, bagaimanakah kamu berharap akan dapat berkahwin?” ayahnya bertanya dengan lembut.“Ayah, saya tidak mahu berkahwin dengan cepat! Yang ingin saya buat ialah belajar. Sebenarnya, terdapat sebuah sekolah yang baik di Xian dan saya hendak belajar di sana,” Ying Tai menjawab.“ Ying Tai, ayah dan ibumu terlalu memanjakanmu. Apakah gunanya ilmu pengetahuan kepada seorang wanita? Siapakah yang pernah mendengar seorang gadis memilih buku-buku daripada seorang suami yang baik?” kata ayahnya dengan marah.“ Ayah, ilmu pengetahuan penting bagi saya. Tolonglah benarkan saya pergi ke Xian. Lelaki yang benar-benar mengasihi saya akan sudi menunggu,” Ying Tai menjawab dengan degil. “ Saya percaya bahawa saya dapat melakukan apa-apa yang dapat dilakukan oleh lelaki. Ayah, kemukakan satu teka-teki kepada saya. Jika saya tidak dapat menyelesaikannya, saya akan tinggal di rumah dan mengikut kehendak ayah. Akan tetapi, kalau saya dapat menyelesaikannya, ayah mesti membenarkan saya belajar.”Sungguh mencabar! Ayah Ying Tai tersenyum kerana geli hati oleh keazaman anaknya.“Baiklah, beritahu ayah binatang apakah yang mempunyai empat kaki, kemudian dua kaki, dan akhirnya tiga kaki?” ayahnya bertanya.Ying Tai berfikir secara mendalam sebentar. Kemudian, matanya kelihatan bersinar-sinar.“Jawapannya ialah ‘manusia’. Mula-mula, dia merangkak dengan empat kaki semasa bayi, kemudian dia berjalan dengan dua belah kaki semasa membesar. Akhirnya, dia menggunakan tongkat apabila sudah tua, “ Ying Tai menjawab dengan yakin sambil tersenyum kepada ayahnya.Walaupun keberatan, ayah Ying Tai berpegang kepada janjinya dan menghantar Ying Tai ke Xian.Perjalanan ke Xian adalah sukar tetapi Ying Tai menempuhnya dengan berani. Apabila memikirkan impiannya akan tercapai, kesulitan diharunginya dengan tabah. Di Xian, dia berasa kagum kerana tempat itu amat berbeza daripada bandarnya. Loghat Xian juga mengagumkannya. Dia amat gembira dapat berada di sana!Pada masa dahulu, sekolah-sekolah hanya menerima pelajar-pelajar lelaki. Oleh itu, untuk membolehkan dirinya diterima oleh pihak sekolah, Ying Tai pun menyamar sebagai lelaki.Di sekolah, Ying Tai banyak menghabiskan masanya berbincang dengan pelajar-pelajar lain. Mereka tidak pernah mengesyaki bahawa Ying Tai seorang perempuan. Kalau mereka mengetahui hal yang sebenarnya, Ying Tai tidak akan dibenarkan untuk menyertai kumpulan perbincangan mereka.Dengan itu, Ying Tai dapat membiasakan diri dengan kehidupan baharunya. Namun demikian, terdapat isu yang sensitif yang perlu diselesaikan. Pelajar-pelajar berkongsi bilik dan kawan sebilik Ying Tai seorang pemuda yang bernama Liang Shan Bo.Memang tidak bermoral bagi seorang gadis yang bersopan berkongsi katil dengan seorang lelaki.Apakah yang harus dilakukan oleh Ying Tai? Gadis yang tajam akal itu mendapat suatu idea yang baik.“Shan Bo, dalam masa tiga tahun ini, mesti meletakkan semangkuk air di antara kita semasa kita tidur,” Ying Tai memberitahunya.“ Cadanganmu peliklah! Tidak ada sesiapa pun yang menghadapi masalah dengan cara tidur yang diaturkan, kecuali kamu, Ying Tai,” Shan Bo bersungut.“Cadangan saya ini adalah untuk memastikan kita tidak saling mengganggu ketika tidur. Lagipun, kita memerlukan rehat yang mencukupi jika kita mahu berjaya dengan baik dalam pelajaran kita,” Ying Tai menjelaskan.Shan Bo menerima cara tidur yang dicadangkan oleh Ying Tai tanpa membantah lagi. Setelah beberapa bulan berlalu, kepintaran Ying Tai telah memikat hati Shan Bo. Dia berharap agar pada suatu hari nanti dia akan menemui gadis yang pintar seperti Ying Tai. Bagi Ying Tai pula, dia mulai menghormati Shan Bo kerana komitmennya terhadap pelajarannya dan sikapnya yang amat bertanggungjawab.Masa tiga tahun berlalu dengan cepat. Akhirnya, tibalah masanya bagi Ying Tai balik ke rumahnya. Dengan berat hati, kedua-dua kawan itu saling mengucapkan selamat tinggal.Selepas Ying Tai kembali, ayahnya segera membuat rancangan untuk perkahwinannya.“Sayangku, pasti kamu gembira kerana Tuan Ma telah menunggu kamu selama tiga tahun ini. Kamu gadis yang bertuah! Majlis perkahwinanmu akan diadakan secara besar-besaran,” ayah Ying Tai berkata dengan gembira.Apabila hari perkahwinan menjelang tiba, Ying Tai jatuh sakit. Dia tidak mahu makan, minum, atau makan ubat. Dia asyik memanggil nama Shan Bo berulang kali. Banyak tabib dipanggil untuk merawat Ying Tai tetapi tidak ada seorang pun yang mengetahui punca penyakitnya, apatah lagi hendak menyembuhkannya. Ibu bapa Ying Tai kebingungan dan tidak tahu apa yang harus dilakukan.Akhirnya, ayah Ying Tai membuat keputusan untuk menghantar orang gajinya untuk mencari Shan Bo yang misteri ini. Shan Bo yang kebingungan mengikut orang gaji itu balik ke kediaman Zhu. Apabila dia melihat gadis yang tidak sedarkan diri berbaring di katil, hatinya berdebar-debar. Dengan serta-merta, dia mengenali gadis itu. Rupa-rupanya Ying Tai, rakan sekolahnya, seorang gadis!Dengan gembira, Shan Bo bergesa-gesa ke sisi Ying Tai. Apabila Ying Tai mendengar Shan Bo memanggil namanya, dia membuka matanya. Tanpa membuang masa, Shan Bo meluahkan perasaan cintanya dan keinginannya untuk berkahwin dengan Ying Tai.Walaupun perasaan Ying Tai tersentuh oleh luahan kasih sayang Shan Bo, dia tidak dapat menerima lamarannya.“Shan Bo, ayah saya telah menunangkan saya dengan Tuan Ma. Saya tidak akan mengahwini kamu. Maafi saya,” Ying Tai berbisik dengan lemah.Shan Bo tidak dapat menanggung penderitaan batin yang disebabkan oleh penolakan lamarannya oleh Ying Tai dan kejutan melihat keadaan Ying Tai yang sakit. Tidak lama kemudian, Shan Bo jatuh sakit lalu meninggal dunia.Apabila mendengar berita kematian Shan Bo, Ying Tai, yang dalam penderitaan, memaksa diri bangkit dari katil. Dia berazam hendak berjumpa dengan kekasihnya buat kali terakhir.Semasa Ying Tai dalam perjalanan ke kubur Shan Bo, berlaku hujan ribut. Hujan lebat yang mencurah-curah dan deruan angin kencang tidak menghalang Ying Tai daripada meneruskan perjalanannya. Apabila dia tiba di kubur itu, kilat memancar di langit.Tiba-tiba, kubur itu membelah dua. Jantung Ying Tai berdegup dengan cepat apabila memikirkan bahawa dia akan berjumpa dengan kekasihnya. Tanpa teragak-agak, dia melompat ke dalam kubur itu. Pada masa itu, guruh berdentuman di langit seakan-akan menyetujui tindakan Ying Tai.Kemudian, kubur itu tertutup dengan perlahan-lahan. Sebelum kubur itu tertangkup, sepasang kupu-kupu keluar dari kubur itu.“Akhirnya, cik saya telah menemui cinta sejatinya,” orang gaji Ying Tai berbisik kepada dirinya kerana kagum akan kejadian yang berlaku di hadapannya. “ Cerita sepasang kekasih kupu-kupu ini akan diwarisi dari generasi ke generasi.”Sememangnya cerita ini kekal hingga
sekarang.
Sumber : Cerita-Cerita Kasih Sayang, Elizabeth Yeak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan