DIMENSI RASA MANGSA BULI : BAHAGIAN 1
Buli : Gejala Yang Berpanjangan
Ketika masa sunyi, aku seringkali terfikir akan gejala buli dalam masyarakat.Aku memanggilnya gejala kerana ia semakin membarah seperti sesuatu yang tidak tertahan-tahan. Aku pernah melihat sekumpulan anak-anak bermain.Ada yang aktif dan ada yang hanya memerhati,sekadar duduk melihat teman lain bermain.Anak-anak yang aktif cenderung untuk bersifat dominan manakala yang pasif bersifat menerima dan lebih suka berdiam diri. Bagaimana buli boleh berlaku di kalangan kanak-kanak? Ia adalah satu persoalan yang tentunya boleh dijawab oleh pakar psikologi.Aku bukan pakar psikologi,cuma aku sedar dan tahu kanak-kanak yang pasif cenderung untuk menjadi mangsa buli. Kenapa?Kerana dia tidak tahu bergaul atau tidak pandai membiasakan diri dengan rakan-rakan yang lain. Itulah jawapan yang paling mudah, barangkali. Adakah ia jawapan yang paling tepat?Apa yang akan berlaku kepadanya apabila dia membesar kelak?
Emosi Mangsa Buli : Peredaran Masa Yang Memenatkan
Kanak-kanak yang pernah menjadi mangsa buli ketika kecil tetap membesar seperti kanak-kanak yang lain,cuma kepedihan masa lampau tetap akan diingatinya.Aku memanggilnya kepedihan kerana kanak-kanak mempunyai ingatan yang tajam dan apa-apa jua pengalaman yang dialaminya lebih-lebih lagi yang bersifat kesakitan akan disimpan dalam bentuk memori.Apabila kanak-kanak itu meningkat remaja, dia cenderung untuk dibuli lagi.Kenapa?Apakah dalam tempoh itu dia tidak mampu untuk mengubah dirinya menjadi keras sedikit,menambah pergaulannya,atau lebih hebat lagi menjadi ikutan dan idola remaja yang seangkatan dengannya?Ini adalah kerana dia rasa rendah diri dan hilang keyakinan.Motivasi dan moral dalam dirinya telah dihancurkan.Apa yang menyedihkan dia terusan dipukul atau disepak terajang.Emosi yang bercelaru ini memungkinkan dia tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran.Namun, sekiranya dia berfikiran positif dia mampu menangani situasi dan seterusnya melangkah jauh.
Apabila mangsa buli menginjak dewasa, dia juga akan bekerja seperti yang lain.Alam pekerjaan amat berbeda kalau dibandingkan dengan alam persekolahan.Dari segi pergaulan, dia akan berjumpa dengan mereka yang pelbagai sifatnya.Adakah di kalangan mereka itu wujud juga pembuli?Mangsa buli akan lebih berhati-hati dalam pergaulan atau cuba-cuba menjadi seorang yang dominan (?)Ketakutan silam boleh mengubah peribadi mangsa buli.Sama ada dia kekal lemah dan terus menjadi bahan gurauan dan usikan melampau atau menjadi seorang yang positif dan mula aktif dalam pergaulan.Terkadang mereka mengambil peluang mengusik orang lain (sekadar mengusik) untuk mengelakkan diri daripada dibuli sekiranya dalam kelompok manusia itu belum ada yang tahu dirinya pernah dibuli.Adakah perubahan ini memberikan suatu nilai baru kepada dirinya yang difikirkannya baik atau suatu kekeliruan peribadi yang meresahkan? Adakah gejala buli ini akan terus berlaku?Sedih untuk aku katakan bahawa ia akan terus berlaku selagi-lagi dalam diri manusia itu masih ada sikap memandang rendah dan keinginan untuk menakluki orang lain.
Taman Jasmine, Sarikei, Sarawak.
sumber : google images, google.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan